Jan 25, 2010

Tazkirah : Hikmah Bala

Assalamu'alaikum WBT

"Umair, blog kau ni akan jadi penuh dengan cerpen je la ye?"

"Erm, entahlah, kenapa?"

"Sebab aku tengok kau macam nak tulis cerita je. Takde artikel atau komen tentang isu semasa ke?"

"Aku ingat nak sampaikan mesej melalu cerita-cerita je. Biasanya teknik penceritaan lebih berkesan."

"Erm, terpulanglah. Tapi kau kena tahu, bukan semua orang suka baca cerpen."

Sebuah perbualan yang mengubah sudut pandang saya. Betul juga katanya. Saya dah lama tidak menulis artikel. Lalu di tahun baru ini, saya akan cuba berusahan mempelbagaikan corak penulisan. Semoga bermanfaat buat semua. Dan di kesempatan ini saya ingin berkongsi tentang suatu tajuk :

Hikmah Bala

Kebiasaanya setiap daripada kita apabila ditimpa kesusahan ataupun bala, kita cenderung untuk menganggapnya sebagai sesuatu yang negatif. Menganggap ia adalah tanda kita sudah gagal. Menganggap segalanya sudah tamat. Malah yang lebih merunsingkan ada yang menganggap ia adalah kutukan daripada tuhan! Na'uzubullah min zaalik.

Apa yang berlaku kepada kita, itu merupakan takdir. Sesuatu yang perlu dan wajib kita terima dengan redha. Merupakan rukun iman yang keenam, yakni beriman dengan Qada' dan Qadar. Contohnya tiba-tiba kita mengalami kemalangan, kehilangan orang tersayang, kebakaran dan kehilangan harta benda dan 1001 macam kejadian yang seboleh-bolehnya kita tidak mahu ia berlaku, tetapi hakikatnya ia telah berlaku.


Sebagai seorang mu'min, kita perlu sentiasa menganggap segala yang berlaku itu positif, dan merupakan peluang untuk kita bangkit. Itulah yang disabdakan oleh Rasulullah SAW tentang orang mukmin,

Apabila mendapat nikmat mereka bersyukur
Apabila mendapat ujian mereka bersabar

Sungguh hebat. Tiada keluhan. Apa yang berlaku itu sentiasa baik. Menangisi kegagalan itu tiada pernah memberikan apa-apa kebaikan, malah hanya menghabiskan waktu.

Seorang juruterbang yang sangat berjaya dalam kariernya mengalami kemalangan udara yang teruk. Nasibnya sangat beruntung, dia masih terselamat daripada kemalangan itu. Kulitnya habis terbakar dan kakinya lumpuh buat selamanya. Dia terpakasa meneruskan kehidupannya dengan kerusi roda dan meninggalkan kariernya.

Bagaimana jika kita berada dalam situasi juruterbang itu?Ketika di saat kita di ambang kejayaan dan penuh dengan harapan hidup, lalu tiba-tiba segalanya hilang dalam sekelip mata? Apa yang akan kita lakukan?

Sebahagian besar daripada manusia akan berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan pasrah dengan takdir yang menimpa dirinya. Tetapi mari kita lihat apa yang dikatakan oleh juruterbang itu:


"Sebelum kemalangan ini ada 100,000 perkara yang boleh aku lakukan. Setelah kemalangan, 10,000 daripadanya tidak mampu aku lakukan. Aku boleh memilih untuk berbaring di katil sepanjang baki hidup aku dan menangisi 10,000 perkara yang aku hilang. Tetapi aku memilih untuk menumpukan segala kemampuan aku kepada 90,000 perkara yang masih aku boleh lakukan. Dan di sinilah aku berada sekarang."

Dan kini dia adalah jutawan yang menghasilkan pendapatan 7 angka setiap bulan!

Bersabarlah, dan bangkit kembali daripada segala apa yang menimpa. Pasti ada hikmah di sebalik segalanya.

Di sini saya akan berkongsi beberapa hikmah daripada bala bagi seorang muslim.

1. Meneguhkan Keimanan

Apabila seseorang guru memberi soalan peperiksaan akhir tahun kepada anak muridnya, bukanlah tandanya guru itu benci kepada muridnya atau ingin menganiayanya. Tetapi diadakan ujian itu untuk memastikan kefahaman anak muridnya terhadap matapelajaran yang diambil benar-benar mantap. Jika sepanjang sekolah menengah tiada ujian yang diberi, tiba-tiba kita diminta menjawab soalan SPM. Agak-agak bagaimana kita ketika menjawabnya? Pasti pebagai aksi melucukan akan terlihat.

Begitu juga apabila Allah memberikan ujian kepada hamba-hambaNya. Allah mahu menguji sejauh mana yakinnya kita kepadaNya. Bagaimana kita menyikapi segala yang berlaku kepada kita, sama ada secara benar ataupun sebaliknya. Bukannya kerana Allah membenci kita atau sengaja menginginkan kesusahan buat kita.

2. Mengangkat Darjat



Segala ujian yang diterima pasti kita mampu menghadapinya. Allah berfirman :

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya....
Al-Baqarah [2:286]

Segala ujian diberi sesuai dengan tahap kemampuan kita. Allah Maha Tahu akan kemampuan hamba-hambaNya. Dan ujian itu untuk mengangkat darjat hambaNya. Umpama sistem pembelajaran di sekolah. Murid tahun 1 yang lulus ujian akhir tahun akan naik ke tahun 2, tahun 2 ke tahun 3 dan seterusnya. Dan ini diaplikasi di hampir seluruh sistem pendidikan sama ada rendah mahupun tinggi. Mereka yang gagal tidak dibenarkan untuk dinaikkan. Dan ujian daripada Allah jauh lebih hebat. Di setiap lapangan.

Jika kita kemalangan, dan kita menanggapinya dengan baik serta mengambil pelajaran daripadanya. Mungkin kita kurang memerhatikan cermin belakang dan cermin sisi lalu kita dilanggar dari belakang ketika menukar laluan. Pasti tidak akan mengalami kemalangan yang sama buat kali kedua.

Jika kita gagal dalam perperiksaan, kita kembali mencari titik-titik kesilapan kita. Mungkin kurang latihan. Mungkin kurang bertanya. Lambat memahamkan pelajaran dan sebagainya. Kemudian kita memperbaikinya, kita akan menjadi lebih baik di masa hadapan.

Jika kita berdakwah kepada masyarakan dan mereka kemudiannya menolak. Mungkin cara yang kita guna tidak berhikmah. Mungkin kita perlu pendekatan yang lebih mesra. Sehingga kita menemukan cara yang paling baik dan tepat. Kita akan menjadi pendakwah yang hebat dan mampu menarik semua orang kepada keindahan Islam.

Kuncinya, pastikan kita melalui setiap ujian dengan baik.

3. Menghapuskan Dosa

Bala yang menimpa datang dengan pakej. Sakit dan pengampunan. Namun terdapat syarat, kita perlu bersabar dan ikhlas menghadapinya.

Tidaklah ditimpa ujian seorang mukmin, walaupun tertusuk duri melaikan akan menghapuskan dosa-dosa.
-Hadis dalam kitab Riadhus Shalihin-

Bersabarlah dan teruskan kehidupan. Kita akan semakin menghargainya.

4. Dekat kepada Allah

Fitrah seorang manusia itu adalah menginginkan tuhan. Manusia lemah dan sentiasa mengharapkan pertolongan Allah. Sehebat apapun seorang manusia itu, apabila dia ditimpa kesusahan sehingga tiada lagi yang mampu memberinya bantuan, hanya satu perkataan yang akan terpacul di bibirnya,

"Ya-Allah..."

Sehingga Karl Max yang mengasaskan fahaman komunisme yang tidak mempercayai kewujudan tuhan sekalipun, ketika berada di saat sakaratulmaut menyebut, "Oh God!"

Sebagai mukmin, apabila ditimpa ujian, kita akan kembali kepada Allah. Mengadu dan berharap kepadaNya. Berdoa dan kembali mencari kedamaian di sisinya, kerana kita tahu tiada apa yang mampu membantu melainkan dengan izinNya.


Marilah mendekatkan diri kepadaNya. Segala yang berlaku tiadalah sia-sia. Semuanya merupakan percaturanNya yang Maha Sempurna. Marilah sama-sama kita mencari hikmah di sebalik segala yang berlaku.


p/s :
Hari pertama kuliah di UTP sebagai pelajar tahun 3. Saya mengambil 7 matapelajaran yang 2 daripadanya tidak mempunyai peperiksaan akhir. Memperbaharui azam dan tekad untuk melakukan yang terbaik, insya-Allah. Pencapaian semester sudah dijadikan pengajaran. Semoga berlakunya perubahan yang besar dalam semester ini, bermula dengan saat ini. (sebenarnya dahpun bermula, tidak mengantuk dalam kelas dalam setiap subjek! Alhamdulillah, doakan saya istiqomah!)

Selamat Hari Lahir buat adik yang disayangi, Nurul Huda bt. Zulkefli. Semoga dapat jadi seorang Hafizah yang beriman & bertaqwa. (^_^)

Teringat pesan adikku Nurul Iman:

Along, jadilah macam Ibrahim.

Owh, kau pun baca cerpen aku? Alahai adikku. Insya-Allah!

Tahun baru! Azam baru!


Teruskan membaca... Share

Jan 7, 2010

Cerpen : Menunggu Di Sayup Rindu

Cerpen yang panjang.
Namun ceritanya insya-Allah bermanfaat.
Banyak pengajaran yang boleh diambil.
Mari sama-sama kita ikhlaskan niat.

Terimalah :

Menunggu Di Sayup Rindu


Teruskan membaca... Share
Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP