Sep 13, 2011

Perkongsian : Mereka Tidak Ragu

Ramai yang ragu-ragu dengan apa yang mereka patut lakukan.
Pelbagai alasan yang diberikan.
Sehingga mereka semakin jauh daripada kebenaran.
Dan mereka kekal dihantui kegelapan.

Namun ada mereka yang tidak ragu-ragu.
Mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
Dan mereka mendapat rahmat dari tuhan.
Mari kita baca kisah dua golongan ini.
Golongan yang ragu dan yang tidak ragu.


Mereka Yang Ragu

“Kinah, kelmarin saya nampak awak cantik sangat.”

“Kelmarin? Bila?”

“Masa saya tengok album gambar sekolah. Kita berdua bergambar depan Surau Al-Hidayah.”

“Muka saya tak banyak berubah pun, kenapa gambar dulu yang awak puji? Sekarang tak cantik ke?”

“Sekarang pun cantik juga, cuma dulu lagi cantik.”

“Kenapa?”

“Awak pakai tudung labuh, cantik. Dah lama tak nampak awak pakai macam itu. Nampak lebih manis.”

“….”

“Awak tak terfikir nak kembali ke penampilan itu ke?”

“Saya bukan tak mahu, tapi…”

Keesokan paginya dia menatap dirinya di dalam cermin. Bertudung bawal dan berbaju kurung. Dia terfikir akan kata-kata sahabat lamanya itu. Hatinya terasa berat. 5 tahun pengalaman di sekolah berasrama penuh agama itu cukup memahamkan dirinya akan hakikat menutup aurat dengan sempurna. Namun penampilan itu cuma terpelihara di kawasan sekolahnya. Pernah beberapa kali dia ingin cuba kembali, tetapi dia ragu. Ragu akan pelbagai perkara. Rakan-rakannya, keluarganya, masyarakat di sekitarnya. Dia ragu.

*****

“Hisyam, kau tengah sms dengan siapa tu.”

“Dengan ‘isteri’ akulah.” Sambil mulutnya mengukir sengih.

“Sampai hati kahwin tak ajak aku datang kenduri.”

“Alah Idris, nanti bila aku kahwin aku ajak kau datang punya.”

Idris hanya menggeleng.

“Hisyam, minggu lepas aku bagi kau artikel tu, kau dah baca?”

“Pasal couple tu ke? Dah..” Hisyam menjawab lemah. Sengihnya tadi pudar menjadi senyuman yang kelat.

“Aku nak cakap dengan kau sekejap, boleh?”

“….”

“Hisyam, maafkan aku. Aku kawan kau. Aku sayang kau. Kita membesar sama-sama. Aku dah anggap kau macam adik aku sendiri. Aku harap kita sama-sama dapat berusaha untuk mencari redha Allah dalam hidup ini.”

Hisyam masih terdiam.

“Kau faham artikel yang aku bagi tu?”

“Faham...tapi…”

“Tapi…?” Idris mengulang dengan nada pertanyaan.

“Tapi aku tak sekuat kau. Aku tak mampu. Aku…”

Mata mereka bertentangan. Seorang kelihatan sayu, seorang kelihatan berharap.

Hisyam menatap telefon bimbitnya. Wallpaper menunjukkan gambar seorang wanita melayu bertudung bawal. Manis. Dia mengetahui apa yang dilakukannya silap. Perbahasan mengenainya telahpun dihadam dan difahaminya. Namun masih sukar untuknya mengambil tindakan. Dia masih ragu. Dia ragu untuk berubah.



*****

Dua kisah di atas adalah kisah kebanyakan daripada teman-teman kita di luar sana. Kisah sehari-hari dalam kehidupan. Dua kisah yang berbeza situasi, tetapi mengalami konflik yang sama. Keraguan. Ragu untuk membuat keputusan.

Mungkin ada di antara kita yang sedang menghadapinya. Mungkin ada yang pernah menghadapinya. Kebenaran sudah di depan mata, tinggal untuk diambil atau ditinggalkan. Pelbagai keraguan datang menghantui minda. Bersarang dalam pemikiran.

Lupakan sebentar kekusutan- kekusutan itu. Mari kita lihat kisah mereka.

Mereka Yang Tidak Ragu

Kisah yang berlaku di kota Madinah. Ketika masih di zaman Rasulullah. Masyarakat ketika itu adalah masyarakat Arab yang mengamalkan pelbagai adat jahiliyah. Namun kehadiran Islam menyirnakan kejahiliyahan mereka sedikit demi sedikit dengan tersinarnya cahaya hidayah Allah SWT.

Namun begitu, masih ada satu kebiasaan dan kegemaran yang masih belum ditinggalkan oleh sebahagian besar daripada mereka. Sesuatu yang telah mendarah daging dalam hidup mereka. Sesuatu yang buruk, tetapi tetap disukai dan sentiasa berada dalam hidup seharian mereka. Apakah ia?

Arak.

Ramai para sahabat yang tetap meminum arak walaupun telah memeluk Islam. Tatkala itu arak masih belum diharamkan. Sedikit demi sedikit arak mula diberi tanda-tanda untuk ditinggalkan. Bermula dengan firman Allah mengatakan arak itu ada baik buruknya,

Mereka bertanya kepadamu tentang khamar (segala minuman yang memabukkan) dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya."
[Al-Baqarah, 2:219]

Para sahabat masih ada yang mengambil arak. Masih ada yang meminumnya sehingga mabuk. Sehinggalah ketika menunaikan solat, ada yang membaca Surah Al-Kafiruun tidak habis-habis kerana terulang-ulang akan ayat yang sama. Lalu turunlah perintah Allah untuk tidak solat dalam keadaan mabuk.

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan...
[An-Nisaa’, 4:43]

Namun para sahabat masih meminum arak sehingga mabuk. Ada yang tertidur di jalanan kerana masih mabuk. Kecintaan mereka terhadap arak masih sangat menebal. Lalu sehinggalah turunnya ayat yang mengharamkan arak secara mutlak.

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. [90]

Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu). [91]
[Al-Maaidah, 5:90-91]

Mendengarkan sahaja firman Allah SWT ini, mereka segera bertebaran di seluruh pelosok Madinah dan melaungkan, “Arak telah diharamkan!” Lalu semua arak-arak yang masih disimpan, segera dituangkan ke jalanan. Yang baru hendak meminum, segara dibuang. Ada yang sedang meminum, segera dimuntahkan kembali. Sehingga diriwayatkan oleh Anas bin Malik, “Arak mengalir di jalan-jalan Madinah.” Sehingga arak yang mengalir kelihatan seperti anak-anak sungai di kota Madinah.

Mereka tidak ragu-ragu. Mereka tidak bertapi-tapi atau berdebat-debat lagi. Mendapatkan sahaja berita pengharaman itu, mereka segera meninggalkannya. Walaupun mereka amat mencintainya.

*****

Kisah berikutnya berkenaan wanita-wanita Anshor. Mereka berpakaian laksana wanita-wanita arab lainnya. Tidak berjilbab penuh seperti pelajar-pelajar sekolah agama. Namun apabila turunnya ayat,

Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[Al-Ahzab, 33:59]

Mereka tidak hanya diam mendengarkan sahaja. Mereka yang ada di pasar-pasar dan di seluruh Madinah segera berlari ke rumah masing-masing dan mengoyakkan kain-kain yang ada untuk menutupi tubuh mereka. Sehingga dikatakan oleh Aisyah RA, “Wanita-wanita dari kalangan Anshar keluar dari rumah seolah-olah di atas kepala mereka ada gagak karena pakaian hitam yang mereka kenakan.”


*****

Mereka tidak berfikir-fikir atau bertanya-tanya. Apatah lagi untuk mendebatkan sesuatu yang telah termaktub kebenarannya. Mereka tidak ragu-ragu. Mereka segera menyahut seruan itu. Jika ia sebuah larangan, segera mereka tinggalkan. Jika ia sebuah arahan, segera mereka lakukan. Persoalannya mengapa? Kerana mereka ingin menjadi mereka-mereka yang beriman.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.
[Al-Hujuraat, 49:15]

Orang yang beriman tidak ragu-ragu. Orang yang beriman tidak menanti-nanti suatu masa untuk berubah. Orang beriman hanyalah mereka yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi untuk berjuang.

Realiti kita, kita sentiasa ada alasan-alasan yang menghantui fikiran kita untuk berubah. Kita sering menunda-nunda sehingga kita tidak pernah melakukannya. Takut apa kawan kata, takut apa yang akan jadi, menunggu datangnya kekuatan, menunggu datangnya hidayah, dan seribu satu macam alasan lagi.

Ketahuilah saudara-saudaraku, kitalah yang menentukan jalan hidup kita. Terfikir untuk berubah itu sahaja merupakan hidayah daripada Allah. Tinggal kita mahu menyambutnya atau tidak. Dan tiada yang mampu membuat keputusan untuk kita, melainkan diri kita sendiri.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
[Ar-Ra’d, 13:11]

Tinggal kita. Pilih, terus dihantui kegusaran yang tidak diketahui hujung pangkalnya, atau mengambil kebenaran sebagai cara hidup. Saya telah membuat lompatan itu. Dan itu telah membuatkan saya berdiri di sini hari ini. Bagaimana anda?

Pilihan di tangan anda. Tepuk dada, tanya iman.

Yakinlah, jangan ragu-ragu.

Jadilah mereka-mereka yang beriman. Orang yang beriman itu,

“Mereka Tidak Ragu!”





~End Of Post~
Share

6 comments:

FRESHIE September 13, 2011 at 11:04 AM  

Ragu lawannya yakin. Yakin datangnya dari iman. Iman datangnya dari Allah. Sedang ragu datangnya dari syaitan.

Penulis ini telah kembali! Tahniah! Selamat mengekalkan rentak.

fikrah islamiah September 13, 2011 at 4:05 PM  

Tahniah, tulisan yang berani semoga boleh menyedarkan umat Islam

'Aishah Jauhara September 13, 2011 at 5:00 PM  

Terima kasih atas perkongsian. Penulisan yang baik dan mantap. :)

Dr. Mohamad Khir Bin Johari September 13, 2011 at 5:49 PM  

"Aku berlindung dengan Tuhan manusia, Raja manusia, Sembahan manusia, dari kejahatan was-was yang tersembunyi, yang membisikkan was-was di dalam dada manusia, dari kalangan jin dan manusia" [QS An-Nas, 114:1-6]

umairzulkefli September 13, 2011 at 6:07 PM  

To FRESHIE:
Amiin..mohon terus didoakan...


To Ahmad Baei Jaafar:
Jazakumullah khair Pak Ngah. Ada masa bagilah idea untuk saya menulis.

To 'Aishah Jauhara said:
Alhamdulillah..semua dengan izin dan rahmat-Nya. Semoga ada manfaatnya.

To Mohamad Khir Bin Johari:
Ramai baca ayat tu, tapi tak ramai yang faham. Semoga dibaca dengan pemahaman oleh semua.

.::: mr IQ :::. September 13, 2011 at 7:07 PM  

penulisan yg mengetuk pintu hati... :)

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP