Cerpen: Rokok dan Kopiah
Hari ini tulis cerpen.
Dapat inspirasi daripada sebuah video.
Ringkas, tetapi mendalam maksudnya.
Terimalah:
Rokok dan Kopiah
Pintu dikuak. Masuk seorang yang berbadan kurus. Rambut panjang sampai ke bahu. Memakai kemeja putih dan seluar jeans kelabu.
“Hai, tak bagi salam?” Seorang yang berbadan gempal tiba-tiba menegur. Sedang duduk di atas sofa dan meriba sebuah laptop. Matanya tidak beralih dari skrin laptop.
“Kau tak tidur lagi?”
“Aku tak boleh tidur, esok ada test.”
“Test…?” Si kurus menghampiri sofa.
“..ke facebook?” Sambil mukanya menjengah skrin laptop yang diriba.
“Sana sikit,” sambil duduk dan menolak si gempal. Si gempal hanya menuruti. Matanya masih belum beralih dari laptop. Kelihatannya benar-benar sibuk.
Sambil membetulkan letak duduknya, si kurus mengeluarkan sesuatu dari saku seluar jeans. Telefon bimbit. Kakinya kanannya diangkat dan disilangkan di atas kaki kiri. Sedikit melanggar laptop si gempal. Jemarinya menekan-nekan kekunci telefon bimbit. Lalu telefon diletak di telinga kanan.
“Hello? Assalamu’alaikum. Cikgu, ini Lutfi. Syafiq tengah buat apa?”
“Tidur?” Sambil matanya melirik ke jam di tangan kirinya.
“Oh, esok dia ada lawatan. Pergi mana?”
“Oh, ye ke. Dia memang suka tengok binatang.”
“Oh, gerak awal pagi,”
“Ye ke, kalau macam itu tak apalah cikgu, terima kasih. Assalamu’alaikum.”
Dia mengambil telefon bimbit ke hadapannya, memegang dengan tangan kiri dan ibu jari kanannya menekan-nekan butang telefon bimbit.
“Kau tahu tak? Sebenarnya down syndrome ni bukannya sejenis kecacatan, ia cuma perbezaan personaliti je.” Jemarinya masih menekan telefon bimbit.
“Habis tu, kenapa orang kata mereka abnormal?” Matanya masih tidak lepas dari skrin laptop. Sekali sekala menyemak helaian nota di tangan.
“Sebab mereka minoriti.” Tangan kirinya memasukkan telefon bimbit ke dalam saku kanan seluar jeans. Tangan kanan mengambil sesuatu dari saku baju kemeja. Kotak rokok. Jenama Marlboro.
“Oh, tetapi mereka tetap ada ‘sedikit’ kekurangan, bukan?” Perkataan sedikit itu disebut dengan sedikit penekanan. Wajahnya ditoleh kepada teman serumahnya itu.
Lutfi mengeluarkan sebatang rokok. Tangan kanannya yang memegang rokok mengetuk-ngetuk belakang rokok untuk memampatkan isinya.
“Kekurangan? Mereka pun ada kelebihan tahu?” Rokok diletakkan di bibir. Tangan kiri menyeluk saku kiri untuk mencapai pemetik api.
“Kelebihan apa?” Matanya kembali difokuskan ke laptop. Helaian nota tadi dipindahkan ke meja di hadapan.
“Kromosom?” Tangan kanannya memengang pemetik api. Api dihidupkan. Tangan kiri menghadang agar api yang dinyalakan tidak terpadam oleh tiupan angin.
“Sudahlah. Kalau cakap pasal logik memang kau menanglah.”
Rokok sudah dihidupkan. Abdomen Lutfi kelihatan sedikit terangkat tanda udara daripada sedutan rokok disedut ke dalam rongga toraks. Hujung rokok kelihatan menyala. Lalu asap rokok dihembus ke udara.
“Hoi, beragaklah sedikit. Nak merokok, keluar!” Si gempal tiba-tiba meninggikan suara. Tangannya mengipas-ngipas asap rokok yang dikeluarkan oleh Lutfi.
“Mus, aku baru balik ni, penat tahu. Bertimbang rasalah sedikit.” Lutfi acuh tak acuh. Wajah dan badannya dialih menjauh dari Mustaqim.
“Ah, tak ada, tak ada. Keluar, keluar, aku serius ni.” Tangannya masih mengibas-ngibas asap rokok.
“Tray pun ada kat sini.”
“Aku tak kira. Keluar. Bawa semua sekali.” Mustaqim bertegas.
“Alah, hisap rokok kat sini pun tak boleh.” Lutfi membebel sendirian sambil mencapai asbak dan berlalu keluar.
“Tak adalah, kau takkan tak tahu? Merokok ni bahaya tahu.”
“Bahaya? Ada orang merokok boleh hidup beratus tahun. Ada orang jaga kesihatan, bersukan lagi, hidup sekejap je.”
“Tapi kau main dengan risiko.”
“Risiko? Risiko apa yang kau cakap? Kau makan mi segera, pakai telefon bimbit, makan makanan-makanan segera tu, kau ingat tak ada risiko kanser?”
“Tapi benda tu haram.”
“Dengan kau ini semuanya haram. Nasib baik aku beli ukulele. Ukulele tu dosa dia separuh daripada gitarkan, ustaz?”
“Cuba kau fikir, berapa banyak kau bazirkan dengan rokok tu. Duit-duit itu kau boleh bagi pada adik kau untuk pelajaran dia, tuisyen dia…”
“Kau nak tau tak, sebatang rokok ini boleh buat aku berjaga 2-3 jam. 2-3 jam tu aku boleh buat assignment. Jadi apa beza rokok aku ini, dengan kelas-kelas tambahan yang kau ambil itu?"
*****
“Lutfi, bangun. Dah subuh. Tengok, luar dah terang,” Lutfi dikejut sambil langsir diselak.
Lutfi cuma menggeliat kecil sambil mendengus. Bantal ditekup ke atas muka.
“Wei, kau tak nak bangun ke apa ni? Dah pagi ni tahu,” matanya melirik ke jam di bucu skrin laptop lutfi. Tidak semena-mena Mustaqim tersenyum.
Gambar yang terpapar di wallpaper laptop Lutfi adalah wajah seorang kanak-kanak down syndrome. Syafiq, adik kesayangannya. Satu-satunya darah dagingnya yang masih ada di dunia.
Lutfi belajar sambil bekerja. Hari-harinya dilalui dengan penuh tabah. Kehilangan ibubapa sejak kecil membuatkan dia mengambil alih tugas menjaga dan menghidupi adiknya. Kini dia berada di Perth, Australia. Pagi kuliah, petang hingga malam berkerja sambilan mengedar risalah dari rumah ke rumah. Rutin seharian yang tidak pernah lelah dilaluinya. Namun,
“Bila izrail, datang memanggil, jasad terkujur, dipembaringan…” Lutfi memanjat katil Mustaqim.
Mustaqim terkejut. Spontan dia bangkit separuh terduduk. Matanya seperti tidak percaya. Lutfi bagun subuh?
“Bangun, solat subuh.”
“Kenapa kau bangun awal sangat hari ini?
“Aku dah bertaubat.” Lutfit menjawab selamba sambil menuju ke ruang tengah. Kedengaran suara pengacara perlawanan bola.
Selesai berwudhuk, Mustaqim menuju ke tempat solat bersebelahan dengan ruang tengah.
“Tengok bola boleh pula kau bangun?” Mustaqim bertanya tanpa melihat kepada Lutfi.
“Tengok bola aku minat. Sembahyang aku tak minat.” Mata Lutfi masih tertancap di kaca televisyen.
“Jangan nanti tuhan tak minat nak sambung nyawa kau itu sudahlah.” Ujar Mustaqim sinis. Sejadah dibentangkan.
“Selama ini aku tak sembahyang, tuhan minat je?”
“Entah-entah bukan minat, kesian sahaja.” Lalu takbir dilaungkan.
Lutfi hanya memandang teman serumahnya itu. Muka tiada perasaan.
*****
Lutfi menyiku Mustaqim yang sedang termenung. Dihulurkan sebatang rokok.
“Huh, benda ini bukannya dapat ubah markah test aku pun.”
“Memanglah tak boleh ubah, tapi dia boleh buat kau hilang tension.”
“Tapi aku tak nak mati awal.”
“Awal ke, lewat ke, everybody’s going to die anyway,”
Mustaqim melirik wajah Lutfi dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Diambilnya rokok tersebut. Sesaat lamanya dia merenung batang rokok itu. Lalu rokok itu dipegang dengan kedua belah tangan dan dipatahkan filternya. Bakinya disua ke mulut Lutfi.
“Yang kau patahkan fiter dia kenapa, pandai?”
“Filter tu untuk apa?”
“Dah nama pun filter, untuk tapis isi dalam rokok inilah!”
“Everybody’s going to die anyway?” Sambil mengangkat kening dua kali.
“Hm, not bad.” Rokok diletakkan ke bibir. Tangannya mengambil ukulele yang berada disisinya. Ukulele adalah alat muzik kecil bertali empat yang rupanya seperti gitar dan popular di Hawaii.
“Disebabkan rokok itu haram untuk kau, aku nak ajar kau melepaskan kesedihan markah rendah kau dengan ukulele. Mari aku ajar kau satu lagu.
“Sekuntum mawar merah…”
“Weh, benda ini haramlah.”
“Siapa kata?”
“Ustaz aku kata.”
“Aku ada tanya ustaz lain, dia kata boleh?”
“Ustaz itu salah agaknya.”
“Kalau ada dua pendapat berbeza, satu kena salah, satu kena betul? Kalau dua-dua betul tak bolehkah?”
“Maksud kau apa?”
“Yalah, kedua-duanya ustaz. Kalau dua-dua pendapat betul, tak boleh?”
“Mestilah yang lebih strict lebih betul.”
“Oh, maksudnya agama ini yang lebih strict lebih betullah?”
“Macam itulah agaknya.”
Kedua-dua mereka terdiam. Pemandangan di luar apartmen direnung.
“Lutfi, aku ada sesuatu nak tanya.”
“Apa dia?”
“Aku pelik dengan kau. Kenapa aku tengok kau hari-hari bersemangat betul. Padahal kau ibadah langsung tidak.”
Lutfi menggeleng-gelengkan kepala.
“Kau kata kau bergantung kepada tuhan. Tapi bila tuhan tak bagi, kau marah. Kau tension. Aku ini jenis yang tidak bergantung kepada siapa-siapapun. Aku fikir positif. Apa-apa yang terjadi dalam hidup aku, aku yakin ada sebab di sebaliknya. Jadi, hidup aku senang. Hati aku lapang.”
“Bukankah orang selalu kata, lagi banyak kita ibadah, lagi banyak kita ingat tuhan, lagi tenang hati kita?”
“Itu kalau kau ikhlas.”
Mustaqim mengerutkan dahi. Pandangannya dilemparkan keluar. Lutfi turut memandang ke luar. Kelihatan kereta-kereta bergerak di jalan raya. Semua orang menghadapi masalah. Lain orang, lain sudut pandang mereka.
“Come on bro, tuhan tak pernah salah. Dia dah atur semuanya elok-elok. Sebab itu namanya tuhan, tahu?” Lutfi mengakhiri ‘ceramahya’. Rokok tanpa penapis disuakan ke mulut. Hujungnya dinyalakan dan pangkalnya disedut. Tidak semena-mena Lutfi batuk mengokol-ngokol. Seperti tidak biasa merokok.
“Hah? Batuk? Hahaha, betullah, memang tuhan itu dah aturkan. Rokok itu haram.” Mustaqim tersengih.
“Tak ada filterlah!”
*****
Lutfi baru pulang. Seperti biasanya, bekerja lewat malam. Sambil menuju ke sofa, jemarinya menekan-nekan butang telefon bimbit. Telefon diletakkan di telinga dengan tangan kanan sambil membetulkan letak duduknya di atas sofa. Rumahnya kosong malam itu. Mustaqim ada kelas tambahan.
“Hello, cikgu. Assalamu’alaikum. Ini Lutfi. Syafiq ada?”
“Tak balik lagi? Mereka sepatutnya sampai bila? ”
“Jadi?”
“Hm, jalan sesak agaknya.”
“Cikgu, nanti bila rombongan itu sampai, cikgu tolong sms saya ya?”
Telefon bimbit dimasukkan ke dalam saku jeans. Mukanya berkerut. Sudah 3 hari dia tidak dapat bercakap dengan adik kesayangannya. Saku kemejanya diraba. Alat untuk mengurangkan tensionnya dicari. Wajahnya tiba-tiba kelihatan terkejut. Matanya segera melirik saku kemeja.
“Kosong. Macam mana aku nak stay up tengok bola malam ini? Tensionlah pula.”
Lalu dia bergerak ke bilik mencari ukulelenya.
“Mana pula ukulele aku?”
Semuanya tidak berjumpa. Dia tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat. Terasa kosong.
“Arghh!” Lutfi mendengus sambil menjatuhkan dirinya ke atas katil.
*****
Lutfi terbaring berselimut di atas sofa ruang tengah. Puntung-puntung rokoknya bersepah di atas meja. Kelihatan pil-pil penenang bertaburan di atas lantai. Matahari sudah tegak di atas kepala. Selalunya waktu ini Lutfi sedang mengedarkan risalah.
Mustaqim menghampiri sofa.
“Kau tidak kerja hari ini?”
“Aku pening kepala.” Lutfi menjawab dari dalam selimut.
“Kalau kau ada masalah, ceritalah.”
“Buat apa cerita kalau masalah tak selesai.”
“Memanglah, tetapi sekurang-kurangnya kau boleh kongsi dengan orang lain.”
Lutfi tiba-tiba bangkit mengalihkan selimutnya. Wajahnya kelihatan tidak terurus. Di wajahnya kelihatan raut wajah seseorang yang kecewa dan marah.
“Kau kata kongsi!? Kau nak aku kongsi dengan siapa!? Dalam hidup aku tiada sesiapa!”
Mustaqim terkejut dengan reaksi Lutfi. Lutfi yang kebiasaanya tenang tiba-tiba meninggikan suara.
“Kau ada semua. Kau ada mak, ayah, adik-beradik. Aku? Aku ada seorang adik sahaja. Itupun macam itu. Tapi aku bersangka baik dengan tuhan. Aku bersyukur dengan semua yang dia bagi. Aku datang ke sini, aku kerja supaya aku boleh tanggung dia. Supaya aku boleh upah orang untuk jaga dia. Yang aku nak cuma bercakap dengan dia hari-hari. Itu sahaja yang aku mahu. Itupun tuhan mahu ambil daripada aku? Dia memang tidak mahu aku ada apa-apakah?”
Lutfi kelihatan seperti melepaskan segala kegundahannya. Optimisnya hilang sama sekali.
“Lutfi, kau tak boleh cakap macam itu.”
“Aku tak kacau siapa-siapapun. Ada banyak lagi orang jahat di luar sana. Kenapa mereka hidup bahagia dengan keluarga mereka? Kenapa tuhan tidak ambil nyawa keluarga mereka? Kenapa aku?”
“Kau pernah ada adik istimewa. Kau tahu nabi ada siapa?”
“Siapa?”
“Tiada siapa-siapa.”
“Dia ada bapa saudara.”
“Tetapi bapa saudara dia tak dapat masuk Islam. Lagipun bapa saudara dia dapat teman dia sekejap sahaja.”
“Tetapi dia ada isteri.”
“Isteri dia pun mati awal.”
“Dia nabi. Mana sama dengan aku."
"Sebab itu dia lagi tiada apa-apa dibandingkan dengan kau.”
"Sebab itu dia lagi tiada apa-apa dibandingkan dengan kau.”
“Tapi aku tak boleh hidup seorang diri macam ini.”
“Memang tak boleh. Selagi kau tak bergantung kepada yang tidak mati.”
Lutfi akhirnya terdiam. Wajah Musaqim direnung dalam-dalam. Sesaat suasana menjadi sepi. Namun dalam hati Lutfi, umpama disentuh oleh sesuatu sejuk.
*****
Lutfi mengeluarkan beberapa helai baju dari dalam almari. Di atas katil kelihatan sebuah beg yang terbuka. Isinya separuh penuh. Lutfi menyusun baju-baju yang baru dikeluarkan satu persatu.
“Kau mahu aku hantar?”
“Tak payah rasanya, barang aku tak banyak pun. Aku naik teksi sahaja.”
“Kalau ada apa-apa beritahu aku ye.”
Lutfi hanya mengangguk.
Ketika hendak mematikan laptopnya, Lutfi tergerak hendak membuka sebuah fail. ‘Syafiq Comel’. Video kegemarannya. Fail itu diklik dua kali. Sebuah tetingkap keluar. Kelihatan seorang kanak-kanak down syndrome sedang menghadap I-Pad. Kanak-kanak itu menggerakkan jarinya menyentuh skrin. Kanak-kanak itu perlahan-lahan menulis perkataan pada skrin.
S….Y…A…F…I…Q
Lutfi tersenyum sayu melihat video itu. Perlahan-lahan laptopnya ditutup dan dimasukkan ke dalam beg galas. Matanya berkaca, namun digagahi dirinya untuk tidak menuruti perasaan. Dia menuju ke meja belajar. Jam tangan diambil dan dipakai di lengan kiri. Telefon bimbit diambil dan diletak dalam saku kanan jeans. Kotak rokok diambil. Isinya diperiksa. Sesaat lamanya dia memandang kotak rokok itu.
*****
Lapangan Terbang Curtin sesak seperti biasanya. Kelihatan seorang pemuda berbadan kurus berbaju kemeja biru dengan corak petak dan jeans lusuh. Saku kemejanya kelihata bersi seuatu. Pemuda itu berjalan menyandang beg sandang hitam sambil menggalas sebuah beg. Langkahnya ditujukan ke tempat menunggu.
Tempat duduk diambil. Dia memilih tempat yang paling jauh daripada orang lain. Hanya dia di sana. Barang-barangnya diletakkan di kerusi sebelah. Setelah memastikan keadaan benar-benar selamat, dia meraba saku kemejanya. Sebuah objek berbentuk segi empat dikeluarkan. Kelihatannya objek segi empat itu tidak seperti objek segi empat yang selalu menemaninya.
Objek itu adalah Al-Quran.
*****
Kepercayaan tanpa rasional adalah buta.
Namun, rasional tanpa kepercayaan adalah kosong.
Dia sudah kembali. Anda bila lagi?
Tribute to Matluthfi90: Rokok & Kopiah
-Mencari rentak menulis cerpen-
03082012
1025am
1 comments:
Ma shaa Allah ente
Post a Comment