Aug 8, 2009

Cinta Lagi...

Sememangnya isu cinta ini telah dibahas begitu banyak sekali. Namun ia tetap masih hangat dibicarakan di mana-mana. Masih ada yang belum mengetahui hujung pangkal masalah cinta yang dihadapi mereka. Tidak kurang yang memberi pendapat tentang percintaan. 'Ustaz-ustaz cinta' muncul bagai bidan terjun. Menceritakan pendapat-pendapat mereka tentang percintaan yang bagaimana dibolehkan dan yang bagaimana dilarang. Sebahagian yang menulis dan berkata-kata berdasarkan dalil Quran dan Sunnah amat dikagumi. Mampu berhujah menggunakan sumber hukum agama menunjukkan semakin ramai yang celik agama. Ada juga yang masih mengatakan "Pada pendapat saya boleh, sebab.." dan pelbagai gaya bahasa yang membawa maksud yang sama, iaitu pendapat sendiri. Bagi mereka ini pula, menunjukkan masih ada yang belum mengetahui bahawa sesuatu dalam Islam itu perlu dilakukan berdasarkan dalil yang jelas, bukannya pendapat semata-mata. Allah telah menegaskan:

(Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab.
[4:123]

Bagi mereka yang mengatakan boleh bercinta sebelum bernikah, amatlah disangsikan kata-kata mereka. Dari sudut apa boleh berlakunya percintaan di antara dua insan berbeza jantina yang tidak mempunyai ikatan yang jelas?


Sebelum itu, perlu difahami bahawa mencintai adalah berbeza daripada bercinta.

Mencintai bermaksud


menyukai, menyayangi dan menaruh hati kepada seseorang. Ia merupakan fitrah yang masih boleh dikawal.
Manakala bercinta pula adalah perbuatan cinta-mencintai atau berkasih-kasihan. Ia merupakan perbuatan saling yang berlaku antara dua insan. Dan apabila ia berlaku antara lelaki perempuan yang bukan mahram, maka itulah yang dilarang dalam Islam.

Ada yang mengatakan bahawa boleh bercinta, menzahirkan rasa cinta kepada seseorang dengan tujuan benar-benar untuk melamarnya bagi dijadikan isteri. Berpendapat bahawa zaman sekarang tidak mungkin seseorang itu dapat lari daripada ber-couple dan bercinta walaupun cara dan kaedah mereka nampak Islamik (menjaga hawa nafsu dari maksiat), termasuk mereka yang bercinta selepas berkahwin. Katanya, hal ini kerana mereka yang bercinta selepas berkahwin akan melihat bakal isteri sebelum Ijab dan Qabul.

Setakat melihat itu bukannya bercinta. Memang ada hadith yang menceritakan Rasulullah menyuruh melihat siapa yang bakal dinikahi:

Dari Abu Hurairah, ia berkata: Pada suatu waktu, ketika aku sedang berada dekat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, tiba-tiba datang kepada beliau seorang laki-laki meminta nasihat, lalu dia berkata: Aku akan mengawini seorang wanita Anshar. Bagaimana pendapat baginda? Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam balik bertanya kepadanya: “Sudahkah engkau lihat wanita itu?” Jawabnya: Belum. Kemudian sabda beliau SAW: “Lihatlah dia dahulu, karena dalam mata orang Anshar ada sesuatu.
[H.R. Muslim]

Rasulullah hanya menyuruh untuk melihat, bukannya menzahirkan kecintaan, berkenal-kenalan dan bercinta dahulu sebelum diikat kedua insan itu dengan pernikahan. Kepada yang berpendapat, kembali soalan dipertanyakan, pernahkah Rasulullah menyuruh para sahabat yang ingin bernikah berkenal-kenalan dahulu, mengetahui isi hati dan yang sewaktu dengannya lalu baru menikah? Belum pernah lagi ditemui hadith yang menceritakan seperti itu. Mungkin penulis tersilap, maka jika ada, sila bawakan.

Apabila kita membicarakan boleh bercinta sebelum pernikahan, maka kita perlu ingat, orang umum akan menganalisanya. Mereka yang membaca, terutamanya rakyat Malaysia kita ini (yang sebahagian besar terkenal dengan sifat malasnya, hanya mahu mengambil apa yang mudah dan disukai hati dan nafsu mereka) akan menganggap mudah hal ini. Maka ruang untuk mendekati zina akan terbuka. Allah melarang 'menghampiri' kerana Dia sebagai pencipta amat mengetahui kelemahan manusia ciptaanNya. Manusia apabila menghampiri zina maka akan terjebak dalam penzinaan. Kisah Adam yang kecundang terhadap buah larangan merupakan bukti yang jelas. Zina bukan hanya zina secara zahir, malah ada zina hati. Dan ini tidak dapat dielakkan oleh sesiapa pun yang bercinta tanpa pernikahan. Hadithnya jelas dan boleh dibaca di dalam artikel penulis sebelum ini.


Jadi bagaimana? Masihkah boleh menikah tanpa melalui fasa percintaan terlebih dahulu? Sudah tentu boleh!

Ramai yang telah melakukannya. Mereka tidak pernah bertemu dan berkenalan sebelum bernikah. Cuma bertemu sebentar dalam majlis ta'aruf yang telah diaturkan, kemudian berlaku perbincangan, istikharah dan mengeluarkan kata-kata sepakat. Tidak lama selepas itu terus disatukan dengan pernikahan. Perjumpaan dan interaksi yang berlaku di sela waktu itu hanya untuk menyelesaikan masalah-masalah yang bersangkut-paut dengan pernikahan mereka. Segala-galanya hanya bermula selepas pernikahan.

Inilah keindaah hidup berjemaah. Ada yang sistem pernikahan muslim yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Bait Al-Muslim ataupun Bait Ad-Du'at. Mereka semua sama-sama cuba membaiki diri menjadi insan yang lebih baik kerana meyakini bahawa Allah akan menjodohkan mereka dengan pasangan yang sesuai dengan keimanan mereka. Oleh itu mereka akan mengikuti majlis-majlis ilmu, usrah-usrah dan sebagainya bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam jalan yang diredhai Allah.

Lalu muncullah mereka yang selalu bising-bising di belakang, "Orang-orang baik ni, yang nampak alim ni, pentingkan diri mereka sahaja. Mereka cari yang golongan-golongan mereka je. Kami yang biasa-biasa je ni, melepaslah nak dapat calon yang baik.."

Cik Abang dan Cik Akak, mereka bukanlah mementingkan diri sendiri. Tetapi bukankah itu memang firman Allah?

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (surga).
[24:26]

Oleh itu berusahalah memperbaiki diri. Maka pasti akan berjumpa dengan mereka yang juga berusaha memperbaiki diri. Berusahalah menjadi mereka yang beriman, pasti akan dijodohkan dengan mereka yang juga berusaha menjadi mereka yang beriman.

Jangan tertipu dengan hubungan yang masih belum jelas statusnya. Apakah akan berakhir dengan pernikahan ataupun perpisahan. Jodoh dan rezeki telah ditetapkan oleh Allah. Tiada guna kita berusaha melalui jalan-jalan yang tidak sesuai dengan syariatNya. Lakukanlah menurut apa yang telah digarisinya dalam agama.

Buat yang sedang bercinta, segeralah bernikah. Allah pasti akan membantu mereka yang ingin bernikah.

“Ada tiga orang yang pasti (berhak) mendapat pertolongan Allah SWT: al-mukatab (hamba yang berupaya memerdekakan diri) yang hendak menunaikan tebusan dirinya, Lelaki yang bernikah kerana ingin menjaga kesucian dan kehormatan dirinya, dan mujahid (pejuang) di jalan Allah.”
(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Jika bernikah merupakan sesuatu yang masih belum mungkin, maka bersabarlah, anda seharusnya menutupi pintu-pintu yang bakal mengundang dosa. Walaupun berat, percintaan itu terpaksa ditinggalkan. Yakinlah Allah akan memberikan sesuatu yang lebih baik. Dan sekali lagi, jika memang jodoh anda, pasti akan bersama akhirnya.

Sabarlah menanti
Usahlah ragu
Kekasih akan datang
Sesuai dengan iman di hati

Sabarlah menunggu
Janji Allah akan pasti

Bila di dunia dia tiada
Moga di syurga dia telah menanti


Dimohon membaca artikel-aktikel saya sebelum ini untuk lebih memahami tentang isu ini. Ia telah diterbitkan dalam iluvislam.com dan blog saya:
umairzulkefli.blogspot.com

Nak Ber'couple' Boleh Tak?
-->Blog Saya
-->iluvislam.com

Bagaimana Bercinta Dalam Islam?
-->Blog Saya
-->iluvislam.com

Cerpen Cinta
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=922

Share

2 comments:

Ummu Iman September 28, 2009 at 3:20 PM  

salam..
SubhanAllah..artikel yang baik..ana nak minta izin copy blh?

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP