Mar 12, 2012

Perkongsian: Lingkaran Keimanan

Assalamu'alaikum WBT
Sekali lagi meniup habuk.
Maafkan saya sekali lagi atas penyepian sekian lama.
Para pembaca, artikel kali ini memang agak panjang.
Tetapi saya yakin ia merupakan jawapan yang dicari oleh ramai daripada kita.
Punca dan penyelesaian buat masalah ummah yang sedang kita hadapi.
Selamat Membaca. Semoga Allah redha.

problem-solution by ~desig9 of deviantart


Bila Berbicara Soal Keimanan
Bila berbicara tentang keimanan, jumhur ulama mengatakan bahawa iman itu adalah mengaku dengan lisan, membenarkan dengan hati dan mengamalkan dengan anggota. Di dalam Al-Quran pula Allah berfirman tentang ciri-ciri orang yang beriman. Allah berfirman:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Allahlah mereka bertawakkal.
[Q.S. Al-Anfaal, 8:2]

Penggunaan kalimah (إِنَّمَا) adalah sebuah kaedah bahasa Arab iaitu  Uslub Qasr (Pengkhususan)yang membawa makna bahawa orang yang dikatakan beriman itu khususnya mereka yang apabila disebutkan nama Allah, bergetar hatinya. Siapa yang tidak bergetar, maka dia belum sempurna imannya.

Realiti masyarakat kita
Jika kita memandang sekilas kepada masyarakat kita, rasa-rasanya mereka ini tergolong dalam kategori orang-orang yang beriman atau tidak? Mari kita menguak sedikit tabir masyarakat kita.

Pada tahun 2008, Datuk Seri Syed Hamid Albar mendedahkan catatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak tahun 2000 sehingga Julai 2008. Sebanyak 257,411 orang bayi didaftarkan tanpa nama bapa.


Mari kita buat sedikit kira-kira. 257,411 orang bayi dalam masa 8 tahun. Bahagikan angka tersebut dengan 8 tahun. Dalam setahun terdapat 32,176 orang bayi didaftarkan. Bahagikan pula dengan 365 hari setahun, terdapat 88 orang bayi didaftarkan. Dan jika kita bahagikan dengan 24 jam sehari, hampir 4 orang bayi yang didaftarkan dalam sejam! Dan 4 orang bayi ini bermakna ada sekurang-kurangnya 4 pasangan yang berzina ataupun 8 orang yang sedang berzina dalam sejam.


Pada tahun 2011 pula, didedahkan dalam akhbar Berita Harian bahawa sebanyak 151,182 kes bayi yang dibuang. Angka ini mari kita lakukan pengiraan yang sama, terhitung sebanyak 50,727 bayi dibuang dalam setahun, 139 bayi dibuang dalam sehari dan lebih kurang 5.79 atau 6 orang bayi yang dibuang dalam masa sejam. Statistik ini menunjukkan bahawa kadar perzinaan ini meningkat setiap tahun. Bayangkan apa yang akan terjadi 5 tahun lagi?


Mari lihat kes perceraian pula. Kes perceraian yang didaftarkan oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara pada tahun 2008 sahaja adalah sebanyak 75,299 kes. Angka ini jika dikira menghasilkan statistik yang jauh lebih mengejutkan. Sebanyak 206 kes perceraian sehari, dan lebih kurang 8 ke 9 kes perceraian sejam. Rupa-rupanya orang-orang di Malaysia ini bercerai setiap 8 minit sekali!



Alangkah teruknya akhlak dan keadaan umat Islam di Malaysia ini. Mari kita kembali kepada persoalan kita, apakah rakyat dalam negara Malaysia yang kita cintai ini boleh dikategorikan sebagai mereka yang beriman? Anda tentukan. Fakta telah menceritakan.

Persoalannya di sini, bagaimana semua ini boleh terjadi? Apakah titik mulanya semua kehancuran ini?

Mereka Tidak Serang Secara Fizikal, Kerana…
Perkara ini sebenarnya kesan daripada perancangan musuh-musuh Islam sejak beribu-ribu tahun yang lalu. Sejak kekalahan mereka dalam perang salib, mereka telah membuat kesimpulan bahawa Tentera Muslimin tidak akan mampu dikalahkan dengan peperangan fizikal. Mereka seolah-olah kebal dan tidak mempunyai kelemahan. Biarpun sedikit, mereka tetap akan menang.

Dalam peperangan Badar Al-Kubra, tentera Muslimin cuma berjumlah 313 melawan tentera musuh seramai 1,000 orang yang siap berkelengkapan perang. Berbezaan jumlah yang cukup besar, melebihi 3 kali ganda. Begitu juga dalam peperangan Khandak, 3,000 orang tentera Muslimin menghadapi 10,000 orang tentera musyrikin. Pertolongan Allah sentiasa datang kepada mereka. Menyebabkan mereka tidak terkalahkan.

Dan sirah juga mecatatkan kehebatan para sahabat di medan peperangan. Mereka umpama tidak berasa sakit walaupun tercedera teruk dalam peperangan. Ada sahabat yang ditetak tangannya sehingga hampir putus. Namun beliau tetap meneruskan peperangan. Namun tangannya yang hampir putus itu mengganggu pergerakannya, lalu tangannya itu dipijak dan dicabutnya. Tangan itu dicampakkannya ke tepi dan meneruskan peperangan. Sahabat yang lain pula, jarinya ditetak dan hampir putus. Jari yang hampir putus itu juga mengganggunya, lalu seperti sahabatnya, jari tersebut dipijak dan dicabut serta dilemparkan ke tepi dan peperangan diteruskan. Hebat bukan?



Inilah yang ditakuti oleh musuh-musuh Islam. Semangat syahid yang membuatkan mereka langsung tidak takut untuk mati bahkan bersedia mengorbankan apa sahaja demi mencapainya. Mereka telah menjual seluruh hidup mereka untuk membeli syurga yang telah dijanjikan oleh Allah SWT,

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.
[Q.S. At-Taubah, 9:111]

Jadi mereka mosakkan fikiran kita
Apakah yang dapat dilakukan untuk mengalahkan orang-orang seperti ini? Kesimpulan yang dibuat mengenai mereka adalah, untuk mengalahkan tentera muslimin, mereka perlu dilemahkan terlebih dahulu. Punca kekuatan yang ada pada diri mereka, yakni keyakinan dan kecintaan kepada Allah SWT perlu dikikis sehingga mereka tidak lagi mampu untuk berjuang sepenuh hati. Dan cara itu adalah dengan merosakkan fikiran mereka.

Musuh-musuh Islam telah mencipta hiburan-hiburan, permainan dan menggunakan pelbagai cara untuk melekakan umat Islam daripada agama mereka.

Lihat sahaja sekarang. Mereka campakkan sebiji bola di atas padang, diarahkan 20 orang mengejarnya dan 2 orang sibuk menjaga di antara 2 tiang, berjuta-juta umat Islam akan menjerit dan bertempik tidak tentu hala. Hanya disebabkan sebiji bola itu, solat dilalaikan, bahkan tidak sedikit yang meninggalkannya. Mereka sanggup untuk bangun pada tengah-tengah malam untuk menonton perlawanan bola sepak, tetapi akan tidur sebelum solat subuh dan langsung tidak menunaikannya.

Penangan komputer tidak kurang hebatnya. Kawan serumah saya di universiti, hampir setiap masa saya masuk ke biliknya, pasti mereka sedang bermain Dota atau menonton movie. Setiap masa dipenuhi dengan perkara yang sia-sia. Bagaimana mereka ini hendak memikirkan keadaan umat Islam yang teruk ditindas? Apatah lagi jika diminta untuk pergi berjuang, lebih tidak menyakinkan lagi.


Bagaimana strategi mereka?
Inilah penangan serangan pemikiran yang mereka lakukan. Mereka membuatkan umat Islam menjauh daripada pegangan Islam yang sebenar. Membuatkan kita lupa jati diri kita, lalai akan perjuangan dan tidak ingin malah tidak tahu bagaimana hendak berdakwah. Mereka dengan liciknya menakluki negara-negara Islam yang berjauhan daripada pusat pentadbiran khalifah Islam terakhir dan akhirnya khalifah ditumbangkan.

Lalu pola pemikiran yang rosak dan cintakan dunia diterapkan. Dengan televisyen kita semua telah dipukau untuk meyakini bahawa Amerika dan Israel punya kuasa besar yang tidak mampu ditewaskan. Pelbagai filem diterbitkan untuk menceritakan kehebatan dan kepahlawanan tentera Amerika dan sekutunya. Gaya hidup merekalah yang paling benar dan perlu dicontohi. Dan mereka bijak memanipulasi media masa untuk mencanang-canangkan gaya hidup mereka yang sangat disukai oleh hawa nafsu.

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).
[Q.S. Ali ‘Imran, 3:14]

Ini semua telah diterapkan sejak zaman nenek moyang kita lagi. Bayangkan berapa generasi di atas kita telahpun diserang pemikirannya sehingga tidak tahu berdakwah dan tidak menitik beratkan gaya hidup Islam dalam diri.

Mudah cerita, katakana generasi pertama yang dirosakkan adalah generasi moyang kita. Kerosakan yang dialami mereka mungkin tidak begitu teruk, hasilnya mereka hanya faham Islam sekadar agama yang baik, solat jangan tinggal, maksiat jangan buat. Bagaimana mereka mendidik anak-anak mereka atau lebih tepat, generasi datuk dan nenek kita?

Datuk dan nenek kita adalah mereka yang hidup sebagai dewasa pada tahun 1950 hingga 1970. Mereka dididik dengan pengangan ‘pandai-pandai jaga diri’ dan jadilah orang baik’. Waktu itu belum ada TV dan media-media perosak dan pendedahan gaya hidup barat masih belum meluas. Suasana masyarakat masih terkawal dan mereka masih tidak teruk terpengaruh. TV yang ada cuma TV hitam putih macam cerita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Dengan suasana inilah datuk nenek kita mendidik ibu bapa kita. Hidup semakin mula menyukai hiburan dan semakin kurang kefahaman Islam serta suasana keislaman dalam rumah.

Mereka yang kurang kefahaman Islam ini pula akan mendidik anak-anak mereka menjadi orang-orang yang tidak faham Islam. Hanya Islam pada nama dan ikut-ikutan. Inilah orang dewasa yang hidup pada zaman 1970-an sehingga 1990-an. Ditambah lagi dengan kerosakan yang semakin dahsyat pada waktu itu, dengan adanya TV dan internet serta pelbagai lagi media untuk musuh-musuh Islam merosakkan pemikiran mereka, kefahaman Islam yang ada semakin runtuh. Inilah generasi ibu dan bapa kita.

Kini tibalah masanya generasi kita. Kita adalah mereka yang hidup dewasa pada tahun 2000 hingga tahun 2020. Generasi millennium. Dengan generasi di atas kita yang tidak memahami Islam, kita dididik sehingga jauh daripada Islam bahkan langsung tidak mengenali Islam. Solat berjemaah tidak pernah dihidupkan di rumah. Bagaimana hendak menghidupkan solat berjemaah, ibu bapa sahaja ramai yang tidak solat! Dan generasi kitalah yang kita lihat sekarang sedang teruk rosak akhlaknya. Berzina, buang anak, minum arak, bercerai, dan banyak lagi yang tidak sanggup saya sebutkan.


Maaf, mungkin ada yang tersinggung dengan pernyataan saya di atas. Saya tidak maksudkan semua keluarga seteruk ini, tetapi inilah realiti yang terjadi kepada sebahagian besar masyarakat kita. Dan sekarang kita sedang melihat realiti tersebut di depan mata kita. Relakah kita membiarkan semua ini terus berlaku? Saya tidak sanggup. Saya tidak sanggup membiarkan anak saya hidup dalam suasana yang jauh lebih teruk daripada yang sedang saya alami. Maka saya perlu buat perbaikan.

Jadi, apa yang perlu kita lakukan?
Setelah mendengar perbahasan-perbahasan di atas, mungkin dalam diri kita tercetus rasa untuk membuat perbaikan. Kita terfikir, “Aku mesti buat perubahan.” Namun cetusan itu hanya umpama percikan api yang tidak mampu menerangi apa-apapun. Cetusan yang kita peroleh ini, sepatutnya kita percikkan kepada daun-daun kering sehingga daun-daun itu terbakar. Daun-daun kering itu kita kumpulan dan kita bakar pula ranting-ranting kayu. Ranting-ranting yang telah terbakar ini, kita masukkan pula kayu-kayu api dan seterusnya bahan bakar yang lebih besar lagi. Dengan itulah percikan api yang kecil tadi dapat dikekalkan seterusnya dibesarkan serta disebarkan.

Begitu juga dengan kita. Sekarang, cetusan keinginan untuk perubahan yang kita dapati ini perlu dipastikan agar berterusan.  

Kami ada ‘Lingkaran Kami’
Peringatan perlu dilakukan secara rutin. Itulah yang saya dan rakan-rakan sedang lakukan. Alhamdulillah, kami dengan izin Allah SWT secara rutin setiap minggu mempunyai lingkaran-lingkaran kami lakukan untuk memperingatkan diri kami dengan ayat-ayat Allah SWT dan peranan kami sebagai hambanya.


Lingkaran inilah yang kami panggil sebagai halaqoh ataupun lebih dikenali ramai sebagai usrah. Dan inilah caranya kami akan memperbaiki ummah. Bila bercerita tentang usrah, masyarakat kita cukup pesimis. Pandangan umum tentang usrah adalah suatu pertemuan dalam bulatan yang dilakukan seminggu sekali, yang didalamnya dibacakan sebuah buku yang menjadi silibus oleh seseorang yang dipanggil naqib atau ketua bagi usrah tersebut. Peserta yang datang tidak pernah dipedulikan kedisplinan kehadiran serta perkembangannya. Peserta yang tidur dibiarkan sahaja. Walaupun usrahnya berterusan, kadang-kadang buku yang sama juga dibacakan. Dan kemudian mereka pulang tanpa ada perubahan yang dapat dibuat. Hanya pertemuan yang sia-sia. Jika memang itulah yang berlaku, maka usrah yang dilakukan itu memang sebuah usrah yang sia-sia.

Halaqoh ataupun usrah yang saya maksudkan adalah halaqoh yang membawa perubahan kepada diri. Ummat yang ada sekarang ini, rosaknya adalah berpunca daripada kerosakan pola pemikiran sehingga tidak mampu berfikir dan bertindak dengan pola fikir Islam. Akal mereka telah didoktrin dengan dahsyat sejak daripada lahir lagi. Maka akal merupakan perkara yang perlu diperbaiki. Sebab itu kita perlukan tarbiyah yang menyeluruh. Mereka yang hadir, akan terus menerus dipantau perkembangan dan perbaikan dirinya. Perlahan-lahan mereka diproses untuk menjadi insan yang lebih baik. Mereka akan disusun serta diatur untuk menyebarkan dakwah ini sesuai dengan posisi mereka. Dengan cara inilah kami mengembangkan dakwah.


Mereka yang bersama-sama berusaha menjaga kedalam lingkaran keimanan yang kami cuba bina bersama-sama ini kami gelarkan sebagai Ikhwah dan Akhwat. Ada mereka yang menggelarkan sesama mereka sebagai sahabat, sahibah, tuan-tuan yang mulia dan sebagainya. Tetapi kami lebih selesa dengan panggilan Ikhwah dan Akhwat. Ini kerana perkataan Ikhwah adalah sinonim dengan mereka yang ingin menjaga keimanan. Firman Allah:

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu perbaikilah (hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.
[Q.S. Al-Hujuraat, 49:10]

Perkataan المؤمنون dalam ayat itu Allah gabungkan dengan perkataan إخوة . Oleh itu, kami lebih selesa menggunakan panggilan Ikhwah atau Akhi dan Akhwat atau Ukhti kepada mereka yang sama-sama menghidupkan lingkaran keimanan yang kami panggil halaqoh ini. Ikhwah serta Akhwat yang sama-sama cuba membina keimanan dalam diri dan menyebarkannya kepada masyarakat. 


Kami akan ubah dunia dengan halaqoh
Mungkin ramai yang tertanya-tanya ataupun meragui bagaimana dakwah boleh berkembang dengan halaqoh. Sebenarnya ia merupakan sebuah kira-kira logik yang mudah difahami.

Katakan sekarang saya mentarbiyah 2 orang anak halaqoh dengan menghalaqohkan mereka secara intensif. Perbaikan dirinya diperhatikan, kefahaman Islamnya dipertingkatkan. Kemahiran memberi tazkirahnya dilatih. Mereka dibimbing untuk berkorban demi Islam dan memperjuangkannya.

Jika tarbiyahnya berjalan secara konsisten selama setahun, insya-Allah pada tahun kedua, mereka akan menjadi ikhwah telah mampu membina halaqoh mereka sendiri. Mereka yang telah ditarbiyah ini juga akan melakukan proses yang sama untuk mentarbiyah 2 orang lagi. Maka pada tahun kedua, 4 orang baru akan ditarbiyah.

Proses itu akan berterusan pada tahun ketiga, 8 orang akan ditarbiyah oleh 4 orang ini. Pada tahun keempat pula 16 orang akan ditarbiyah, tahun kelima 32 orang dan begitulah seterusnya. Tidak sampai 30 tahun semua rakyat Malaysia ini telah selesai ditarbiyah dan diproses. Itu baru 2 orang setahun, dan hanya saya yang melakukannya. Dan semua ini akan diteruskan sehingga seluruh dunia akan diubah. Dapat lihat logiknya?



Tarbiyah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW untuk memperbaiki keadaan masyarakat Arab jahiliyah pada zaman baginda. Tarbiyah yang mampu mengubah masyarakat yang hina kepada masyarakat yang mulia serta disegani. Tarbiyah baginda dimulai dengan mengajak orang-orang yang dekat dengan baginda dan mereka-mereka yang dekat dengan orang yang diajak oleh baginda. Mereka semua ditarbiyah di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam pada waktu malam sehingga menjelang subuh. Mereka dibacakan Al-Quran, dibersihkan akhlaknya dan ditunjukkan cara hidup yang perlu dilalui sebagai seorang muslim. Ini yang Allah SWT firmankan,

Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.
[Q.S. Al-Jumu’ah, 62:2]

Suasana tarbiyah inilah yang dijalankan dalam bentuk-bentuk halaqoh kecil yang dijalankan oleh baginda Rasulullah. Jika kita mendengar hadis-hadis yang menceritakan “Ketika kami sedang duduk-duduk bersama Rasulullah SAW..” dan seumpamanya, bagi kami ikhwah serta akhwat yang ditarbiyah, kami memahami keadaan itu sebagai para sahabat sedang duduk dalam majlis halaqoh yang dilaksanakan oleh baginda. 

Dan baginda telah membuktikan hasilnya. Mus’ab bin Umair dan Abdullah Ummi Maktum yang dihantar oleh Rasulullah ke Madinah telah berhasil mentarbiyah penduduk Madinah sehingga hampir kesemua mereka beriman. Kemudiannya mereka bersetuju melantik Rasulullah SAW sebagai pemimpin mereka, sehingga tertegaklah negara Islam yang pertama di sana.

Idea tidak masuk akal?
Tentu ramai yang berfikir, bertapa idealnya idea ini. Mungkin sebagian anda mengatakan ini idea yang tidak mungkin dapat dilaksanakan. Memang, demi sebuah kejayaan, kita perlu berimpian besar. Rasulullah juga telah mencontohkan. Baginda bersabda, “Sesungguhnya Konstantinopel itu pasti akan ditakluki oleh orang Islam. Raja yang akan menaklukinya adalah sebaik-baik raja. Tentera yang akan menaklukinya adalah sebaik-baik tentera.” Ketika itu umat Islam jumlahnya masih sangat sedikit. Pada logiknya, mereka pasti tidak mampu menakluki kota Konstantinopel yang sedang dikuasai kuasa besar Rom pada masa itu. Namun mereka tidak pesimis dan terus-menerus cuba menguasai Konstantinopel hingga selepas 800 tahun akhirnya Konstantinopel berjaya dikuasai oleh orang Islam. Mereka percaya kepada cita-cita dan target yang diletakkan oleh Rasulullah, dan mereka bekerja untuk membuktikannya. Persoalannya, adakah kita percaya?

Sekarang jangan kita susah-susah berfikir bagaimana caranya untuk menyebarkan Islam, membina halaqoh dan sebagainya. Mulakan dengan perbaikan diri. Pastikan komitmen kita dengan proses tarbiyah yang kita ikuti berada pada tahap yang tertinggi. Pastikan kita hadiri setiap pertemuan-pertemuan tarbiyah yang dijalankan, sama ada halaqoh mingguan, dauroh, rehlah dan sebagainya. Semua ini adalah sarana-sarana yang diperlukan untuk kita mentarbiyah diri dan memperbaiki keimanan dalam jiwa. Dengan jiwa yang penuh dengan cinta kepada Islam dan perjuangan, maka perjuangan Islam pasti akan kita dukung dan perjuangkan bersama. Kerana dakwah merupakan sebuah fitrah.

Ramai yang mahu buat perbaikan
Ya, memang ramai orang yang ingin melakukan perbaikan ini. Bahkan mungkin ramai juga yang punya idea yang sama dengan apa yang saya ceritakan di atas. Di negara kita sendiri kita terdapat pelbagai gerakan yang ingin membuat perbaikan kepada ummah. Adanya PAS, ABIM, IKRAM, ISMA, HALUAN, Tabligh dan pelbagai lagi cabang-cabang mereka di seluruh tanah air.

Kehadiran mereka semua amat kami syukuri. Semua gerakan tersebut adalah gerakan dakwah yang baik dan sangat perlu kita sokong keberadaan dan perjuangannya. Setiap gerakan punya ketetapan, prinsip, target serta strategi-strategi dakwah yang tersindiri. Kepelbagaian itulah yang menyebabkan wujudnya pelbagai gerakan yang dapat kita lihat pada hari ini.

Dan begitu juga dengan kami. Kami punya prinsip dan strategi serta fokus kami yang tersindiri. Kami akan mentarbiyah seramai-ramainya masyarakat sehingga terhasil Ikhwah dan Akhwat yang telah ditarbiyah yang sanggup mengorbankan harta, diri bahkan segala-galanya demi memperuangkan Islam. Dan kami akan pastikan kami membuat perubahan yang terbaik. Kita semua akan berlumba-lumba dalam kebaikan dan kami tidak akan kalah dengan semua gerakan yang telah disebutkan mahupun yang tidak disebutkan di atas.




..oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan...[Q.S. Al-Baqarah, 2:148]

Berbeza, bukan bermusuh
Jangan salah faham. Berbeza, bukan bermakna bermusuh. Berbeza yang ada di sini cuma dari sudut fiqh dakwah atau cara pendekatan yang digunakan.

“Eh, kata semua gerakan bagus, kenapa kamu buat yang lain? Kenapa tidak ikut sahaja mereka?”

Soalan ini sudah terlampau banyak dipertanyakan kepada Ikhwah dan Akhwat. Dan soalan ini juga telah terlalu banyak dijawab. Dalam penulisan-penulisan saya sebelum inipun telah saya jelaskan. Sila klik link ini. Juga ini. Serta ini. Bahkan ini. Ini pun boleh.

Dan perlu dijelaskan, menyokong dan mengakui gerakan lain adalah baik, tidak bermakna kita perlu menyertai gerakan-gerakan tersebut. Buatlah kerja dakwah masing masing. Kita akan sama-sama masuk ke syurga Allah, jika kita punya tujuan yang sama.

Kesimpulan: Bina Lingkaran Keimanan Kamu
Artikel ini saya tulis untuk semua yang membaca. Tidak kira siapa kamu.

Buat kamu belum punya lingkaran itu, binalah. Kalau susah sangat, sertailah mana-mana yang kamu jumpai.

Buat yang telah mempunyai lingkaran, pastikan lingkaran keimanan kamu adalah lingkaran yang membuat perubahan dan mampu berkembang. Kalau tidak, tarbiyah itu akan terhenti pada kamu. Kamu tidak akan mampu membantu sesiapa.

Buat Ikhwah dan Akhwat yang bersama-sama menapaki jalan ini, bersabarlah. Teruskan usaha kamu. Pastikan diri kita yang pertama sekali kita perhatikan kualitinya. Kemudian, pastikan ikhwah serta akhwat yang kita bina tertarbiyah dengan baik.

Doakan saya, Ahmad Umair bin Zulkefli, isteri saya, Atifah binti Ahmad Yusoff, anak kami, Ahmad Mus’ab bin Ahmad Umair, akan terus istiqomah di jalan ini dan terus menerus meningkatkan kualiti diri kami.

Yakinlah, kita semua pasti akan mampu mencipta dunia yang lebih baik.
Kepada Allah jualah kita berharap.

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabuut, 29:69]

Selepas Dauroh bersama Ikhwah Akhwat Sabah di Labuan
12032012
2:10am
Rindukan Mus'ab dan Ibunya

~End Of Post~
Share

7 comments:

Shoutul Humaira' March 13, 2012 at 7:15 AM  

Abang Umair...mohon share untuk blog ^^

Hiromi Ichiban April 4, 2012 at 6:05 PM  

nak join halaqah nta boleh? hehe

umairzulkefli April 4, 2012 at 8:32 PM  

To Shoutul Humaira':
Harith, silakan~

To Hiromi Ichiban:
Hm...nta bukan dh ada halaqoh ke?
(^_^)

Izzul Faqihah November 9, 2013 at 2:26 PM  

katanya, slps setahun mungkin blh bt halaqah sendiri kan? mcm mana ya kalau dlm sethun tu, tak byk mana pun ilmu agama yg kita tahu, adakah masih berkelayakan utk bt halaqah sndri?

umairzulkefli November 9, 2013 at 4:09 PM  

To Izzul Faqihah:
Sebenarnya kalau mahu, selepas 1 kali mendengar tazkirah kita sudah mampu menyampaikan dalam halaqoh. Konsep mudah dalam Islam yang diajarkan oleh Rasulullah SAW: "Ballighu 'anni walau aayah."
Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.

jadi, sampaikan sahaja apa yang kita dapat.

ssrikandi October 13, 2016 at 11:57 PM  

Alhamdulillah..artikel ini sgt membantu

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP