Nov 30, 2011

Perkongsian: Berbeza Tetapi Sama Akhirnya

Berbeza, tetapi sama?
Apa maksudnya?
Ada cerita yang saya ingin kongsikan.

Sebelumnya, maafkan kehilangan saya seminggu lebih ini.
Semoga tulisan ini tidak membiar kosong akhir November ini.


Afwan akhi ana tak dapat turun riadah bersama ikhwah-ikhwah. Ana pening kepala. Nak bangun pun tak larat.

SMS daripada anak halaqoh. Saya bertekad untuk menziarahinya selepas sesi riadah pagi itu. Lagipun sudah lama saya tidak berkunjung ke biliknya. Dan dia juga sering mengatakan yang ikhwah-ikhwah jarang menziarahinya.

Berumah di luar kampus sedikit sebanyak menghambat pergerakan saya. Masuk ke UTP hanya untuk urusan-urusan tertentu sahaja. Namun apa yang pasti itu bukan alasan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kalau memang tiada kemahuan, carilah macam manapun memang tidak jumpa jalan!

Lalu di akhir riadah futsal pagi itu, saya membuat pengumuman.

“Selepas ini ana akan menziarahi Akhi Abdurrahman di V2. Dia sakit kepala. Sebab itu dia tiada bersama kita pagi ini. Alangkah baiknya kalau kita beramai-ramai dapat menziarahinya.”

Saya memecut WAVE 125 S putih dengan kelajuan sederhana menuju ke V2 atau nama penuhnya Village 2. Di UTP ada 6 Village kesemuanya. Setibanya di bulatan, saya mengambil arah kanan untuk menuju ke V2. Ketika melepasi bulatan, kelihatan Akhi Zuhdi dan Akhi Awang mengambil arah kiri yang menuju ke V1, arah kolej kediaman mereka.

Mereka tidak mahu ziarah Akhi Abdurrahman? Banyak sangatkah kerja yang perlu diselesaikan? Hari inikan cuti?

Tidak sedar saya sudah mula bersangka buruk kepada ikhwah-ikhwah. Segera istighfar dilantunkan.

Biarlah, mungkin mereka ada hal yang penting.

Beberapa minit kemudian saya tiba di tempat parker motor V2. Sambil mengunci motor dan meletakkan helmet di atas motor, tiba-tiba kedengaran bunyi motor yang amat saya kenali. Lalu saya menoleh ke belakang.

Zuhdi? Awang? Bukankah mereka balik bilik tadi?

Saya terus memandang mereka dengan tanda tanya.

“Kenapa muka antum seperti sedang kekeliruan wahai Umair?”

“Ana ingat antum balik bilik tadi. Kenapa ikut V1 untuk ke sini? Kalau ambil kanan di bulatan tadi lebih dekat bukan?”

“Yakah? Kami biasa ikut jalan tadi.”

“Tapi jalan itu lebih jauh. Ikut kanan lebih dekat.”

“Tidak mengapa, asalkan sampai.” Akh Zuhdi menjawab sambil tersenyum

Dan saya turut tersenyum.


*****

Anda faham apa di sebalik cerita di atas? Saya terjumpa sesuatu untuk ditadabburi daripada perbualan bersama Akhi Zuhdi. Sesuatu yang biasa, tetapi boleh diaplikasikan dalam suasana berbeza.

Perbezaan Jemaah

Jemaah kami lebih baik, kami syumul.

Jemaah kamilah yang lebih baik, kami ikut sunnah.

Perbualan yang sering kita dengari. Perbahasan yang tidak berkesudahan sehingga kadang-kadang menimbulkan perbalahan yang tidak diingini. Padahal ia bersumberkan konsep yang sama.

Saya dan Akh Zuhdi masing-masing mahu menziarahi Akhi Abdurrahman. Walaupun jalan yang kami ambil berbeza, tetapi kerana matlamatnya sama, kami bertemu di tempat yang sama. Cuma ada yang awal dan lambat. Kerana jarak perjalanan yang diambil berbeza.

Begitu juga konsep perbezaan jemaah. Setiap gerakan pasti ada hujah dan prinsip mereka yang tersendiri. Dan sebagai seorang Muslim, kita perlu berbaik sangka yang mereka pasti punya tujuan yang baik iaitu ikhlas untuk mencari redha Allah SWT dalam berbuat. Maka destinasinya pasti sama. Dan kita akan bertemu di sana. Di mana lagi kalau bukan di Syurga?


Sikap Kita

Maka sikap kita adalah berlapang dada dan saling menasihati. Mereka yakin dengan cara mereka, kita yakin dengan cara kita. Maka aplikasikanlah firman Allah SWT,

...bagi kami amalan kami, dan bagi kamu amalan kamu…
[Al-Baqarah, 2:139]

Buat kerja masing-masing.

Jika terlihat ada kesilapan yang dilakukan oleh mereka, tegurlah dengan cara yang berhikmah. Bukankah kita orang yang ditarbiyah?

..saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.
[Al-Balad, 90:17]


Kesimpulan: Memang Berbeza, Tetapi Destinasinya Sama Akhirnya

Bukankan indah jika kita terus bergerak dengan bermatlamatkan destinasi yang sama? Maka kita sebenarnya bersatu, walaupun bergerak dengan cara yang berbeza. Hindarilah perdebatan-perdebatan yang sia-sia dan persaingan-persaingan yang tidak sihat.

Bayangkan jika saya dan Akh Zuhdi terus berdebat,

“Zuhdi, jalan antum panjang! Jangan ikut lagi.”

“Ikut suka analah! Ana suka jalan itu!”

Ataupun bayangkan saya mengatakan kepada ikhwah lain,

“Akhi, teruk betul Akh Zuhdi itu, dia pilih jalan yang jauh untuk ke V2. Buang masa!”

Bayangkan Akh Zuhdi juga melakukan hal yang sama,

“Tengok Akhi Umair itu, dia berlagak sungguh dengan jalan singkatnya. Macam bagus sangat!”

Bukankah buruk sungguh rupanya?

Tepuk dada tanya iman. Mari berlapang dada.

Ia memang berbeza, tetapi sama akhirnya.



~End Of Post~
Share

5 comments:

Amin Baek November 30, 2011 at 7:53 AM  

mantap2..

tetapi semakin risau melihat gejala memburukkan jemaah lain di sini..huhu.

sangkanya,jemaah itulah yang pling baik,paling cukup,paling complete..dan dgn senang hati,tanpa rasa bersalah terus memburukkan jemaah lain walau hakikatnya semuanya bertujuan satu,ingin membawa manusia kembali kepada Allah..

Allahuakbar..Ampunkan dosa kami,dan temukanlah kami di SyurgaMu..Amin~

MUJAHID295 November 30, 2011 at 9:40 AM  

erm..bagus ulasan yang kemas dan berhati-hati..betul kata anta selalu kita lihat perbalahan antara jemaah islam yg berbeza-beza.jika ditimbal balik ,organisasi islam terlalu kecil berbanding organisasi yg ingin menghancurkan islam.jadi di sini ana berpendapat setiap ahli jemaah islam perlu ada sifat ikhtiqlas pada jemaah masing-masing tanpa menafikan usaha jemaah islam lain..dan kadang-kadang yg memecahkan jemaah ialah kerana kita meletakkan nama pada jemaah kita,ia lebih baik kiranya kita berpegang bawah saya orang islam dan umat nabi.islam tanggujwb dan impian sy.namun kefahaman itu jarang diterapkan dalam setiap ahli jemaah islam,dan akhirnya mengangap mereka berada dalam satu persatuan dalam byk prgerakan islam yang lain..

Unknown November 30, 2011 at 10:12 AM  

Salam first comment drpd mutarabbi tcinta!

Something yg simple pun dpt jgak dtadabburi mnjadi sesuatu yg amat mdalam n bmkna... keep it up akh!
^__^

.sYaFiQ. November 30, 2011 at 3:39 PM  

cam x sangka pula akh Umair menunggang motosikal wave 125s nye dengan halaju sederhana.. Astaghfirullahal'azim, dah bersangka buruk pula..asif, menyimpang pula..

btw, memang itulah realiti masyarakat kita sekarang. Selalu merasakan pilihan mereka yang terbaik.

"kalau nak memilih jemaah, kita kena melihat:
1. paling ramai *****
2. Paling banyak ******
3. paling++++
4. dan paling+++
.....bla2..." kata seorang rakan ana yang berlainan jemaah..

kesimpulannya, kesian orang itu

Syamil December 1, 2011 at 9:22 AM  

perkongsian yang menarik hati...

p/s : nak tanya, dalam gambar header tu, yg sebelah kanan, bro aizuddin ke?? hehe

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP