May 26, 2009

UTP - Universiti Tarbiyah Pendakwah

=========================================



Ikatan ukhuwah kekuatan kami
Mentarbiyah mad'u ke akar umbi
Di dunia penuh cabaran
Sinar halaqoh membina harapan

Kembali kepada iman yang murni
Ketaqwaan insan misi kami
Teruskan membaca... Share

May 25, 2009

Musim Ber'TUHAN'

Suatu pagi di tahun 2006...

Jam menunjukkan 4.45am.

"Bagusnya adik-adik form 3 ni, ramai yang bangun solat malam," Getus hati kecilku. Terdetik rasa kagum dan bangga dengan pelajar-pelajar tingkatan 3 tahun ini. Ada yang sedang sedang belajar. Persediaan untuk PMR, semoga keputusan mereka cemerlang tahun ini.

1 hari selepas PMR 2006...

"Aik? Mana diorang ni semua? Lesap? Selalunya ramai?" Aku terpinga-pinga sendirian. Waktu yang sama, hanya 1 malam selepas Peperiksaan PMR selesai.

Teruskan membaca... Share

May 24, 2009

Berpolitik atau Berdakwah?

Ana teringin untuk memberi pendapat dalam perkara ini.Memang benar, Rasulullah SAW juga berpolitik, tetapi baginda tidak mencontohkan politik pada permulaan Islam. Sebaliknya baginda menumpukan kepada pembinaan ummat, mencetak generasi Rabbani terlebih dahulu. Atau dalam erti kata lain, berdakwah untuk membina insan-insan yang beriman, sanggup berkorban jiwa dan raga untuk Islam. Berdakwah untuk melahirkan lebih ramai pendakwah.



Kalau kita nak menangani masalah umat, kita kena cari punca masalahnya. Kita kena selesaikan masalah akarnya terlebih dahulu, ataupun ia akan menimbulkan masalah-masalah lain. Analogikan sebatang pokok mempelam, ranting-ranting serta dahannya berjurai ke dalam pagar rumah kita. Ini justeru amat menggangu ketenteraman kita. Apa yang kita kena buat? Kerat ranting-ranting serta dahan-dahan itu? Ia hanya akan menyelesaikan masalah buat seketika, tidak lama kemudian dahan akan tumbuh kembali. Solusi yang paling tepat ialah? Kita tebang! Begitu caranya, sampai bila-bila pun pokok itu takkan menganggu kita lagi.


Begitu juga dengan permasalahan ummat sekarang. Sekarang kita melihat ummat buat maksiat, berzina, minum arak, tak solat. Lepas tu dengan kuasa yang ada pada kita, memaksa mereka meninggalkan maksiat, memaksa mereka bersolat, menghukum mereka yg melanggar hukum-hukum Islam. Ceramah-ceramah kita tekankan,"Jangan berzina, haram, dalilnya ini....","Aurat wajib ditutup! Dalilnya.." dan sebagainya. Tetapi kita tidak pernah mengkaji mengapa mereka melakukan maksiat. Adakah kerana mereka tidak tahu hukum? Bukan.. Masalah umat sekarang adalah Masalah Aqidah. Kurangnya kefahaman terhadap mengapa perlu tunduk kepada Islam. Kurangnya kefahaman mengapa perlunya kita mentaati setiap perintah Allah. Jadi ini yang perlu diselesaikan. Pemahaman perlu diberikan kepada umat. Dalam kata yang lebih mudah, DAKWAH & TARBIYAH perlu berjalan dengan serius dan rutin. Sekarang ni kita tengok ramai orang berbuat maksiat adalah sebab kita tidak berdakwah kepada mereka. Kita tidak pernah melakukan pendekatan peribadi kepada mereka, membimbing serta membantu mereka.


Maaf kalau ana katakan, kalau dakwah berjalan, kita tidak perlu susah-susah kempen sana sini supaya orang sokong Parti Islam. Kalau dakwah berjalan, orang-orang yang telah ditarbiyah ini semuanya akan secara automatik memilih orang yang beriman sebagai ketua mereka. Lihat sahaja contoh yang ditunjukkan baginda Nabi SAW. Ketika nak menubuhkan negara Islam di Madinah, baginda tidak adapun berkempen untuk orang-orang Madinah mengangkatnya sebagai ketua. Ketika itu ada Abdullah bin Ubay bin Salul yang sangat-sangat berpengaruh. Tidak ada pilihanraya pun diakukan. Ini kerana orang-orang Madinah ketika itu sudah beriman semuanya. Kita singkap kembali sirah,3 tahun sebelum hijrahnya Nabi dan Abu Bakar ke Madinah, Rasulullah telah terlebih dahulu menghantar Mus'ab bin Umair dan Abdullah Ibnu Maktum ke Madinah. Untuk berkempen pilih Rasulullah jadi pemimpinkah? Tidak..tetapi untuk berdakwah menyebarkan Islam kepada masyarakat Madinah. Barulah ketika itu hukum-hukum Islam boleh dilaksanakan dengan saksamanya, ketika semua orang bersedia untuk mengambil Islam sebagai hukum.


Bayangkan sekarang, jika hukum-hukum hudud tiba-tiba dilaksanakan, siapa yang akan memberontak? Orang-orang yang bermaksiat inilah. Mereka yang menjadikan zina, arak, judi dan lain-lain yang sewaktu dengannya sebagai rutin harian mereka. Apabila aurat diwajibkan untuk ditutup, siapa yang akan bangkit melawan? Pemain-pemain bola sepak Malaysia.. Apabila hijab muslimah sebenar wajib dikenakan, siapa yang akan protes? Kawan-kawan kita yang tudungnya main selempang sana sini, yang pakai seluar jeans ketat, yang berpegang pada dalil kepala otak sendiri, "Allah tidak tengok rupa, yang penting hati mau baik," dan lain-lain 1001 macam ragam manusia. Jangan salahkan mereka, tapi salahkan diri kita sendiri. Selama ini kita tidak pernah berusaha untuk mengingatkan mereka, sehingga mereka semakin jauh daripda kebenaran.


Yang paling penting, adakah dengan kaedah kekuasaan dan penetapan hukum undang-undang, dapat memastikan bahawa maksiat akan dapat dihapuskan? Baik, sekarang kita hendak hentikan judi daripada berleluasa, pelacur-pelacur tidak lagi melacur dan arak tidak lagi diminum. Jadi dengan kekuasaan yang ada, kita tutup semua pusat-pusat judi. Genting Highland tu, bom aje. Semua kelab-kelab malam, tutup! Kedai-kedai arak, haramkan semua. Aset-aset kta bekukan dan rampas semuanya. Fikirkan, selesaikah masalah? Umat akan berhenti bermaksiatkah? Tidak sama sekali. Malah mereka akan lebih kreatif dalam mencari alternatif-alternatif lain untuk memuaskan nafsu mereka. Lihat contoh di ibu kota, apabila pencegah maksiat kuat meronda di taman-taman, pasangan-pasangan yang ingin berzina ini mencari alternatif lain, buat projek dalam teksi! Mereka akan tetap minum arak, berzina dan berjudi, sebab itulah yang disukai mereka. Inilah yang berlaku jika kita hanya memaksa tanpa memberi kefahaman terlebih dahulu. Laksanakan hudud pun, orang-orang yang masih terlepas, melihat kepada pesalah zina yang dihukum, akan berfikir,"Bodoh mamat tu. Nak berzina pandai-pandailah cover. Tak professional. Aku tak kantoi pun." Astaghfirullah...bukan ini yang kita mahukan, bukan ini yang kita harapkan. Kalau di zaman Rasulullah, pesalah zina itu sendiri yang pergi mengaku dan meminta dihukum. Macam mana nak ada generasi seperti ini, yang sanggup mengaku kesalahannya, serta mahu dihukum, andai dakwah serta tarbiyah tidak berjalan? Andaikan seseorang itu telah ditarbiyah dan diberi kefahaman. Diberi sebuah bilik terkunci dengan pelacur-pelacur yang rupawan sekalipun, insya-Allah, dia tidak akan berzina. Kerana dia sangat-sangat yakin akan dosa dan azab yang bakal diterimanya. Ana bukan menolak hukum hudud. Ia memang satu hukum yang wajib dilaksanakan. Tetapi perlaksanaannya perlu disertai dengan kefahaman. Dalam erti kata dakwah perlu diperhebat agar mereka dapat menerima hukum-hukum ini. Seandainya kita sudah memegang tampuk pemerintahan, maka laksanakan sahaja.


Maaf, ana tidak mengatakan bahawa politik tidak perlu dijalankan. Rasulullah juga berpolitik. Mengapa kita perlu menolak sesuatu yang telah dilakukan oleh Rasulullah? Cuma yang menjadi masalahnya adalah apabila kita memahami serta menganggap bahawa berpolitik adalah satu-satunya cara untuk berdakwah dan menegakkan Negara Islam. Kita boleh berpolitik, tetapi berpolitik sebagai salah satu cara berdakwah. Maknanya dengan berpolitik kita akan menarik seramai-ramainya orang untuk kita tarbiyah serta beri kefahaman mengenai Islam dan kemudiannya berdakwah kepada masyarakat. Kita lihat contoh HAMAS. Kaji dengan teliti, HAMAS tidak bangkit dengan berpolitik. Politik ini hanya kesan daripada dakwah yang mereka lakukan. HAMAS diasaskan oleh As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin. Beliau pulang dari Mesir pada tahun 1968. Syeikh Yassin pada asalnya menuntut di Universiti Ain Syams dan kemudiannya pada tahun yang kedua dihantar pulang kerana terlibat dengan Ikhwanul Muslimin. Sekembalinya beliau ke Palestin, beliau menarik perhatian generasi-generasi muda melalui khutbah Jumaatnya. Dari situ pemuda-pemuda yang berminat ini beliau tarbiyah. Kemudian, Intifadah yang pertama tercetus pada tahun 1988. Lihat, 20 tahun Syeikh Yassin mentarbiyah penduduk-penduduk palestin. 20 tahun dakwah dijalankan. HAMAS akhirnya hanya memasuki politik bermula pada awal 2000. Lihat dengan teliti, pergerakan HAMAS bermula dengan dakwah. Dan HAMAS tidak perlu bersusah-payah berkempen, walaupun satu dunia berkempen yang buruk-buruk mengenai HAMAS. Tetapi HAMAS tetap menguasai 76 kerusi daripada 132 kerusi yang dipertandingkan di seluruh Palestin dalam pilihanraya 2006. Rakyat Palestin amat menyokong HAMAS kerana kesan dakwah yang telah diasaskan lebih daripada 70 tahun. Sekali lagi, 70 tahun. Kesimpulannya, politik itu penting, tetapi ia hanyalah sebagai alat untuk memperjuangkan dakwah.



Afwan jiddan, ana menulis bukan kerana hendak mengajak kita semua memboikot Parti-Parti Islam, menjatuhkan satu pihak atau menyokong mana-mana pihak. Cuma ana mengajak kita semua fikirkan, bagaimana hendak menyuburkan Islam di bumi di mana sahaja kita berpijak. Sebarkan fikrah Islam, bukannya mengajak orang kepada parti dan bendera semata. Jika pilihanraya diadakan, kita tiada pilihan lain, selain daripada memilih berisan alternatif. Mana mungkin kita memilih pemimpin yang akan menjadikan Islam sebagai mainan dan senda gurau? Dan ana menulis bukan untuk menolak kita melaksanakan hukum hudud. Tetapi ana mahu mengajak kita semua membuka mata, fikirkan bagaimana agar ia dapat dilaksanakan dengan berkesan dan harmoni.



Apa yang perlu kita lakukan sebenarnya adalah berdakwah. Tarbiyah. Contohilah apa yang telah dilakukan oleh para pendahulu kita. Dan cara terbaik untuk berdakwah, mentarbiyah, memberi kefahaman dan memantau setiap individu adalah dengan sistem usrah ataupun halaqah. Mungkin ramai yang tidak setuju, tetapi inilah realitinya. Tetapi tentu sekali usrah yang dilakukan ialah usrah yang serius dan bersistematik. Bukan setakat melepaskan batuk di tangga. Usrah yang dijalankan hanya untuk melengkapkan silibus atau memenuhi syarat jemaah. Usrah sepatutnya menjadi nukleus, sebagai pusat yang menggerakkan seluruh jemaah. Dari usrahlah lahirnya kefahaman, kemudian munculnya pengarahan dan seterusnya terbentuklah organisasi yang tersusun. Hanya bermula dengan barisan usrah. Inilah yang dikatakan oleh Syeikh Mustafa Masyhur, “Tarbiyah bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya tidak berguna tanpa tarbiyah.” Mungkin ada yang mengatakan, “Nak kena tarbiyah dulu, tunggu semua orang beriman dulu, bila nak tertegaknya daulah Islam?” Mari kita buat kira-kira mudah. Sekarang ana menjadi murobbi atau naqib. Ana mentarbiyah 5 orang anak halaqah. Katakanlah ana mentarbiyah mereka selama setahun, dengan memberi kefahaman dan memantau kualiti diri mereka secara berterusan. Kemudian, pada tahun kedua, anak-anak halaqah ana telah matang dan mampu merekrut anak halaqahnya sendiri. Setiap mereka juga mempunya 5 orang anak halaqah. Proses yang sama berterusan. Pada tahu kedua, di bawah ana sudah ada 25 orang. Pada tahun ketiga, 125 orang. Pada tahun keempat, 625 orang. Tahun kelima, 3125 orang. Tahun keenam, 15625 orang. Kalau skala ini berterusan,dalam masa kurang daripada 20 tahun sahaja habis rakyat Malaysia ditarbiyah oleh ana seorang sahaja. Kalau setiap orang melakukannya? Insya-Allah masa yang diperlukan akan menjadi lebih singkat. Tetapi tentu sahaja realitinya tidak semudah itu. Apabila ada orang berdakwah, pasti akan ada yang menghalang. Apabila adanya Musa, maka ada pula Firaun. Dan Firaun pula dibantu oleh tukang sihirnya, Haman. Ada juga Qarun, dan kedegilan Bani Israil. Sunnatullah memang begitu. Apabila beberapa orang menyeru ke jalan Allah, maka akan lebih ramai yang menyeru ke jalan Taghut. Tetapi ia tidak mustahil, jika kita tetap terus istiqamah berdakwah.



Jika realiti ini berlaku, insya-Allah jika ada pilihanraya 20 tahun akan datang, kita akan buat puak-puak sekular ini terkejut dengan kemenangan kita yang tiba-tiba. Tiada kempen itu ini, sana sini, sedar-sedar dah menang pilihanraya. Mari sama-sama kita berdakwah. Kita akan berpolitik, tetapi apabila sampai masanya. Ketika dakwah telah berkembang, ketika telah ramai yang menerima Islam. Tetapi pastikan, luruskan niat untuk berdakwah. Bukan berdakwah mengajak orang kepada jemaah, tetapi kepada Allah, untuk mengagungkan Allah SWT. Yang paling pasti, semuanya hanya akan berlaku dengan izin Allah. Insya-Allah…

Kata-kata ana mungkin sahaja benar mungkin sahaja salah. Boleh sahaja ia diterima, boleh sahaja ditolak. Tetapi kata-kata Allah dan RasulNyalah yang haq dan benar. Afwan kerana apa yang ana tulis mungkin bernada mengkritik dan beremosi. Semoga kita terus berjuang menegakkan Islam, semata-mata kerana Allah Ta’ala.

Wallahua’lam..

Teruskan membaca... Share

Bolehkah Tuhan Menjadi Manusia?

Seorang yang beragama Kristian bertanya kepada rakannya yang beragama Islam:
"Bukankah Tuhan itu Maha Kuasa? Maka apa susahnya Tuhan untuk menjelmakan dirinya sebagai seorang manusia?"

"Mengapa Tuhan mahu menjadi manusia? Bukankah dia sudah cukup berkuasa untuk melakukan segala-galanya?" Balas Si Muslim.

"Tuhan menjadi manusia untuk hidup bersama dengan manusia, bagi mengetahui bagaimana rasanya manusia mengalami penderitaan, kepayahan, kesenangan dan kegembiraan. Untuk mengetahui apa yang baik dan buruk bagi manusia. Itu menunjukkan salah satu sifat kasih-sayangnya tuhan kepada kita!" Jelas Si Kristian dengan yakin.

"Baik, saya beri awak satu perumpamaan. Saya mencipta sebuah televisyen. Perlukah saya menjadi sebuah televisyen untuk mengetahui apa yang buruk dan baik bagi sebuah televisyen?" Ujar Si Muslim.

Si Kristian terdiam.

"Kerana saya yang mencipta televisyen itu, sudah tentu saya tahu dengan jelas bagaimana ia berfungi. Apa yang saya perlu buat hanyalah menulis sebuah manual penggunaan untuk menceritakan bagaimana ia berfungsi."

"Begitu juga Tuhan. Kerana Dia telah menciptakan manusia, dia tidak perlu menjadi seorang manusia untuk mengetahui apa yang buruk dan baik untuk seorang manusia. Apa yang tuhan lakukan ialah, Dia memilih seseorang daripada kalangan manusia dan memberikannya wahyu sebagai panduan hidup. Manusia pilihan ini akan memberitahu kepada semua manusia tentang panduan tuhan tersebut. Dan menurut keyakinan kami sebagai muslim, manusia pilihan yang terakhir itu adalah Nabi Muhammad dan manualnya adalah Al-Quran!" Jelas Si Muslim.



Si Kristian masih tidak berpuas hati. "Tapi tuhan Maha Kuasa. Dia tentu boleh mengubah dirinya menjadi apa sahaja. Tidak mustahil untukNya menjelma sebagai manusia."

"Baik. Saya terima pendapat awak yang Tuhan Maha Kuasa dan boleh melakukan apa sahaja. Tetapi tidak mungkin Tuhan akan menjadi manusia. Tuhan dan manusia mempunyai sifat yang sangat-sangat berbeza. Tuhan adalah abadi, ada selama-lamanya. Sedangkan manusia adalah tidak abadi, akan boleh mati. Kita tidak mungkin menjumpai manusia yang boleh hidup abadi dan boleh mati pada masa yang sama."


"Tuhan tidak mempunyai permulaan dan pengakhiran sedangkan manusia ada pemulaan dan pengakhirannya. Macam mana seorang manusia boleh ada pemulaan dan tidak mempunyai permulaan pada masa yang sama? Bagaimana pula ia boleh ada pengakhiran dan tidak mempunyai pengakhiran pada masa yang sama?"

"Tuhan tidak perlu makan, sedangkan manusia perlu makan."

"Tuhan tidak perlu rehat dan tidur, sedangkan manusia perlu rehat dan tidur."

"Kalau awak masih nak berpegang pada pendapat awak bahawa tuhan boleh melakukan segala-galanya, maka perlu diingat, tuhan hanya akan melakukan perkara yang bersifat ketuhanan sahaja. Jika tuhan melanggarnya, maka Dia bukanlah tuhan."

"Misalnya, tuhan mahu menipu. Tuhan Yang Maha Kuasa tidak mungkin menipu. Menipu bukanlah sifat tuhan. Jika Tuhan menipu, seperti manusia menipu, maka Ia bukanlah Tuhan."

"Tuhan juga tidak boleh melakukan kesilapan. Melakukan kesilapan bukanlah sifat tuhan. Jika tuhan melakukan kesilapan sebagaimana manusia tersilap, maka Dia bukanlah tuhan Yang Maha Kuasa."

"Tuhan juga tidak boleh terlupa. Manusia boleh terlupa. Jika tuhan terlupa, maka dia bukanlah tuhan."

"Sahabatku, Tuhan sememangnya Maha Berkuasa. Dia boleh melakukan apa sahaja yang Dia sukai. Namun Tuhan Yang Maha Berkuasa tidak mungkin melakukan sesuatu yang tidak bersifat ketuhanan. Tuhan tidak akan melakukan kesilapan, tidak akan terlupa, tidak perlu makan, dan tidak perlu menjadi manusia. Dia hanya akan melakukan sesuatu yang sesuai dengan sifat-sifat Tuhan Yang Maha Kuasa."


Si Kristian terus terdiam dan berfikir.... Teruskan membaca... Share

Bersabarlah...

Keutamaan sabar

Allah SWT telah melukiskan orang-orang yang bersabar itu dengan pelbagai sifat. Al-Quran juga telah menyebutkan keutamaan sifat sabar ini dalam lebih daripada tujuh puluh tempat. Sebahagian terbesar daripada darjat-darjat kemuliaan dan kebajikan telah dihubungkan dengan sifat sabar , dan dijadikan sebagai balasan bagi sifat ini dan orang-orang yang bersifat dengannya. Berikut adalah firman Allah SWT yang menunjukkan keutamaan sifat sabar :

“Dan kami telah menjadikan mereka sebagai pemimpin –pemimpin yang memberikan petunjuk dengan perintah Kami, iaitu ketika mereka bersifat sabar”

(As-Sajdah :24)

“Dan Kami (Allah) telah memberikan balasan kepada orang –orang yang bersabar itu pahala mereka menurut apa yang telah mereka kerjakan dengan sebaik-baiknya”

(An-Nahl :96)

“Mereka itulah yang akan diberikan pahalanya dua kali ganda disebabkan mereka telah bersabar”

(Al-Qashas :54)

“Hanyasanya orang-orang yang sabar itu akan disempurnakan pahalanya tanpa kiraan”

(Az-Zumar:10)

Lihatlah bahawa setiap amalan yang bail itu, sentiasa ditentukan balasannya menurut kadar dan hitungan yang tertentu, kecuali sabar. Maka Allah Taala telah memberikan janji kepada orang-orang yang sabar itu, bahawa Allah sentiasa berama –sama mereka.

Ketika baginda Rasulullah SAW ditanya orang tentang perihal iman, jawabnya “Iman itu adalah sabar dan berlapang dada.”

Ubat Sabar

Untuk mengukuhkan sifat sabar terdapat dua cara :


1. Cuba menyedarkan tentang faedah-faedah mujahadah (melawan) dan hasil-hasilnya di bidang agama dan dunia. Caranya ialah dengan mengingatkan sebanyak-banyaknya tentang keutamaan sabar dan ganjaran-ganjarannya yang baik di dunia dan akhirat.


2. Hendaklah melawan pengaruh hawa nafsu itu secara beransur-ansur , sehingga akhirnya ia berjaya untuk menundukkan sifat-sifat buruk yang bersarang di dalamnya. Caranya ialah dengan melesukan pengaruh nafsu dan syahwat dan memutuskan tali-temali yang mendorong keberansangannya, seperti memalingkan pandangan terhadap perkara-perkara yang boleh menarik hati ataupun melarikan diri dari tempat-tempat yang boleh menimbulkan berahi . Cara yang lain pula ialah dengan memikat jiwa terhadap perkara-perkara yang mubah, yang sejenis atau sealiran dengan apa yang diminati oleh hati , seperti bernikah. Sebab segala yang diingini oleh diri seseorang itu dapat dipenuhi dengan melakukan apa apa yang diharuskan oleh agama dari perbuatan-perbuatan yang sejenis dengannya. Maka dengan cara ini, akan terhalanglah keinginan jiwanya untuk mendekati segala yang terlarang dalam agama.


Kesimpulanya , orang yang membiasakan dirinya menentang hawa nafsu , nescaya akan mengalahkannya pada bila-bila masa asalkan ada sahaja kemahuan.Inilah asas yang wajib bagi mengubati diri dalam segala perkara yang memerlukan sabar.

Teruskan membaca... Share

May 23, 2009

Perfectionist!

Dalam dunia ini terdapat bermacam-macam jenis manusia. Ada yang sangat-sangat pemaaf, ada yang sangat-sangat pemarah, ada yang sangat pendiam, ada yang tak tahu macam mana nak diam, dan ada pula yang seperti tidak ada perasaan. Kesimpulannya, terdapat pelbagai jenis manusia dan terdapat jugalah pelbagai ragam yang dijumpai.

Mengapa semua jenis manusia ini ada? Allah tdak pernah menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Firman Allah:
(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.
[3:191]

Tujuan Allah menciptakan pelbagai jenis manusia dan ragamnya adalah untuk :
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.
[49:13]


Ya. Tujuannya adalah supaya kita saling mengenal. Mengenal serta memahami.

Ada orang bertanya tentang kawannya:
"Kawan saya ni rasa dia je yang betul. Pendapat dia saja yang boleh diterima. Kalau saya bagi pendapat, mesti kena tolak punyalah. Semua kena ikut cara dia. Lepas tu, tak boleh silap sikit, mesti disalahkannya. Boleh ke orang macam ni dijadikan kawan?"


Jawapannya ; Boleh!

Tetapi pasti ada caranya.

Orang yang merasakan dirinya perfect atau serba sempurna ini sebenarnya telah tersilap bersikap. Apabila seseorang merasakan dirinya sempurna, maka yang terlihat di matanya hanyalah kesilapan orang lain. Dan ini adalah satu sikap yang amat tidak sihat. Mereka yang memiliki sikap ini sepatutnya dibantu agar keluar daripada kepompong sikapnya itu. Cara bersikap yang paling wajar dengan orang yang seperti ini adalah memberi perhatian kepadanya dengan perasaan kasihan dan keikhlasan untuk membantunya. Membenci dan menjauhi serta mengutuknya di belakang hanya akan memburukkan keadaan.

Beberapa cara yang boleh dilakukan apabila berhadapan dengannya:

  1. Ingatlah bahawa dia merupakan seorang yang mempunyai masalah dan sepatutnya dibantu. Dia juga seorang manusia yang berhak untuk hidup secara normal dan harmoni seperti orang lain.

  2. Setiasa cuba memberikan layanan yang terbaik ketika bersama dengannya. Dalam benak kita, sentiasalah berfikir bagaimana hendak membantunya mengubah sikapnya itu. Biarkan dia melayan kita dengan perangai yang tidak baik, namun kita tetap menunjukkan akhlaq yang terbaik kepadanya. Jangan risau, setiap usaha kesabaran kita akan dibalas dengan pahala yang banyak dari Allah. Orang yang kuat itu ialah orang yang mampu menahan marahnya ketika dia sedang marah-(Self-control). Insya-Allah ada perubahan yang akan terlihat pada dirinya.

  3. Sentiasalah memberi salam dan tersenyum kepadanya. Senyum secara ikhlas dari hati. Biarkan dia memandang pelik kita, tapi kita tetap berusaha membantunya.

  4. Jika setelah berbulan-bulan berusaha memperbaiki keadaan, namun dia tetap seperti itu, maka jangan risau. Tetaplah berterusan menjaga hubungan baik dengannya. Di samping itu, berdoalah agar dia diberi petunjuk dan hidayah daripada Allah, agar mampu mengubah sikapnya.

Akhir sekali, ingatlah, semua yang berlaku kepada kita dan di sekeliling kita adalah ujian daripada Allah untuk memantapkan diri kita menghadapi cabaran yang mendatang. Bila berhadapan dengan situasi seperti ini, cubalah untuk memperbaiki keadaan, jangan sekali-kali berfikir bahawa mereka yang muncul ini hanya saja-saja hendak mengganggu kehidupan kita.Ingat, setiap yang berlaku pasti ada sebabnya, kerana Allah tidak pernah menjadikan sesuatu itu sia-sia. Terpulanglah kepada kita untuk mencari hikmah di sebaliknya dan memperbaikinya atau merungut menanti perubahan datang sendiri.

Jadilah unsur yang MELAKUKAN PERUBAHAN, bukan unsur yang MENUNGGU PERUBAHAN. Teruskan membaca... Share

Hadapi Dengan Tenang

Semoga kita sama-sama diberikan hidayah yang benar daripadaNya, dan semoga diri kita sentiasa berada dalam jalan Islam, dakwah, tarbiyah dan jihad.

Dalam mengharungi hidup ini, memang kita perlu hidup beramai-ramai bersama mereka yang bersama-sama ingin menjaga keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Lagi-lagi dalam keadaan zaman sekarang yang sangat-sangat tidak membantu kita untuk berislam dan beriman dengan sempurna.

Kita memang dituntut untuk bersungguh-sungguh dalam berislam. Firman Allah:

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.
[3:142]

Bagaimana kita hendak mengatakan kita sudah boleh menginjak syurga, andai kita dalam berislam sahaja kita belum bersungguh-sungguh? Dan untk berislam ini, pastinya kita memerlukan bimbingan. Tak usah malu hendak menyertai halaqoh ataupun usrah, sebab kita memang memerlukannya. Kerana halaqoh adalah tempat kita belajar dan melatih diri untuk berislam dengan sempurna dan bersungguh-sungguh. Kerana tidak tahu dan tidak mampulah kita belajar. Sebab tu kita ke sekolah. Sebab kita bodoh, tak tahu, sebab tu kena belajar. Orang pergi sekolah bukan sebab dah pandai. Sebab tu kita ke halaqoh, untuk MENUNTUT ilmu, bukan MENUNJUK ilmu.

Adapun ketika kita cuba mengamalkan Islam dan cuba untuk berkomitmen dengan Islam, ada yang menentang, tidak suka dan mengkritik, itu adalah sunnatulah. Tiada rasul yang berdakwah melainkan semuanya ditentang oleh umatnya. Hampir semua mereka mendapat cemuhan, siksaan dan ada yang dibunuh, hanya kerana ingin berislam dan menyebarkan Islam. Begtu juga dengan kita. Ketika hendak berislam, akan ada ayg mengatakan kita sesat. Nak pakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna, tapi dikatakan pelik. Dikata ekstrim. Nak baca terjemahan quran, dikatakan sesat. Nak pergi masjid, dikatakan nak menunjuk-nunjuk. Dan halangan ini boleh sahaja datang daripada keluarga kita sendiri. Namun apakah kita akan berhenti daripada jalan ini? Tidak sama sekali. Sebab itu Allah mengingatkan kita:

Katakanlah: "Jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, istri-istri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.
[9:24]

Tentangan yang paling hebat ketika hendak berislam, berdakwah dan berjihad, sebenarnya adalah daripada keluarga kita sendiri. Oleh itu berjaga-jagalah.

Kesimpulannya, kita memang akan sentiasa diperli, dikutuk, dihina dan dicaci untuk membawa Islam. Akan difitnah yang pelbagai. Namun tetaplah bersabar, kerana yang kita cari sebenarnya bukan redha manusia, tapi redha Allah. Biar apapun yang orang kata asalkan dalam pandangan Allah, kita mulia.

Apa sikap kita kepada mereka yang menentang ini?
  1. Sentiasa ingat, bila peribadi kita dikutuk atau diperli, ingat, inilah ujian daripada Allah, tanda cintanya pada kita. Orang yang dicintai Allah akan diberi pelbagai ujian kepayahan dan penderitaan, agar kita lebih dekat kepadaNya.

  2. Biasakan tersenyum ketika berhadapan dengan mereka-mereka yang bermasalah ini, sambil mengingatkan diri sendir bahawa ini adalah ujian daripada Allah untuk kita. Senyum akan membantu meredakan tekanan.


  3. Teruskan berhubungan baik dengan mereka. Jangan dijadikan musuh. Biarkan mereka melayan kita seburuk-buruk layanan. Tapi kita membalasnya dengan sebaik-baik akhlaq. Jangan biasakan pendekatan memarahi mereka. Sentiasa memberi salam kepada mereka. Senyum ketika bertemu dan sebagainya. Mereka ini golongan yang tidak tahu dan tidak sedar hakikat kehidupan. Maka bersabarlah dengan mereka.


  4. Untuk ahli keluarga pula, teruskan menunjukkan akhlaq yang terbaik kepada mereka. Biarkan ibubapa melarang kita menyertai halaqoh, kita jangan melawan. Tapi jangan sekali-kali meninggalkan halaqoh. Di depan mereka tidak perlu ceritakan tentang halaqoh, cuma tunjukan apa yang kita belajar dlm halaqoh: menghormati ibu bapa, memuliakan orang tua, menyenangkan hati orang lain, sentiasa membantu mereka, tidak pernah menyakiti hati mereka, dan sebagainya. Jika mereka menyinggung tentang halqoh, tukarlah topik dengan segera. Yang penting pendirian kita tak akan pernah berubah, insya-Allah.

  5. Akhir sekali, perbanyakkan berdoa dan bermunajat kepada Allah agar diberikan kekuatan, ketabahan dan keimanan serta ketaqwaan kepadaNya. Mohonkan juga agar ibubapa, saudara-saudara kita, adik beradik, kawan-kawan dan masyarakat kita diberikan kefahaman terhadap agama. Semoga mereka juga diberi hidayah, sepertimana kita menginginkan hidayah.

semoga membantu...

wallahua'lam...
Berjuang menempah susah
Menanggung derita menungkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid membela tauhid

Dipisah dia berkelkana
Dibelenggu dia uzlah menagih bina
Namun jiwa tetap mara memburu cinta
Membara demi Allah dan rasulnya

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang resah silih berganti
Inilah sunnah orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa airmata
Siangnya bagaikan sinar dirimba
Memerah keringat mencurah tenaga

Sudah sunnah
Berjuang ke jalan Allah

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua jadi pilihan
Dunia yang fana atau syurga


Teruskan membaca... Share
Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP