May 24, 2009

Berpolitik atau Berdakwah?

Ana teringin untuk memberi pendapat dalam perkara ini.Memang benar, Rasulullah SAW juga berpolitik, tetapi baginda tidak mencontohkan politik pada permulaan Islam. Sebaliknya baginda menumpukan kepada pembinaan ummat, mencetak generasi Rabbani terlebih dahulu. Atau dalam erti kata lain, berdakwah untuk membina insan-insan yang beriman, sanggup berkorban jiwa dan raga untuk Islam. Berdakwah untuk melahirkan lebih ramai pendakwah.



Kalau kita nak menangani masalah umat, kita kena cari punca masalahnya. Kita kena selesaikan masalah akarnya terlebih dahulu, ataupun ia akan menimbulkan masalah-masalah lain. Analogikan sebatang pokok mempelam, ranting-ranting serta dahannya berjurai ke dalam pagar rumah kita. Ini justeru amat menggangu ketenteraman kita. Apa yang kita kena buat? Kerat ranting-ranting serta dahan-dahan itu? Ia hanya akan menyelesaikan masalah buat seketika, tidak lama kemudian dahan akan tumbuh kembali. Solusi yang paling tepat ialah? Kita tebang! Begitu caranya, sampai bila-bila pun pokok itu takkan menganggu kita lagi.


Begitu juga dengan permasalahan ummat sekarang. Sekarang kita melihat ummat buat maksiat, berzina, minum arak, tak solat. Lepas tu dengan kuasa yang ada pada kita, memaksa mereka meninggalkan maksiat, memaksa mereka bersolat, menghukum mereka yg melanggar hukum-hukum Islam. Ceramah-ceramah kita tekankan,"Jangan berzina, haram, dalilnya ini....","Aurat wajib ditutup! Dalilnya.." dan sebagainya. Tetapi kita tidak pernah mengkaji mengapa mereka melakukan maksiat. Adakah kerana mereka tidak tahu hukum? Bukan.. Masalah umat sekarang adalah Masalah Aqidah. Kurangnya kefahaman terhadap mengapa perlu tunduk kepada Islam. Kurangnya kefahaman mengapa perlunya kita mentaati setiap perintah Allah. Jadi ini yang perlu diselesaikan. Pemahaman perlu diberikan kepada umat. Dalam kata yang lebih mudah, DAKWAH & TARBIYAH perlu berjalan dengan serius dan rutin. Sekarang ni kita tengok ramai orang berbuat maksiat adalah sebab kita tidak berdakwah kepada mereka. Kita tidak pernah melakukan pendekatan peribadi kepada mereka, membimbing serta membantu mereka.


Maaf kalau ana katakan, kalau dakwah berjalan, kita tidak perlu susah-susah kempen sana sini supaya orang sokong Parti Islam. Kalau dakwah berjalan, orang-orang yang telah ditarbiyah ini semuanya akan secara automatik memilih orang yang beriman sebagai ketua mereka. Lihat sahaja contoh yang ditunjukkan baginda Nabi SAW. Ketika nak menubuhkan negara Islam di Madinah, baginda tidak adapun berkempen untuk orang-orang Madinah mengangkatnya sebagai ketua. Ketika itu ada Abdullah bin Ubay bin Salul yang sangat-sangat berpengaruh. Tidak ada pilihanraya pun diakukan. Ini kerana orang-orang Madinah ketika itu sudah beriman semuanya. Kita singkap kembali sirah,3 tahun sebelum hijrahnya Nabi dan Abu Bakar ke Madinah, Rasulullah telah terlebih dahulu menghantar Mus'ab bin Umair dan Abdullah Ibnu Maktum ke Madinah. Untuk berkempen pilih Rasulullah jadi pemimpinkah? Tidak..tetapi untuk berdakwah menyebarkan Islam kepada masyarakat Madinah. Barulah ketika itu hukum-hukum Islam boleh dilaksanakan dengan saksamanya, ketika semua orang bersedia untuk mengambil Islam sebagai hukum.


Bayangkan sekarang, jika hukum-hukum hudud tiba-tiba dilaksanakan, siapa yang akan memberontak? Orang-orang yang bermaksiat inilah. Mereka yang menjadikan zina, arak, judi dan lain-lain yang sewaktu dengannya sebagai rutin harian mereka. Apabila aurat diwajibkan untuk ditutup, siapa yang akan bangkit melawan? Pemain-pemain bola sepak Malaysia.. Apabila hijab muslimah sebenar wajib dikenakan, siapa yang akan protes? Kawan-kawan kita yang tudungnya main selempang sana sini, yang pakai seluar jeans ketat, yang berpegang pada dalil kepala otak sendiri, "Allah tidak tengok rupa, yang penting hati mau baik," dan lain-lain 1001 macam ragam manusia. Jangan salahkan mereka, tapi salahkan diri kita sendiri. Selama ini kita tidak pernah berusaha untuk mengingatkan mereka, sehingga mereka semakin jauh daripda kebenaran.


Yang paling penting, adakah dengan kaedah kekuasaan dan penetapan hukum undang-undang, dapat memastikan bahawa maksiat akan dapat dihapuskan? Baik, sekarang kita hendak hentikan judi daripada berleluasa, pelacur-pelacur tidak lagi melacur dan arak tidak lagi diminum. Jadi dengan kekuasaan yang ada, kita tutup semua pusat-pusat judi. Genting Highland tu, bom aje. Semua kelab-kelab malam, tutup! Kedai-kedai arak, haramkan semua. Aset-aset kta bekukan dan rampas semuanya. Fikirkan, selesaikah masalah? Umat akan berhenti bermaksiatkah? Tidak sama sekali. Malah mereka akan lebih kreatif dalam mencari alternatif-alternatif lain untuk memuaskan nafsu mereka. Lihat contoh di ibu kota, apabila pencegah maksiat kuat meronda di taman-taman, pasangan-pasangan yang ingin berzina ini mencari alternatif lain, buat projek dalam teksi! Mereka akan tetap minum arak, berzina dan berjudi, sebab itulah yang disukai mereka. Inilah yang berlaku jika kita hanya memaksa tanpa memberi kefahaman terlebih dahulu. Laksanakan hudud pun, orang-orang yang masih terlepas, melihat kepada pesalah zina yang dihukum, akan berfikir,"Bodoh mamat tu. Nak berzina pandai-pandailah cover. Tak professional. Aku tak kantoi pun." Astaghfirullah...bukan ini yang kita mahukan, bukan ini yang kita harapkan. Kalau di zaman Rasulullah, pesalah zina itu sendiri yang pergi mengaku dan meminta dihukum. Macam mana nak ada generasi seperti ini, yang sanggup mengaku kesalahannya, serta mahu dihukum, andai dakwah serta tarbiyah tidak berjalan? Andaikan seseorang itu telah ditarbiyah dan diberi kefahaman. Diberi sebuah bilik terkunci dengan pelacur-pelacur yang rupawan sekalipun, insya-Allah, dia tidak akan berzina. Kerana dia sangat-sangat yakin akan dosa dan azab yang bakal diterimanya. Ana bukan menolak hukum hudud. Ia memang satu hukum yang wajib dilaksanakan. Tetapi perlaksanaannya perlu disertai dengan kefahaman. Dalam erti kata dakwah perlu diperhebat agar mereka dapat menerima hukum-hukum ini. Seandainya kita sudah memegang tampuk pemerintahan, maka laksanakan sahaja.


Maaf, ana tidak mengatakan bahawa politik tidak perlu dijalankan. Rasulullah juga berpolitik. Mengapa kita perlu menolak sesuatu yang telah dilakukan oleh Rasulullah? Cuma yang menjadi masalahnya adalah apabila kita memahami serta menganggap bahawa berpolitik adalah satu-satunya cara untuk berdakwah dan menegakkan Negara Islam. Kita boleh berpolitik, tetapi berpolitik sebagai salah satu cara berdakwah. Maknanya dengan berpolitik kita akan menarik seramai-ramainya orang untuk kita tarbiyah serta beri kefahaman mengenai Islam dan kemudiannya berdakwah kepada masyarakat. Kita lihat contoh HAMAS. Kaji dengan teliti, HAMAS tidak bangkit dengan berpolitik. Politik ini hanya kesan daripada dakwah yang mereka lakukan. HAMAS diasaskan oleh As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin. Beliau pulang dari Mesir pada tahun 1968. Syeikh Yassin pada asalnya menuntut di Universiti Ain Syams dan kemudiannya pada tahun yang kedua dihantar pulang kerana terlibat dengan Ikhwanul Muslimin. Sekembalinya beliau ke Palestin, beliau menarik perhatian generasi-generasi muda melalui khutbah Jumaatnya. Dari situ pemuda-pemuda yang berminat ini beliau tarbiyah. Kemudian, Intifadah yang pertama tercetus pada tahun 1988. Lihat, 20 tahun Syeikh Yassin mentarbiyah penduduk-penduduk palestin. 20 tahun dakwah dijalankan. HAMAS akhirnya hanya memasuki politik bermula pada awal 2000. Lihat dengan teliti, pergerakan HAMAS bermula dengan dakwah. Dan HAMAS tidak perlu bersusah-payah berkempen, walaupun satu dunia berkempen yang buruk-buruk mengenai HAMAS. Tetapi HAMAS tetap menguasai 76 kerusi daripada 132 kerusi yang dipertandingkan di seluruh Palestin dalam pilihanraya 2006. Rakyat Palestin amat menyokong HAMAS kerana kesan dakwah yang telah diasaskan lebih daripada 70 tahun. Sekali lagi, 70 tahun. Kesimpulannya, politik itu penting, tetapi ia hanyalah sebagai alat untuk memperjuangkan dakwah.



Afwan jiddan, ana menulis bukan kerana hendak mengajak kita semua memboikot Parti-Parti Islam, menjatuhkan satu pihak atau menyokong mana-mana pihak. Cuma ana mengajak kita semua fikirkan, bagaimana hendak menyuburkan Islam di bumi di mana sahaja kita berpijak. Sebarkan fikrah Islam, bukannya mengajak orang kepada parti dan bendera semata. Jika pilihanraya diadakan, kita tiada pilihan lain, selain daripada memilih berisan alternatif. Mana mungkin kita memilih pemimpin yang akan menjadikan Islam sebagai mainan dan senda gurau? Dan ana menulis bukan untuk menolak kita melaksanakan hukum hudud. Tetapi ana mahu mengajak kita semua membuka mata, fikirkan bagaimana agar ia dapat dilaksanakan dengan berkesan dan harmoni.



Apa yang perlu kita lakukan sebenarnya adalah berdakwah. Tarbiyah. Contohilah apa yang telah dilakukan oleh para pendahulu kita. Dan cara terbaik untuk berdakwah, mentarbiyah, memberi kefahaman dan memantau setiap individu adalah dengan sistem usrah ataupun halaqah. Mungkin ramai yang tidak setuju, tetapi inilah realitinya. Tetapi tentu sekali usrah yang dilakukan ialah usrah yang serius dan bersistematik. Bukan setakat melepaskan batuk di tangga. Usrah yang dijalankan hanya untuk melengkapkan silibus atau memenuhi syarat jemaah. Usrah sepatutnya menjadi nukleus, sebagai pusat yang menggerakkan seluruh jemaah. Dari usrahlah lahirnya kefahaman, kemudian munculnya pengarahan dan seterusnya terbentuklah organisasi yang tersusun. Hanya bermula dengan barisan usrah. Inilah yang dikatakan oleh Syeikh Mustafa Masyhur, “Tarbiyah bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya tidak berguna tanpa tarbiyah.” Mungkin ada yang mengatakan, “Nak kena tarbiyah dulu, tunggu semua orang beriman dulu, bila nak tertegaknya daulah Islam?” Mari kita buat kira-kira mudah. Sekarang ana menjadi murobbi atau naqib. Ana mentarbiyah 5 orang anak halaqah. Katakanlah ana mentarbiyah mereka selama setahun, dengan memberi kefahaman dan memantau kualiti diri mereka secara berterusan. Kemudian, pada tahun kedua, anak-anak halaqah ana telah matang dan mampu merekrut anak halaqahnya sendiri. Setiap mereka juga mempunya 5 orang anak halaqah. Proses yang sama berterusan. Pada tahu kedua, di bawah ana sudah ada 25 orang. Pada tahun ketiga, 125 orang. Pada tahun keempat, 625 orang. Tahun kelima, 3125 orang. Tahun keenam, 15625 orang. Kalau skala ini berterusan,dalam masa kurang daripada 20 tahun sahaja habis rakyat Malaysia ditarbiyah oleh ana seorang sahaja. Kalau setiap orang melakukannya? Insya-Allah masa yang diperlukan akan menjadi lebih singkat. Tetapi tentu sahaja realitinya tidak semudah itu. Apabila ada orang berdakwah, pasti akan ada yang menghalang. Apabila adanya Musa, maka ada pula Firaun. Dan Firaun pula dibantu oleh tukang sihirnya, Haman. Ada juga Qarun, dan kedegilan Bani Israil. Sunnatullah memang begitu. Apabila beberapa orang menyeru ke jalan Allah, maka akan lebih ramai yang menyeru ke jalan Taghut. Tetapi ia tidak mustahil, jika kita tetap terus istiqamah berdakwah.



Jika realiti ini berlaku, insya-Allah jika ada pilihanraya 20 tahun akan datang, kita akan buat puak-puak sekular ini terkejut dengan kemenangan kita yang tiba-tiba. Tiada kempen itu ini, sana sini, sedar-sedar dah menang pilihanraya. Mari sama-sama kita berdakwah. Kita akan berpolitik, tetapi apabila sampai masanya. Ketika dakwah telah berkembang, ketika telah ramai yang menerima Islam. Tetapi pastikan, luruskan niat untuk berdakwah. Bukan berdakwah mengajak orang kepada jemaah, tetapi kepada Allah, untuk mengagungkan Allah SWT. Yang paling pasti, semuanya hanya akan berlaku dengan izin Allah. Insya-Allah…

Kata-kata ana mungkin sahaja benar mungkin sahaja salah. Boleh sahaja ia diterima, boleh sahaja ditolak. Tetapi kata-kata Allah dan RasulNyalah yang haq dan benar. Afwan kerana apa yang ana tulis mungkin bernada mengkritik dan beremosi. Semoga kita terus berjuang menegakkan Islam, semata-mata kerana Allah Ta’ala.

Wallahua’lam..

Share

5 comments:

FRESHIE May 24, 2009 at 11:05 PM  

in a nutshell, bermakna
politik- hanya alat
tarbiyah- penyelesai masalah ummat
matlamat- redha Allah

dapat pointnya. trime kasih

NiK May 26, 2009 at 12:30 PM  

salam ukhwah,
menarik penulisan nta.
insyAllah byk lagi yg perlu kita pelajari dan kaji

Ashraf CeriTakaful May 27, 2009 at 11:11 AM  

1) Masalah umat sekarang adalah Masalah Aqidah. Kurangnya kefahaman terhadap mengapa perlu tunduk kepada Islam. Kurangnya kefahaman mengapa perlunya kita mentaati setiap perintah Allah…

fitrah @ back to basic – da’wah pada peringkat awal banyak memfokuskan aspek Aqidah!

Dalam buku ‘Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam’, Syed Abul Hasan Ali Nadwi menjelaskan implikasi Da’wah & Tarbiyah (yang sangat menekankan aspek Aqidah) ke atas masyarakat Arab Jahiliyah, “Reformasi yang ditimbulkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam jiwa sahabat dan masyarakat adalah hal yang PALING MENGEJUTKAN dalam sejarah umat manusia…”

2) Ini kerana orang-orang Madinah ketika itu sudah beriman semuanya…

Correction; bukan ‘semua’ orang2 Madinah sudah beriman apabila Rasulullah S.A.W.ingin menubuhkan Negara Islam…

Sebagaimana yang diutarakan Safiurrahman al-Mubarakphuri dalam buku ‘Raheequl Makhtum’, entiti Madinah terdiri daripada 3 kelompok yang berlainan:
1. Para Sahabat (Muhajirin & Ansar)
2. Musyrikin Madinah (yang belum memeluk Islam)
3. Kaum Yahudi (Bani Qainuqa’, Bani Nadhir, Bani Quraizah)

3) Beliau pulang dari Mesir pada tahun 1968. Syeikh Yassin pada asalnya menuntut di Universiti Ain Syams dan kemudiannya pada tahun yang kedua dihantar pulang kerana terlibat dengan Ikhwanul Muslimin

Correction; walaupun kebanyakan artikel2 yang tersebar mengenai Syeikh Ahmed Yassin mengatakan bahawa beliau pernah menuntut di Universiti Al-Azhar, sebenarnya, beliau HANYA pernah diberi tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, tetapi tidak mampu untuk ke sana atas beberapa sebab, antaranya adalah kerana kesihatan beliau sendiri…

Syeikh Ahmed Yassin mengakui mengadaptasi ideologi Ikhwanul Muslimin melalui risalah2 dan buku2 mereka, tetapi beliau tidak mempunyai ‘hubungan struktural’ dengan mereka…

Pada tahun 1966, Jamal Abdul Nasser telah mengarahkan penangkapan beramai2 aktivis2 Islam khususnya Ikhwanul Muslimin di seluruh Mesir termasuklah Genting Gaza, beliau juga ditangkap, setelah didapati tiada bukti bagi mengaitkan beliau dengan Ilhwanul Muslimin, akhirnya beliau dilepaskan…

refer - Hamas: The Untold Story (Zaki Chehab) & Syahid yang Membangunkan Umat (Amir Syammakh)

4) Dan HAMAS tidak perlu bersusah-payah berkempen…
Correction; logic & praktikal, dah namanya pilihanraya, kempen pun satu keperluan! susah payah juga HAMAS berkempen, target di masjid, keluarga terdekat, jiran, sekolah, pejabat, internet, TV, radio, etc.
Rujuk tajuk ‘Choreographed Victory’ dalam buku ‘Hamas: The Untold Story’

btw, even before the election, HAMAS sudahpun mengetahui mereka akan menang, jadi pengundi@penyokong HAMAS diarahkan untuk berhelah dengan ‘opinion poll survey’ jika ditanya mengenai siapa yang akan mereka sokong…

5) Walaupun satu dunia berkempen yang buruk-buruk mengenai HAMAS. Tetapi HAMAS tetap menguasai 76 kerusi daripada 132 kerusi yang dipertandingkan di seluruh Palestin dalam pilihanraya 2006
HAMAS dengan slogan ‘Perubahan & Reformasi!’ dalam kempen mereka telah membuat seluruh dunia terkesima (terutamanya Israel & Amerika Syarikat) dengan kejayaan yang tidak terduga!

Condolezza Rice tertanya-tanya “Why was it that nobody saw it coming?”

Jangan lupa dengan janji Allah, 24:55!

6) Jika pilihanraya diadakan, kita tiada pilihan lain, selain daripada memilih barisan alternatif

umair, is this some kind of a lame joke? mana ada Barisan Alternatif dah sekarang, PAKATAN RAKYAT is de new HARAPAN RAKYAT!

P/S – rasanya de most interesting part about dis article is ‘gambar najib wif pak lah’!

teruskan mengeblog untuk MEMBANGKIT, MENYEDAR & MEMBUKA MATA UMAT bro. umair! ^_^

umairzulkefli September 17, 2010 at 12:57 AM  

Kepada para pembaca, artikel ini banyak yang perlu diperjelaskan lagi.

Ia ditulis 3 tahun dahulu dan banyak sisi-sisi yang sudah agak tidak relevan. Namun idea tarbiyah yang ingin dibawa masih sama.

Sila kaji terlebih dahulu sebelum menyebarkan.

Sekian...

aiyqosim November 24, 2010 at 4:28 AM  

Acap, mana blog ko??

nice artikel umair, byk kena belajar dari bro umair

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP