Jul 19, 2010

Dakwah : Kepelbagaian Jemaah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji dan syukur kita panjatkan buat Allah SWT yang telah membeirkan segala nikmat yang kita nikmati di saat ini. Semoga di setiap saat dan ketika kita melakukan setiap amal hanya keranaNya demi mensyukuri nikmat-nikmatNya ini.

Dakwah merupakan sesuatu yang wajib buat semua mereka yang mengaku sebagai seorang Muslim. Seorang ulama’ dakwah pernah berkata, “Barangsiapa yang mengatakan tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu persuruh Allah, maka dia adalah seorang da’i.” Allah telah menegaskan akan tanggungjawab berdakwah ini dengan begitu banyak sekali di dalam Al-Quran. Antaranya :


Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. [Q.S. 'Ali Imran. 3:104]

Kini ramai golongan yang mula menyahut seruan Allah ini, terutamanya daripada kalangan remaja, khususnya mahasiswa-mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara. Dan setiap individu pastinya akan cuba untuk menjalankan penyeruan kepada kebaikan (amar ma’ruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) ini dengan cara yang paling diyakininya. Keadaan ini akan menghasilkan variasi gerakan dalam penyeruan  ke jalan yang suci ini. Namun jika tidak dicermati, sesuatu yang baik ini akan kelihatan sebagai sesuatu yang buruk, malah mungkin boleh mencetuskan perpecahan yang tidak kita ingini.

Pelbagai warna dengan fungsi yang sama - mewarnai (Picture from deviant art)


Kepelbagaian Jemaah

Dalam mengharungi kehidupan kampus, kita perlu menyedari akan hakikat bahwa ada ramai pihak yang ingin berjuang untuk menegakkan Islam. Dan setiap daripada mereka mempunyai gerak kerja serta sudut pandang tersendiri dalam cara-cara untuk menyebarluaskan fikrah Islamiah kepada masyarakat.

Ada yang berpandangan dakwah perlu dimulakan dengan mempunyai kuasa, agar kita dapat menguasai masyarakat kampus, lalu dengan kuasa itu kita akan mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik.

Ada yang mengatakan kita perlu terus menerus menceritakan kelebihan amal kebaikan, ganjaran-ganjaran pahala yang bakal diterima atas ibadah yang dilakukan agar masyarakat akan tertarik kepada kebaikan dan dengan sendirinya meninggalkan keburukan.

Ada pula yang berpendapat masyarakat ini perlu ditarbiyah dengan kefahaman islam dengan baik, lalu dengan kefahaman dan pengamalan Islam itu masyarakat akan mengubah kehidupan mereka ke arah kehidupan yang sesuai dengan syariat dan diredhai oleh Allah SWT.

Banyak lagi fikrah-fikrah yang kita lihat. Bahkan mereka yang kelihatan mempunyai fikrah yang sama juga kita akan lihat bahawa mereka mempunyai cara mengatur organisasi yang tersendiri. Sehingga kita akan melihat begitu banyak gerakan Islam yang ada. 

Lalu timbullah persoalan, “Bolehkah banyak-banyak jemaah macam ni? Nanti orang-orang bukan Islam lihat Muslim ini lemah. Nak menegakkan agama sahaja tidak bersatu."

Sebenarnya banyaknya jemaah yang wujud sekarang ini bukanlah sebuah kesalahan ataupun tanda-tanda perpecahan. Banyaknya jemaah ini menandakan ada ramai orang yang ingin menyahut seruan Allah ini:


..oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan...[Q.S. Al-Baqarah, 2:148]

Masing-masing ingin melakukan perbaikan umat yang terbaik. Mereka yakin dengan jalan perjuangan mereka. Mereka sama-sama ingin menjadi mereka yang paling diredhai Allah. Bukankan ini baik?

Berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik

Menyikapi Kepelbagaian

Untuk menyikapi kepelbagaian jemaah yang ada ini, eloklah kita menelusuri buku Fiqh Al-Ikhtilaf , Fiqh Perbezaan pendapat oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradhwi. Dalam mukaddimah buknyanya beliau menulis :

"Hati saya resah jika musuh itu datang dari dalam tubuh kebangkitan Islam itu sendiri. Satu gerakan Islam melancarkan makar terhadap gerakan Islam yang lain.


Saya pun tidak resah bila di dalam tubuh kebangkitan Islam terdapat pelbagai madrasah, kelompok, atau jemaah, yang masing-masing mempunyai manhaj yang tersindiri dalam berkhidmat dan berjuang menegakkan Islam di muka bumi, sesuai dengan sasaran, skala prioriti dan tahapan mereka.


Saya tidak termasuk orang-orang yang bermimpi menginginkan dan menyerukan kepada satu jemaah atau satu gerakan Islam yang akan menghimpun semua aktivis Islam dalam satu sistem dan di bawah satu pimpinan. Terlalu banyak masalah yang merintanginya di samping impian yang memang tidak kena pada tempatnya.”


(Fiqh Ikhtilaf, Mukaddimah, m/s 10)

Seperti yang dinukilkan oleh beliau, setiap mempunyai gerak kerja dan strategi dakwah yang cukup berbeza malah cara menguruskan organisasi yang tersendiri. Bagaimana kita mengharapkan mereka ini dapat berkerja dalam satu organisasi dengan satu ketua?

Sikap yang perlu ada dalam menanggapi kepelbagaian :

1.   Menerima konsep kepelbagaian jamaah Islamiyyah

Kepelbagaian jemaah tidak akan menjadi masalah apabila semua pihak  mampu menyikapi perbezaan ini dengan baik. Kita perlu mengiktiraf akan adanya kepelbagaian jemaah dan mereka itu memang ‘layak’ untuk wujud. Masalah akan muncul apabila ada individu-individu atau mana-mana pihak menjadi taksub dan fanatik akan jemaahnya sendiri sehingga menikam dan mengecam orang lain yang bukan daripada jemaahnya. Hanya dia yang benar, yang lain salah dan tidak perlu wujud. Semua perlu menyertainya.

“Kami yang paling awal ada di sini. Kamu masuk tidak ketuk pintu!”

Jadi, jika kamu yang paling awal berdakwah di sini, maksudnya tidak boleh orang lain berdakwah sama? Orang yang sudah punya cara gerak kerja yang diyakininya hanya boleh duduk diam dan tidak berdakwah? Semua orang perlu menyertai kamu walaupun tidak setuju dengan kamu?

Saudaraku, janganlah bersikap seperti ini. Fenomena ini hanya menambahkan bilangan musuh dalam berjuang. Tawarkan sahaja kelebihan yang ada pada kita, dan biarkan orang lain memilih yang mana sesuai dengan caranya. Bayangkan jika kita yang menjadi pemula baru bagi fikrah dakwah yang kita bawa di tempat kita. Kita amat meyakini cara kita, tetapi kita dipaksa untuk mengikuti gerakan lain yang kita tidak yakin dengan cara perjuangannya. Mahukah kita? Terimalah mereka seadanya.

Mulakan perubahan dengan menerimanya

2.  Menghormati di antara satu sama lain dan menjauhkan prasangka-prasangka buruk
“Dia rampas mad’u ana!” seorang yang berkopiah mengeluh.

“Ana yang mula-mula dekati adik tu.” Kata seorang wanita bertudung labuh.

“Ana harap enta tidak ‘mengganggu’ adik-adik yang telah bersama dengan jemaah kami. Mereka semua sudah berkomitmen dan bersedia untuk ditarbiyah bersama-sama jemaah kami.” Kata presiden sesebuah jemaah kepada presiden jemaah yang lain.

Sebenarnya saya mahu tergelak mendengar perbualan-perbualan ini. Bayangkan jika adik-adik yang kononnya ‘ditarik’ daripada jemaah mereka itu berada di hadapan, adakah anda mahu berkata-kata seperti itu?

Ketahuilah pintu dakwah adalah Al-Fahmu, yakni kefahaman. Seseorang yang sudah faham dan yakin dengan ideologi pergerakan serta perjuangan sesebuah gerakan dakwah itu sudah pasti akan menyokongnya tanpa berbelah bahagi. Terjadinya fenomena ‘Lompat Jemaah’ ini adalah kerana kurangnya akan kefahaman yang diberikan. Jadi salahnya bukanlah pada jemaah yang menjadi pilihan mad’u kita itu, tetapi diri kita sendiri. Bersangka baiklah kepada mereka dengan merasakan bahawa kita masih belum mampu memberi pemahaman baik kepadanya, lalu dia memilih gerakan yang menurutnya lebih baik.

Ketidakfahaman membawa kepada keraguan (Picture from Deviant Art)

Saya sering mengatakan kepada mad’u-mad’u saya yang bertanya tentang banyaknya jemaah yang ada dan bolehkah jika ingin mengikut mereka,

“Antum semua tahu di Malaysia ini ada macam-macam jemaah. Ada PAS, JIM, ISMA, ABIM, Tabligh, dan macam-macam lagi. Semua mereka tu baik sebab mereka berdakwah untuk mengajak manusia mendekati Allah.

“Tetapi ana tidak bersama dengan mereka sebab ana cuba untuk memperbaiki umat dengan cara yang terbaik. Ana tidak kisah anak halaqoh nak ikut mana-mana jemaah yang ada, tetapi ana akan cuba meyakinkan mereka bahawa jalan yang ana tempuhi ini adalah jalan yang terbaik untuk mereka menjaga iman mereka serta menggerakkan dakwah.

“Jika mereka tidak mahu memilih untuk bersama dengan ana, ana akan menganggap mereka memang tidak ditakdirkan untuk berada dalam jalan yang ana pilih ini dan ana akan terus berdakwah kepada orang lain dengan cara yang sama.”

Lalu ada yang berkata, “Wah, sombongnya, macam jemaah dia yang paling baik!”

Maafkan saya, bagi saya ini bukanlah suatu kesombongan, tetapi berfikir secara rasional. Apakah rasionalnya anda untuk bersama dengan gerakan yang anda ikuti sekarang tetapi anda tidak yakin bahawa gerakan anda sedang melakukan yang terbaik? Lebih baik anda tinggalkan gerakan itu dan ikut mana-mana gerakan yang anda rasa lebih baik.

Kefahaman yang benar membentuk fikrah yang tidak tergoyahkan!

Meyakini bahawa jemaah kita adalah jemaah yang terbaik adalah sesuatu kewajaran. Namun kemudianya mengaku kepada semua bahawa jemaah kitalah yang terbaik mengatasi jemaah-jemaah lain adalah suatu tindakan yang berlebih-lebihan.

Wahai Pendakwah, Sedarlah

Sedarlah, banyaknya jemaah yang muncul sebenarnya memudahkan urusan kita. Semakin banyak pilihan yang boleh diikuti oleh masyarakat sebelum mereka terjebak dalam kerosakan moral yang jauh lebih membimbangkan. Jika mereka tidak bersama kita, maka dia boleh bersama dengan sesiapa sahaja yang memperjuangkan Islam. Jika setiap pendakwah bersikap seperti ini, nescaya akan lahirlah generasi baru dalam umat ini. Generasi pendakwah yang semuanya bersama-sama berusaha dengan matlamat yang sama. Kita tetap bersama dalam penyatuan matlamat.

Sedarlah, tugas kita adalah untuk memperbaiki umat. Umat kini sedang berada di ambang kerosakannya. Hampir setiap hari kita boleh membaca kisah-kisah yang mengaibkan masyarakat kita di dalam surat khabar. Bahkan menjadi sesuatu yang pelik jika dalam seminggu tiada kisah bayi yang dibuang ke tong sampah mahupun di jalanan. Keruntuhan akhlak dan moral bertambah bagaikan cendawan di musim hujan.

Lalu apakah yang kita lakukan? Sibuk menyalahkan antara satu sama lain? Lalu umat terus tenggelam dalam kegelapan jahiliyah yang tidak berkesudahan. Di mana kita untuk menghulurkan tangan menyelamatkan mereka?

Umat kita jauh lebih parah daripada ini

Kesimpulan : Jadilah Doktor Kepada Umat

Berdakwahlah bagaikan doktor. Doktor yang diamanahkan dengan negara yang penuh dengan pesakit-pesakit yang kronik. Sudah pasti kita tidak mampu menyelamatkan kesemua pesakit-pesakit itu. Dan kita perlukan bantuan doktor-doktor lain, meskipun mereka tidak sama tempat belajarnya dengan kita dahulu, dan tidak sama teknik pengubatan yang digunakan. 

Jika pesakit yang ingin kita ubati telah diuruskan oleh doktor yang lain, biarkan sahaja. Masih ramai pesakit yang memerlukan bantuan kita. Tidak kisah siapa yang mengguruskan mereka, yang penting mereka semua dapat diselamatkan.

Tidak mungkin kita akan bergaduh dengan doktor yang lain semata-mata berebut seorang pesakit. Fahamilah keadaan masyarakat. Masih ramai yang perlu diselamatkan. Masih ramai.

Marilah menjadi doktor yang baik kepada umat!



~End Of Post~

Share

24 comments:

Anonymous,  July 19, 2010 at 8:02 PM  

masyaAllah..
ana suka ngan entri nta ni..
slalu gak terjadi kes perebutan mad'u kat tempat ana blaja dlu..
sampai ana yg masih baru masa tu jd keliru kejap
dan hampir2 tarik diri tak nak terlibat ngn mana2 gerakan...

syukran atas pencerahan ni..
jzk..

Ezan Izzah Izzy July 19, 2010 at 9:20 PM  

tak kan jadi perang dingin andai sume BERLAPANG DADA...setiap org berbeza pendapat,dan cara tp diharapkan matlamat adalah sama iaitu mencari keredhaan Allah...

zubair ghazali July 20, 2010 at 7:01 AM  

huhu...
sama-sama buat kerja, sama-sama boleh berjaya..

tetapi takat mana berjayanya kita bergantung kepada sejauh mana usaha yang diletakkan..

Kualiti yang selari dengan kuantiti

Budak Sekolah July 20, 2010 at 11:51 AM  

salam..

"Pelbagai warna dengan fungsi yang sama - mewarnai"

~~~@@@~~~

menarik sekali entri saudara.

Pencerahan buat kita-kita yg masih kelam dgn isu kepelbagaian jemaah. Begitu jelas sekali isinya. Mumtaz!!!

Bukankah asas seseorang itu meng'intima' kan diri di dalam jemaah adalah berdasarkan kefaham. (rukun pertama baiah -oleh as-syahid imam hassan al-banna)

Perkara yg pertama digariskan oleh as-syahid adalah faham, kemudian barulah didatangkan dengan rukun2 yg lain.

Jika seseorang itu benar2 faham sebab dan kenapa intima' di dalam sesuatu jemaah, pasti tidak akan timbul isu2 spt rebut-merebut ataupun menganggap 'jemaah mereka'yg lebih baik dpd jemaah lain dan spt yg saudara sebutkan..

******

"Marilah menjadi doktor yang baik kepada umat!"

Sokong =)

ibnusina July 20, 2010 at 12:23 PM  

Salam ukhwah..

Ayuh !!! mari kita menyusun strategi mengubati penyakit yang menimpa umat kini. Jauhkan segala prasangka dan berlapang dadalah kita semua insyaAllah...

Anonymous,  July 20, 2010 at 10:47 PM  

Perkongsian yg amat bermakna buat kita semua..moga terus istiqomah di jalan Nya

Faris CJ July 20, 2010 at 11:06 PM  

entri yg sgt baik.... ana dulu ada sedikit keliru.

Anonymous,  July 22, 2010 at 8:07 PM  

sibuk dlm bekerja sbg pndakwah, insyaAllah mmbawa kpd lbih rmai org yg akan ditarbiyah

bukan brmkna umat makin tggelam dlm kejahilan

maaf, tak nmpak kaitan nya

kita bkerja dan org lain pun bkerja
"man jahada yujahidun li nafsihi" [29:6]

Anonymous,  July 27, 2010 at 3:04 PM  

marha!!! marha!!!!

Anonymous,  July 30, 2010 at 11:36 PM  

Salam, Islam tidak pernah membahagikan umatnya kepada beberapa jemaah, umat Islam adalah umat yg satu, tiada jemaah dalam jemaah, jemaah yg dibuat oleh nabi adalah jemaah sementara seperti jemaah solat, jemaah dakwah dan jemaah jihad, jemaah Islam yg ditubuhkan sebenarnya boleh memecahbelahkan umat, saya masih setuju jika jemaah itu adalah jemaah pelajar, jemaah pekerja, tapi ckp x bersetuju dgn jemaah Islam, pertubuhan islam, parti islam

aisya mumtazah,  July 31, 2010 at 11:52 AM  

salam.. ana sokong ap yg dtulis.. kplbgaian jmaah x m'hlg kte pn, mlh m'bn2 msyrkt mngnl islam.. wlupn cara stiap jmaah b'bza, tp mtlmt pjuangn adlh satu.. jd, b'gntg pd indvdu utk trima n nilai ap yg t'baik utk mreka..=) barakallahufik..

Anonymous,  August 2, 2010 at 3:40 PM  

salamunalaikum...tertarik dgn entri ini..benar dgn kata2 indah yg dikarang oleh penulis kita ini...sungguh indah kata-katanya sehinggakan bisa terpengaruh hati kita membacanya...

persoalan,

=> “Kami yang paling awal ada di sini. Kamu masuk tidak ketuk pintu!”

suka utk mengatakan tentang perkara ini...benar ulasannya yg menyatakan tentang ketidakpuasan hati penulis apabila adanya yang berbicara sedemikian...bayangkan, dengan gerakan dakwah yang dilakukan oleh sahabat2 kita, mengapa perlu dihalang??? sungguh tidak beradab bukan kerana ingin menghalangi usaha dakwah org lain...

1. tapi...apabila usaha dakwah yang dijalankan, akan mendatangkan fitnah terhadap gerakan dakwah melalui persatuan Islam, sehingga mengakibatkan tekanan dari pihak pengurusan yang ingin menutup persatuan Islam itu sendiri, apakah ianya BERADAB SAMA SEKALI???

=> “Dia rampas mad’u ana!” seorang yang berkopiah mengeluh.

“Ana yang mula-mula dekati adik tu.” Kata seorang wanita bertudung labuh.

apa daa...dah kalau mad'u kena rampas, nape x tarik semula??betul x...dan kita salahkan naqib dan naqibahnya..kerana x berusaha utk menarik kembali...

namun begitu, BERADABKAH KITA, bilamana mad'u itu, yang sebelum ini kita tak pernah pedulikannya, bila mana naqib dan naqibah ini berjaya memujuk hatinya utk sentiasa jaga jemaah d masjid dan surau2, KITA RAMPAS...walhal, sebelum ini, kita tak berusaha pun utk merapati adik2 yang kita tak kenal ni??? dan, kita x pernah merapati adik2 atau mad'u yang kita lihat kurang kapasitinya sbg seorang pendakwah yg hebat, dengan alasan,

" ana ingin mencari yang terbaik dalam menjalankan usaha dakwah...dah bnyk kali ana nasihatkan, dan bila dia dah tak boleh cope-up dgn marhalah2 yang ditetapkan, kami tggalkan lah..alah, lagipun Persatuan Islam tu kan ada utk tgk2 kan ahli kami ini..."
renungkan sendiri lah utk komen ana yg kali ni...

=>
" Sedarlah, tugas kita adalah untuk memperbaiki umat. Umat kini sedang berada di ambang kerosakannya. Hampir setiap hari kita boleh membaca kisah-kisah yang mengaibkan masyarakat kita di dalam surat khabar. Bahkan menjadi sesuatu yang pelik jika dalam seminggu tiada kisah bayi yang dibuang ke tong sampah mahupun di jalanan. Keruntuhan akhlak dan moral bertambah bagaikan cendawan di musim hujan."

benar, tugas kita untuk membantu memulihkan umat yang ada...namun, utk individu yang kita ingin bantu itu, kita tidak perlu memilih bulu...semua adalah mad'u, bukan yang kita target sahaja..ada pihak, mudah bicaranya...mengatakan satu jemaah itu sibuk dengan kekuasaannya...sbb, bila dah ada kuasa, baru boleh nk sebarkan dakwah..sedangkan dari pihak dia, dialah yang menjalankan usaha dakwah, dialah yg memberikan kefahaman, dialah yang mentarbiyah ummah yg ada...namun, mengapa tidak disokong persatuan Islam tadi, yang bnyk mengadakan program2 tarbiyyah, ruhiyyah dan jasadiyyah bagi membntuk masyarakat muslim yang lebih kompeten???kenapa mesti ada golongan yang bnyak mengkritik namun bila tiba masanya utk bertindak, kita hanya menyelamatkan diri dan juga ahli...keluar dari medan, dengan mengatakan utk selamatkan diri...

tidak saya ingin katakan post ini salah...sama sekali benar apa yang ditulis...cumanya, penulisan itu perlu selari dengan tindakan...sbb ALLAH dah pesan dalam surah AS-SAFF, ayat 2 dan 3...usah menjadi seperti rama2, indah kita lihat namun akhirnya menjadi perhiasan sahaja di dinding...jadilah seperti mentari di siang hari...ramai yang merungut kerna bahangnya, namun tetap teguh menyinari...

akhirul kalam...

Anonymous,  August 2, 2010 at 4:41 PM  

Salam.
Tertarik dengan ulasan anon kat atas. Namun saya lihat banyak kejahatan ilmiah yang anda nyatakan disitu tidak dikemukakan sebagai bukti.

1. Tekanan apakah yg telah diberikan? Apakah tekanan yang diterima itu benar2 cetusan si penulis artikel ataukah tekanan itu hasil daripada perbuatan "Persatuan Islam" itu sendiri? Siapa yg makan cili dialah yg terasa bahangnya. Kalau ingin lihat bukti, silakan rujuk blog2 rakan2 dikampus yg tak berpuas hati dgn "Persatuan Islam" tsb. Itu disebabkan ketamakan dan gila kuasa "Persatuan Islam" itu untuk menguasai massa sehingga sanggup memfitnah orang lain. Untuk rujukan bersama :

http://rausyanfikir.com/search/label/Mahasiswa
http://tganis.blogspot.com/2009/10/prk-satu-krtikan.html
http://rausyanfikir.com/2009/10/politik-machiavellinisme-dan-prk-utp.html

dan banyak lagi yg tak puas hati dgn "Persatuan Islam" tersebut. Kononnya "Persatuan Islam" tapi akhlaqnya mencemarkan Islam.

2. Menyatakan tentang adab, sedangkan dia sendiri tidak beradab dengan Allah. Menyatakan perubahan akibat daripada sentuhan naqib & naqibah, bukankah Allah yg mencampakkan hidayah ke dlm hati manusia? Juga perbuatan menuduh dan memfitnah program anjuran badan dakwah di kampus lain itu tidak selamat, dihalang daripada mengadakan program didalam kampus, menghantar SMS fitnah kepada mad'u yg ingin turun ke program Qiyamullail itu beradab? Tepuk dada tanya iman. Jgn hanya pandai menyebut surah as-Soff 61(ayat 2-3), cerminlah akhlak kita terhadap pendakwah yg lain jgn jadi spt org munafiq yg Allah ceritakan dalam surah al-Munafiqun (63:1-4).

3. ya mmg benar bahawa kita jgn pilih bulu dalam berdakwah, kerana kita pilih manusia, bukan bulunya. Dakwah itu ada dakwah yang umum dan dakwah yg khusus bentuknya. Wahai anon, tahukan anda bahawa Rasulullah juga memilih mad'unya untuk dia tarbiyah pada peringkat awalnya. Tidakkan anda membaca sirah berkenaan para sahabat yg awal memeluk Islam itu bukankah dipilih oleh Rasulullah dari kalangan orang yg benar2 dipercaya? Atau pun bagaimana peristiwa penghantaran muhajirin ke Habsyah, bukankah Rasulullah yg memilih Habsyah kerana Rajanya itu adil dan penganut agama Nasrani yang baik? apakah memilih pendokong dakwah itu salah? Gunakanlah akal kamu untuk berfikir jangan hanya menggunakan sentimen dalam melontarkan kesalahan dan fitnah kepada pendakwah lain. Bukankah dalam dakwah sepatutnya kita berlapang dada? Adakah itu dalam hati mu wahai anon di atas?

4. Boleh tunjukkan bukti yang mana program tarbiyah ruhiyyah dan jasadiyyah "persatuan Islam" yang melahirkan masyarakat muslim lebih kompeten? Sudah berapa lama 'persatuan Islam itu d kampus, adakah kampus berubah menjadi tempat yang seperti disebutkan? Sama2 kita perhatikan.

Salam Lapang Dada....
amaat

jemaahku jemaahmu jua,  August 3, 2010 at 7:08 AM  

laaa.. komen2 dah masuk komen2 yang hanya spesial untuk budak UTP saja ka. tak faham la pakcik gini.

walaupun ada sesetengah content dalam artikel umair ni ana sendiri rasa nak argue sikit; tapi overall ana rasa mesejnya sangat baik. nanti2 ana datang balik post ni, sekarang nak studi dulu :D

em betul; sayangkan kita yang mengaku du'at bergaduh sedangakan ummat memanggil?

apapun ana masih berpandangan, tak mustahil kita semua boleh satu jemaah insha-Allah satu hari nanti. banyak yang terbazir bila banyak2 jemaah ni.
cuma buat masa sekarang,mungkin belum masanya, dan semua orang ada approach tersendiri, justeru mari bersikap professional intra-jemaah =)

alhamdulillah, di bumi orang putih ini - ana sendiri merasakan kehangatan taadud jemaah semakin berkurang.
walaupun bervariasi jemaah, tapi masih boleh bersemuka berbincang masalah ummah. bincang bagaimana nak tingkatkan prestasi dakwah.
tapi kita tahu sensitiviti masing2, bila sebut pasal jemaah nanti akan 'panas', maka hold dulu.
utamakan ummah =)

alhamdulillah di sini. takutla pulak nak balik mesia tengok gaduh2 jemaah kat ipt masih tak berkurang lagi saban tahun :(

Anonymous,  August 3, 2010 at 11:05 AM  

Haa kalau dibumi orang putih tuh kurang taadud jamaah, cuba hang datang ke bumi orang sawo matang nih, masyaAllah tak habis2 nak bergaduh pasal siapa legal, tentang siapa rasmi, siapa kena ikut siapa, fitnah memfitnah, buruk memburuk.
Haaa...itulah hebatnya bumi orang sawo matang nih. Bukan Islam yang disebarluaskan, tapi jamaah.

Penyatuan spt mana kata2 Dr Yusuf al-Qaradhawiy dalam buku Fiqh Al_Daulah, dan juga Dr Husain bin Muhsin bin Ali Jabir dlm Min Thoriq Ila Jamaatil Muslimin adalah sesuatu yang sukar untuk dicapai, namun dgn taadud inilah yg justeru menambahkan kekuatan umat. Tetapi dgn syarat setiap daripada pendakwah itu sentiasa berlapang dada berakhlak baik dan bersangka baik terhadap pendakwah yang lain.

InsyaAllah umat sedang menanti huluran tangan para pendakwah yang sejati, janganlah kerana berbeza itu melemahkan umat yg sedia lemah.

Dakwah Qobla Jamaah ;)

Unknown August 6, 2010 at 1:45 AM  

bila usaha yg org lain buat, kita terburu2 brtanyakan hasil

bila ditnyakan ttg usaha kita, dididik supaya brsabar melihat kesannya

sudah2 la..Islam sdng bngkit skrg, jgn smpai kita xtrmasuk sbg a'dho' yg mnggerakkan kbngkitan..udah le

brdamailah atas titik persamaan
jgn dibiarkan syaitan brgembira dgn prngai jahiliyah ini

Allah menyeru kita spy mncari wasilah utk mndekatkan diri kpd Nya...
Liqo al-Mulk, iftar, menulis blog, bg komen dlm blog, bg tazkirah, buat halaqoh, even ke thp berusaha MENGURANGKAN mudharat dgn berada pd POSISI trtentu dlm msyrakat, klu la dpt mndekatkam diri kpd Allah, masih lg dlm kerangka syarak

jom fastabiqul khairat~

shabab90 September 29, 2010 at 3:37 PM  

Satu pencerahan minda yang baik..apapun perlu berbalik kepada hakikat sebenar bahawa mengapa wujudnya ta'adud jamaah..menunding jari menyatakan ana betul nta salah mmg bukan budaya Islam..perlu merujuk kepada kitab ma za yakni fil intima il-islam karangan ulama haraki besar iaitu fathi Yakan dalam fasa 2 buku tersebut..ana tidak menyalahkan sesiapa namun perlu memuhasabah dan koreksi diri adakah jalan yang ku pilih adalah terbaik..kerana umat makin bercelaru dengan masalah ditambah dengan kecelaruan yang tidak sepatutnya berlaku..kesian mad'u kita yang baru nak kenal Islam tiba-tiba dah bagi banyak pula pilihan untuk kearah tersebut..tidakkah ini mencelarukan fikrah mereka dan malang lagi terus tidak mahu ikut lapangan tarbiah yang ada..Pencinta Perpaduan Islam

amirah October 26, 2011 at 8:41 PM  

Assalamualaikum..

Perkongsian yang menarik.
Minta untuk share this entri.

Shazara April 18, 2012 at 5:20 PM  

Assalamu'Alaikum...

Betul saya setuju..
Tapi macamana pula ya,
bila orang kata kita ni 'extremist'

maafkan saya,
saya part of usaha tabligh
tapi saya selalu dengar lak ada persatuan ni selalu cakap tabligh ni extreme sangat.
sedih jugak bila orang label macamtu...
lagi2 yang melabelkan tu orang2 yg juga berjuang untuk agama yang sama..

camne ek..

umairzulkefli April 18, 2012 at 6:03 PM  

To Shazara:
Dalam buku Bahtera Penyelamat oleh Fathi Yakan, memang ada disebutkan di bawah bab Rintangan bagi seorang pendakwah itu adalah salah satunya, Orang mukmin yang dengki kepadanya.

Maka jangan pernah risau, memang orang-orang seperti ini akan muncul. Dan mereka memang ada sebuah prinsip, kalau bukan dari jemaah aku, maka mereka tidak layak wujud, mengganggu dan lain-lain.

Mereka merasakan hanya mereka yang layak wujud kerana pelbagai alasan dan jemaah lain smuanya tidak perlu wujud dan perlu bergabung di bawahnya sahaja.

Sehingga mereka yang tidak ikut bergabung kerana punya fikrah sendiri dikatakan sesat, ekstrim, berdakwah tanpa izin, dan sebagainya.

Maka, jangan pernah risau. Selama mana kita mengajak kepada Allah, jangan takut dan teruskan usaha. Pasti, Allah bersama kita.

Buat mereka yang tak habis-habis berkata macam-macam dan mengarut-ngarut itu, biarkan mereka menjawab di hadapan Allah SWT kelak.

Wallahua'lam.

lightofourhope June 29, 2012 at 5:04 AM  

Assalamualaikum. Tempat saya pun saya akui banyak je jemaah2. Dan saya akui semuanya baik2,mengajak kpd Islam dan kebaikan.Alhamdulillah

Di sini saya ingin bertanya dan meminta pandangan atau pendapat.
Bagaimana pulak situasi ada jemaah yg suka menghentam jemaah lain mungkin kerana berbeza pendirian atau pembawakan.saya rasa teguran itu tidak menjadi masalah tapi secara direct dan sgt terbuka dan kelihatan seperti mengaibkan dan menjatuhkan jemaah lain yang ditegurnya.
Bukankah ini menampakkan umat Islam ini lemah dan berpecah-pecah dan suka berkelahi?

*sebenarnya situasi ini berlaku di Malaysia,tak perlu dinyatakan terperinci siapa dan siapa. Cuma saya keliru dan berfikir adakah ini kesan buruk taadud jemaah ini. Seolah-olah ingin menampakkan jemaah dia jaguh. Alhamdulillah tem
At saya belajar tidak mengalami situasi begini, tapi memikirkan suatu hari nanti saya akan pulang ke tanah air dan berbakti di sana membuatakan saya keliru.

umairzulkefli June 29, 2012 at 10:53 AM  

lightofourhope:

Jika itulah sikap yang ditunjukkan, maka memang itu akan membuatkan pelbagai jemaah yang wujud ini suatu perpecahan. Kata kunci kepada harmoninya kepelbagaian ini adalah berlapang dada. Yakni, meraikan kewujudan jemaah lain yang ada di sekitar kita, dengan bersikap tenang ketika perlu bersemuka dengan mereka.

Jika semua boleh berlapang dada, setiap orang berbuat atas gerak kerja masing-masing, maka akan indahlah islam itu terlihat di mata manusia.

Umpama perlbagai jenis kaum, bangsa, dan asal keturunan, tetapi saling menghormati dan menyayangi, kerana mereka mempunyai satu keyakinan dan kepercayaan, yakni Islam.

Unknown July 1, 2012 at 7:54 PM  

Assalamualaikum wbt. 
Jazakallahukhairan atas entri yang menarik. Cuma ana nak tekankan di sini ialah tentang Fiqh Aulawiyyat.
Memberi maslahah yang majoriti lebih baik daripada maslahah yang minoriti. 
Apa pendapat enta? 
Stahu ana melalui bacaan kitab Fiqh Aulawiyyat karangan Dr Yusuf Qardawi. Ini yang boleh disimpulkan. 

***Mereka yang tidak memahami Feqh Aulawiyyat, sebenarnya termasuk dalam golongan yang mensia-siakan waktu terhadap urusan yang lebih penting dilaksanakan. Mereka yang melakukan tabiat mensia-siakan keutamaan dalam setiap tindakan sebagai salah satu tanda kebodohan seorang manusia.

 Kata Ibnu ‘Ato’iLlah dalam Hikamnya ;
                                     
[ Menunda/ menangguh amal perbuatan (kebaikan) kerana menantikan kesempatan yang lebih baik merupakan suatu tanda kebodohan yang mempengaruhi jiwa ].

***Sebuah gerakan, organisasi atau persatuan yang tidak memahami Feqh Aulawiyyat terhadap bidang tugas yang harus digarap lebih awal akan menyebabkan perpecahan. Sebagai contoh, ada pertubuhan yang hanya bergerak di bidang dakwah aqidah, dakwah ibadah; ada juga yang khusus memusatkan skop sosial, politik, dan sebagainya. Bila pendokong-pendokong organisasi ini tidak faham perkara mana yang mesti diutamakan, masing-masing akan merasa bahawa bidang dakwahnya-lah yang paling penting. Padahal, keutamaan tersebut perlu dilihat dari pelbagai sudut, tempat, situasi yang mungkin berbeza. Apabila hal ini tidak ditimbang dengan baik, perbezaan-perbezaan jenis gerakan sesebuah pertubuhan akan mendorong kepada perpecahan umat. 

Apa pandangan enta terhadap isu ini? Maaf, ana baru bertatih dalam dunia dakwah dan Islam sebenarnya.

umairzulkefli July 10, 2012 at 11:41 PM  

To bintu habidah:
Afwan jiddan atas kelambatan reply.
Berkenaan isu itu, memang benar apa yang dikatakan oleh saudari.

Kerana itulah setiap jemaah perlu mentarbiyah para ahlinya untuk memahami adab dalam berbeza jemaah. Kerana itu Yusuf Al-Qaradhawi menulis buku Fiqh Al-Ikhtilaf. Buku tersebut menerangkan secara menyeluruh berkenaan kepelbagaian jemaah serta bagaimana menyikapinya.

Setiap jemaah sudah punya ijtihad serta keyakinan masing-masing yang berakar umbi dalam setiap penggeraknya, bagaimana boleh dipaksakan kefahaman serta keyakinan yang dikatakan lebih 'aula' oleh jemaah lain kepada mereka?

Jadi, mari belajar berbeza pendapat dengan baik.
Saya juga bukan lama mana berdakwah, juga masih bertatih mencari rentak terbaik dalam mentarbiyah ummah. Marilah sama-sama kita saling berkongsi dan menasihati.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP