Jul 27, 2010

Perkongsian : Jangan Double Standard

Abu Muhammad menceritakan suatu kisah yang saya kira boleh kita ambil pengajaran yang banyak daripadanya. Kisah saat beliau sedang menghadiri mukhoyyam di Indonesia.

"Ana berharap anak ana tidak lahir dalam 2-3 hari ini." tiba-tiba seorang ikhwah bersuara.

"Hah, kenapa pula akhi?" Abu Muhammad dan ikhwah-ikhwah lain yang mendengarnya merasa pelik.

"Begini, ana punya 3 orang anak. Semuanya lahir ketika ana sedang menghadiri mukhoyyam. Kalau lahir yang ini juga, maka semua keempat-empat orang anak ana jadi anak mukhoyyam!"

Gambar Hiasan



Lalu kata-katanya itu disambut derai tawa oleh para ikhwah.

"Ibu dan bapa mertua ana betul-betul tidak puas hati dengan tindakan ana. Yalah, tiada di saat isteri melahirkan. Tetapi apa yang boleh dilakukan, kita ada urusan dakwah."

"Insya-Allah, semoga diberikan keadaan yang terbaik akhi."

"Amiin.." Mereka semua mengaminkan.

Begitulah sepatutnya seseorang itu bersikap. Mengutamakan Allah, Rasul dan Jihad di atas segala-galanya. Sebagaimana firmanNya :


Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.





[Q.S. At-Taubah, 9:24]


Tahapan kecintaan yang digarisi oleh Allah dalam Al-Quran itu adalah seperti berikut:
  1. Allah
  2. Rasul
  3. Jihad
  4. Ibu bapa
  5. Anak-anak
  6. Saudara mara
  7. Isteri
  8. Kaum kerabat
  9. Harta kekayaan yang diusahakn
  10. Perniagaan yang dikhuatiri kerugiannya
  11. Tempat tinggal yang disukai
Isteri itu datangnya di tempat yang ketujuh. Apabila diseru kepada jihad maka seorang yag beriman itu sepatutnya mendahulukan seruan itu. Sepertimana Hazalah yang menyahut seruan jihad di saat dia sedang bersama dengan isterinya di malam yang pertama. Saat seruan jihad itu disahut, Hanzalah masih dalam keadaan junub. Inilah contoh yang ditunjukkah oleh para sahabat. 

Adakah mereka tidak tahu mencintai keluarga? Tidak. Bahkan mereka adalah pecinta yang sebenar-benarnya. Mencintai Allah di atas segalanya. Kehendak Allah diutamakan di atas kehendak dirinya. Ingin keluarganya juga menjadi orang-orang yang beriman. Jika kita inginkan keluarga kita sejahtera, bukannya dengan meninggalkan dakwah dan tarbiyah demi menyara keluarga. Nabi pernah bersabda, "Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu." Dalam membahas hadith ini, Dr. Aidh Al-Qarni menyatakan 8 terdapat kelebihan bagi seseorang yang menjaga Allah. Antaranya adalah Allah akan memelihara keturunannya.

Beliau membawakan contoh Nabi Ya'kub dan Nabi Yusuf yang terpisah. Diriwayatkan tempoh perpisahan kedua anak beranak ini adalah 80 tahun. Namun yang dirisaukan oleh Nabi Ya'kub bukannya hidup mati anaknya. Ketika bertemu dengan Yusuf saat Yusuf sudah menjadi bendahara negara, Yusuf bertanya kepadanya,

"Mengapakah kau menangis? Adakah kau tidak yakin dengan janji Allah yang akan menemukan kita?"

Semua antara kita barangkali berfikir Nabi Ya'kub menangis berterusan sehingga buta kerana kehilangan Nabi Yusuf yang disayanginya. Namun perhatikan kata-kata Nabi Ya'kub,

"Aku cukup yakin dengan janji Allah bahawa Allah akan menemukan kita. Yang aku takutkan adalah apabila aku bertemu dengan kau dan di saat itu kau dalam keadaan tidak beriman kepada Allah."

Bukan kehilangan Yusuf yang merisaukan dirinya. Tetapi kemungkinan hilangnya keimanan dalam diri Yusuf yang menjadi kerisauannya. Kesungguhannya ingin memelihara Allah dalam dirinya serta keluarganya ini  kemudiannya dibalas oleh Allah SWT dengan memelihara keturunannya.

Kisah seorang tabi'in yang terkenal, Rabi'ah Ar-Ra'yu. Bapanya keluar berjihad selama 30 tahun, sejak dia masih dalam kandungan ibunya. Dia tidak pernah bersua dengan bapanya. Namun dia kemudiannya membesar menjadi salah seorang ulama' tersohor madinah di zamannya. Inilah yang terjadi apabila bapanya mengutamakan Allah di atas kecintaan keluarga.

Cinta Allah di atas segalanya

Kisah sama, Layanan berbeza

Namun kisah di zaman kita, apabila kita cuba mencontohi kecintaan ini, maka kita dipandang serong masyarakat. Jika seorang suami meninggalkan isteri saat dia ingin melahirkan kerana ada tugasan dakwah, maka si suami akan dikatakan suami yang tidak bertanggungjawab oleh keluarga. Tetapi jika keluar kerana sebagai seorang doktor yang perlu on-call, atau seorang jurutera petroleum yang perlu bekerja of shore, maka mereka dibiarkan pergi tanpa apa-apa tuduhan. Malah dipersilakan. Untuk tujuan akhirat, sangat dikecohkan. Tetapi untuk urusan dunia, sangat dialu-alukan. Mengapa double standard?

Seringkali nama Islam menjadi tempat terakhir

Bahkan di keadaan lain juga sama.

"Adik-adik semua jangan pergi program-program yang tidak dianjurkan oleh badan dakwah yang rasmi di universiti. Keselamatan tidak terjamin."

Biasa dengar?

Kalau nasihat seperti ini pula:

"Adik-adik, kalau pergi bandar tu jaga-jaga, banyak perkara yang boleh melunturkan iman. Wanita-wanita yang tidak menutup aurat, cerita-cerita di panggung wayang yang boleh merosakkan akidah, pergaulan bebas, macam-macam boleh berlaku. Jaga-jaga ya."

Pelik bukan? Orang amat takut serta dimomok-momokkan untuk pergi ke program-program islami, biar apapun namanya, lagi-lagi yang konon-kononnya diwar-warkan tidak ada kebenaran universiti dan sebagainya. Tetapi apabila pergi ke bandar untuk clubbing, menonton wayang, bersuka-ria membuang masa pula tidak pernah dipersoalkan. Mengapa?

Kesimpulan

Mungkin kita sukar untuk menerima sudut pandang seperti ini. Namun buat mereka yang menyakini saat pertemuannya dengan Allah, mengetahui tahap kecintaan yang mana perlu didahulukan, semestinya mereka tidak teragak-agak untuk membuat pilihan.

Dunia cuma sementara. Akhirat kekal selama-lamanya. Jika memang keadaan memerlukan kita membuat keputusan, maka putuskanlah mengikut 'manual'-Nya. Bukan atas dasar hawa nafsu.

Semoga Allah redha dengan kita.

~End Of Post~

Share

11 comments:

Anonymous,  July 27, 2010 at 4:22 PM  

satu lg artikel yg menjana minda..alhamdulillah.teruskan penulisan ini.

Amin Baek July 27, 2010 at 5:46 PM  

biasa dengar dialog tu..heheh..

nice one umair..

Nasrullah Jaafar July 27, 2010 at 7:28 PM  

InsyaAllah..
nice one umair (^_^)

Anonymous,  July 27, 2010 at 7:56 PM  

"utamakan hak Allah,pasti Allah akan permudahkan segalanya untuk kamu"..(^_^)

Amin Baek July 27, 2010 at 9:29 PM  

nash tru ayat aku--yg nice one tu..hahaha

Kiko Berdendang July 28, 2010 at 10:19 AM  

Sejuk ati bila baca cerita bermanfaat kan....

Z MUHAMMAD July 28, 2010 at 3:20 PM  

syukran ats peringatan.. =)

AK July 28, 2010 at 4:03 PM  

boleh ana copy tak?

ukhtukum,  August 3, 2010 at 1:14 AM  

salam wbt umair,

bagus entry macam ni. moga terbuka mata kita yang selalu double standard :)

cuma part prioriti antara 'ke mukhoyyam' dengan menemani isteri..
ana cuma ingin penjelasan lebih sikit.

dalil yang enta gunakan [9:24], memang jelas maksudnya.
cuma, apakah tidak dianggap jihad; pengorbanan sang isteri yang ingin melahirkan ummat kebanggan Nabiyuna?

bagaimana pula dengan dalil ini:
Dari Ibnu Abbas r.a., katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Seorang lelaki tidak boleh berada di tempat sunyi dengan seorang perempuan, melainkan harus disertai mahram. Begitu juga seorang perempuan tidak boleh berjalan sendirian, melainkan harus bersama-sama seorang mahram.” Tiba-tiba berdiri seorang lelaki, lalu dia bertanya: “Isteriku hendak menunaikan ibadat haji, sedangkan aku ditugaskan pergi berperang ke sana dan ke situ, bagaimana itu ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah : “Pergilah kamu haji bersama isterimu!”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Nabi menyuruh untuk menemani isteri instead of perang. belum cerita lagi mukhoyyam. apatah lagi kalau cuma 'peserta' mukhoyyam, bukannya 'penganjur'.

...

ana tidak arif hal ini, justeru bertanya.
kalau boleh umair tanyakan pendapat yang lebih alim.

apapun, buat setakat ini, ana sendiri mengambil pandangan ini sebagai tidak qat'ie.
seperti mana nabi yang sentiasa memberi 'jawapan lain-lain' apabila sahabat2 bertanyakan afdhalul amal untuk mereka.

mungkin sesetengah isteri mampu untuk ditinggalkan, tapi juga mungkin lebih ramai lagi tidak..

ana sendiri, sebagai bakal ibu, tentunya sangat mengharapkan kehadiran suami di sisi ketika kita sedang bertarung nyawa.
namun kalau memang ketika itu peperangan - atau benar2 'program jihad' yang sewaktu dengannya; maka tenttulah kami tidak punya pilihan lain.

allahua'lam.

ukhtukum fil islam

zubair ghazali August 9, 2010 at 6:32 PM  

sedikit sebanyak setuju dengan ukhtukum~

umairzulkefli August 16, 2010 at 7:46 AM  

Assalamu'alaikum WBT...

Maaf kerana terlampau lambat membalas. Terlampau banyak kekangan baik dari segi masa mahupun tenaga.

buat ukhtukum:

Kalau baru nak keluar rumah tiba-tiba isteri nak melahirkan, takkanlah kita paksakan diri untuk membiarkan dia terkontang-kanting tanpa bantuan. Tentulah kita selesaikan keperluannya sebaik-baiknya, sehingga semuanya beres.

Dalam kes yang diceritakan, Si Ikhwah tidak tahu bila isterinya bakal melahirkan. Mungkin minggu depan, mungking 2 minggu lagi, mungkin 4 hari lagi, mungkin dan mungkin...

Katalah mukhoyyam bermula hari jumaat hingga sabtu. Isteri sarat mengandung. Perlukah saya membatalkan kehadiran saya kerana risau isteri akan melahirkan ketika berprogram? Padahal dia sihat-sihat sahaja daripada isnin hingga khamis. Kononlah nak jadi suami mithali, lalu beritahu mas'ul program : "Afwan akhi, ana takut zaujah ana bersalin masa ana tengah berprogram, jadi ana tak boleh datang."
Kalau anak tu lahir hari isnin atau selasa depan?

Tiada siapa dapat jamin! Tarikh lahir bayi siapa yang boleh tetapkan?

Sekali lagi. Jika tujuan kita keluar atas urusan dunia, hampir tiada siapapun yang kisah. Abu Muhammad sndiri, salah seorang anaknya dilahirkan ketika dia oncall. Mertuanya langsung tidak kisah. Cuba kalau tujuan keluarnya kerana dakwah, bukan keluarga sahaja mengutuk mengeji, jiran tetangga pun sibuk nak mengomen. Bahkan jika isteri demam sekalipun, walau dah ada saudara tolong jagakan, dah beri ubat sepatutnya, kalau keluar rumah untuk hal dakwah tetap dianggap melakukan kesalahan besar!

Ini yang saya cuba sampaikan, jangan DOUBLE STANDARD!

Kalau bakal isteri saya nanti tidak setuju dengan sikap saya ini, saya pun tidak kisah jika tidak dapat beristerikan dia.

Harap maklum.....

Wallahua'lam....

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP