Aug 12, 2010

Bedah Buku : Penyatuan Gerak Kerja Islam

Assalamu'alaikum WBT...

Kebelakangan ini terlampau banyak pihak yang menyodor Shoutul Ikhwah dengan pertanyaan-pertanyaan mengenai jemaah. Pertanyaan-pertanyaan yang saya kira sepatutnya telah dihadam dan menjadi kefahaman semua mereka yang mengaku diri mereka sebagai Da'i. Namun tetap sahaja soalan-soalan sebegitu disodorkan.

Siapalah saya untuk berhujah, namun ada baiknya kita sama-sama menelusuri bedah buku daripada kitab Penyatuan Kerja Gerakan Islam; Di Antara Kenyataan Dan Harapan oleh Dr Muhammad Abu Al Fath Al Bayanuniy. Semoga sama-sama kita mengambil manfaatnya.


PENYATUAN GERAK KERJA ISLAM



Mukadimah

“Sesungguhnya umat Islam adalah satu dan Aku Tuhan kamu, maka sembahlah Aku”
(Al Anbiya’ 21:92)

“Berpeganglah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah…”
(Ali ‘Imran 3 :103)

“Hendaklah kamu berjemaah dan jauhkanlah dari perpecahan, sesungguhnya syaitan menjauhi jemaah dan mendekati orang perseorangan. Sesiapa yang inginkan syurga, hendaklah menyertai jemaah.”
(Sebahagian dari hadith riwayat Imam Tarmidzi dalam sunannya)

Penyatuan amal Islami sepatutnya adalah merupakan cita cita agung yang diharapkan oleh seluruh umat Islam walau di mana mereka berada terutama di tempat yang berlakunya fitnah perpecahan. Akan tetapi kebanyakan orang Islam menjadi serba salah kerana kini banyaknya Jamaah Islamiyyah yang wujud. Perkara ini mempengaruhi sikap serta cara mereka bertindak mengenai satu satu masalah. Lantaran itu timbullah tindak balas yang berbeza yang disertai dengan semangat fanatik jemaah!



Menurut Dr. Muhammad Abu Al Fath Al Bayanuniy dalam bukunya “Penyatuan Kerja Gerakan Islam :Di Antara Harapan Dan Kenyataan” yang lainnya bermaksud bahawa permasalahan yang dihadapai oleh pemuda masa kini sama dengan permasalahan pemuda pada zaman lampau yang menghadapai masalah perbezaan aliran fiqah dan madzhab. Mereka mempersoalkan mengapa boleh terjadinya banyak madzhab dan aliran fiqah sedangkan agama Islam, Al Quran dan Sunnah Nabi hanya satu?...suasana menjadi lebih buruk lagi bilamana muncul pengikut madzhab yang fanatik lantas mengecam dan menikam orang lain yang bukan dari madzhabnya.

Kesamaran seperti ini masih kekal di dalam fikrah umat Islam dan pendirian mereka sehingga Allah mentakdirkan lahir di kalangan umat ini orang yang mampu menerangkan hakikat perbezaan pandangan ilmiah dahulu atau sekarang serta menerangkan punca punca perselisihan pendapat dan mengelakkan cacian terhadap penganut madzhab lain dengan menyatakan pendirian yang sepatutnya dalam menanggapi masalah perbezaan ini.

Sekiranya timbul beberapa pandangan ilmiah dalam sesuatu masalah agama, ia merupakan masalah atau perkara biasa dan diakui oleh syarak berdasarkan hujah hujah tertentu. Oleh itu wujudnya pelbagai jemaah dalam medan Islam juga merupakan perkara biasa dan diakui oleh syarak, khususnya pada zaman mutakhir ini.


Realiti Kewujudan Pelbagai Jemaah dan Faktornya.

Sekiranya dikaji sebab wujudnya pelbagai jemaah Islamiyyah dan memerhati tabiat kemunculannya, nescaya kita akan mendapati bahawa sebilangan besarnya adalah berpunca dari perbezaan manhaj dan cara bekerja para dai’e (pendakwah). Mereka memilih jalan yang difikirkan paling sesuai dan lebih dekat untuk mencapai matlamat , berpandukan nas nas Al quran dan al hadith dan membuat beberapa penyesuaian mengikut keperluan semasa.


Kita meyakini bahawa perbezaan ijtihad yang didasarkan kepada Al quran dan as sunnah samalah seperti perbezaan manhaj para nabi a.s dan syariat mereka dalam setengah perkara walaupun agama mereka agama yang sama. Allah berfirman:


“Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya aku telah ditunjukkan oleh tuhanku ke jalan yang lurus, iaitu agama yang benar, agama Ibrahim yang lurus.”
(Al An’am 6:161)


“Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta mengkufuri akhirat, dan aku akan mengikuti agama bapa bapaku Ibrahim, Ishak ,Yaakub…”
(Yusuf 12:37-38)

Kepelbagaian manhaj para nabi telah mempengaruhi cara berfikir para pendakwah pada hari ini. Hal ini telah mengajak mereka utk berijtihad berdasarkan pengalaman mereka terhadap Nas al quran dan as sunnah. Ijtihad ini sendiri mungkin menghasilkan natijah atau keputusan yang tepat dan mungkin tidak tepat. Jadi ianya mempunyai ruang untuk perbincangan dan kritikan!! . Bagaimanapun para mujtahid mendapat pahala hasil dari ijtihad mereka.

Perbandingan seperti ini pernah diterangkan oleh Imam Ibn Taymiyah : “Madzhab madzhab ulama’, jalan jalan cendekiawan dan pemimpin pemimpin politik, sekiranya nawaitu kerja mereka untuk mendapatkan keredhaan Allah, adalah sebahagian dari ibadat. Para rasul mendapat pahala dari Allah walaupun syariat mereka berbeza. Ulama juga mendapat pahala dari ijtihad mereka dan ahli ahli politik juga mendapat pahala daripada sebarang keputusan yang dibuat selama mana keputusan itu dilakukan unuk mencapai keredhaan Allah.”

Oleh itu, janganlah kita sesekali mencerca atau menikam orang lain yang mempunyai fikrah atau jemaah yang berlainan.

”Janganlah kamu menganggap diri kamu lebih bersih, Allah lebih mengetahui siapakah di antara kamu yang lebih bertakwa.”
(An Najm 53:32)

“Hai orang2 beriman, janganlah kamu memperolok olokkan kaum yang lain kerana boleh jadi mereka yg di olok olokkan lebih baik dari mereka yang memperolok olokkan…”
(Al Hujurat 49 :11)


Faktor terjadinya perbezaan jemaah Islamiyyah.
  1. Terdapat Nas Nas syarak yang sifatnya mengandungi lebih dari satu makna. Pemahaman terhadap nas nas dan sirah Rasulullah serta perjalanan hidup para sahabat berbeza antara seorang dengan yang lain yang akhirnya membawa kepada perbezaaan manhaj dan cara bekerja. Jika kita perhatikan perkara ini kita akan melihat bahawa Sirah Rasulullah dan Khulafa’ Ar Rasyidin memberi ruang yang lebih luas kepada perbincangan dan ijtihad berbanding dengan nas nas hukum syarak.

  2. Hilangnya penyatuan politik dunia Islam yang mewakili khilafah Islamiyyah, yang menyatu padukan umat atau dengan kata kata lain hilangnya system khilafah sebagai satu kuasa politik yang bertanggungjawab dalam urusan pemerintahan dan penyelesaian masalah umat.

    Dalam menerangkan perkara ini, Prof. Dr. Yusuf al Qardawi ada menyatakan dalam temuramah beliau dengan majalah al Islah yang dikeluarkan di Dubai . Dalam temuramah itu beliau ditanya dengan soalan berikut:

    “Prof. semasa kita bercakap tentang kebangkitan Islam , timbulnya satu suasana yang perlu diberi perhatian iaitu masalah kewujudan pelbagai jemaah Islamiyyah yang beroperasi di medan dakwah serta wujudnya perselisihan yang kadang kadang membawa kepada pengasingan antara satu jemaah dengan jemah yang lain. Apa pandangan tuan Prof. tentang perkara ini? Apakah ianya perkembangan yang sihat? Manakah satu pemahaman yang tepat yang seharusnya memimpin jemaah yang ada kini untuk menjadikannya satu tenaga yang padu bagi kebaikan Islam dan umatnya?”

    Beliau menjawab, “Kewujudan atau kemunculan jamaah Islamiyyah dengan pelbagai pendekatan pada hari ini adalah satu kemestian, akibat hilangnya satu tanggungjawab terbesar dalam Islam iaitu Khalifah Islamiyyah.”

    Hari ini konsep baiah dan khalifah telah pun tiada akibat gugurnya Khalifah Islamiyyah. Oleh itu setiap jemaah Islamiyyah perlulah menyelaraskan kegiatan mereka antara satu sama lain. 

  3. Akibat wujudnya keinginan yang serius di kalangan pendakwah untuk menguasai sebanyak mungkin umat Islam supaya berada atau menyertai gerak kerja mereka. Usaha ini adalah untuk menyelamatkan umat Islam daripada diperalatkan oleh musuh-musuh umat Islam.

    Satu hakikat yang tidak dapat nak dinafikan ialah umat Islam berasal dari pelbagai latar belakang juga dengan pelbagai pandangan dan ijtihad. Oleh sebab keadaan ini, maka amat sukarlah untuk menyatukan mereka dalam satu jemaah atau untuk meletakkan mereka di bawah satu pimpinana shj, terutama setelah hilangnya Jemaah Islamiyyah yang diakui oleh semua orang yang dipimpin oleh Muhammad s.a.w.

    Dalam hal ini, Ustaz Abu Al A’la Al Maududi rahimullah, semasa beliau menerangkan perkara yang mendorongnya untuk menubuhkan Jamaat Islami mengatakan, “Saya telah mencuba, serta rakan-rakan saya yang sealiran selama 3 tahun untuk menyatukan jamaah yang ada pada ketika itu supaya berada di bawah satu peraturan dan perancangan yang hampir memenuhi seluruh kehendak agama. Dukacita dinyatakan bahawa percubaan kami tidak berjaya. Tidak ada pilihan bagi kami selain dari mengumpulkan mereka dan menubuhkan Jamaat Islami. Hal ini berlaku pada tahun 1941 masihi. Faktor seperti inilah yang menyebabkan wujudnya pelbagai Jemaah Islamiyyah. Dan kenyataan seperti inilah memperkuatkan hujah bahawa kepelbagaian jamaah pada hari ini adalah merupakan satu keperluan semasa yang tidak dapat dielakkan.

Sikap sikap yang perlu ada dalam menanggapi hal ini.


  1. Semua kumpulan dakwah hendaklah menerima konsep kepelbagaian jamaah Islamiyyah dan mengiktiraf jemaah lain sebagai satu jemaah dan bekerjasama dalam membanteras golongan yang melakukan kerosakan.

  2. Menghormati di antara satu sama lain dan menjauhkan prasangka-prasangka buruk terhadap golongan yang lain. Apalagi menuduh mereka dengan tuduhan yang liar yang menggambarkan kecetakan ilmu orang yang menuduh.

    “Sangkaan yang baik itu adalah sebahagian daripada kesempurnaan ibadah”
    (Riwayat Abu Dawud)|

    “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu menjauhi kebanyakan sangkaan itu, kerana setengah sangkaan itu adalah berdosa”
    (Al Hujurat 49:12)

  3. Setiap jamaah hendaklah mengiktiraf kelebihan serta kebaikan jemaah yang lain dan menghargai sumbangannya walaupun sedikit. Sesungguhnya orang yang mempunyai kelebihan sahaja akan mengakui kelebihan yang lain.

  4. Membebaskan dari ashabiyah kepartian yang keterlaluan sehingga melahirkan kebencian dengan jemaah yang lain. Setiap kumpulan juga tidak seharusnya mendakwa bahawa kumpulannya lebih baik daripada yang lain dengan alasan mereka lebih lengkap, lebih tua dan lebih ramai jumlahnya.

    ”Janganlah kamu menganggap diri kamu lebih bersih, Allah lebih mengetahui siapakah di antara kamu yang lebih bertakwa.”
    (An Najm 53:32)

  5. Bekerjasama dalam hal hal yang disepakati dan bertolak ansur dalam hal2 yang diperselisihkan selagi terdapat keharusan ijtihad dalam masalah itu. Dalam konteks ini, Prof Dr Yusuf Al Qardawi menyebut “Kami mengetahui kaedah mahsyur ini yang telah dikemukakan oleh Syeikh Rasyid Rida dan diungkapkan oleh Hassan Al Banna iaitu, kita hendaklah bekerjasama dalam perkara perkara yang disepakati dan bertolak ansur dalam hal hal yang diperselisihkan.”
Bersatu dengan masing-msaing berusaha mengajak kepada Allah

Dipetik dari terjemahan kitab “Penyatuan Kerja Gerakan Islam;Di Antara Kenyataan Dan Harapan oleh Dr Muhammad Abu Al Fath Al Bayanuniy.

source : http://abuhumaira.blogspot.com/2006/10/penyatuan-kerja-gerakan-islam.html

~End Of Post~
Share

3 comments:

Zikir Din August 12, 2010 at 5:56 PM  

syukran akhi atas pengisian penuh jiwa atas hal jamaah dan dakwah.
harapnya dapat memurnikan gerak kerja dakwah di Malaysia ini.

fikree August 15, 2010 at 11:58 PM  

sama-sama kita berdoa semoga ditemukan dengan seorang pemimpin yang dapat menyatukan semua umat islam... saya berdoa supaya ianya terjadi di dalam hayat saya.

umairzulkefli August 16, 2010 at 7:35 AM  

Jangan sekadar berdoa wahai fikree..usaha ke arah penyatuan ummat itu perlu dan wajib ada.

Jangan susah-susahkan fikiran dengan membahaskan macam mana kita semua kena duduk dalam satu jemaah dan jemaah mana yang paling bagus. Cukup-cukuplah bertikam lidah.

Penyatuan yang sebenar-benarnya apabila semua mempunyai akidah dan kefahaman yang benar. Semua akan sama-sama bekerja mengajak manusia kepada Allah, mencintai-Nya dan memperjuangkan agama-Nya.

Ajarkan mereka menghormati jemaah-jemaah lain sambil sibuk dengan kerja sendiri; mengajar sesiapa sahaja orang yang dijumpai agar mencintai Allah.

Insya-Allah umat akan menyatu...

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP