Feb 7, 2012

Istimewa: Kehadiran Itu

Sunyi betul blog ini.
Sapu habuk sikit.
(^_^)
Kali ini nak cerita tentang orang baru.
Seorang yang telah hadir ke dunia.
Anak saya yang telah ditunggu-tunggu telah tiba!

Alhamdulillah

Saya tulis full story, siap gambar lagi.
(n_n)

Kehadiran Itu




31 Januari 2012

6:00am
Air ketuban pecah. Solat subuh dilaksanakan segera dan barangan dikemas seadanya. Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang menjadi tujuan. Pasangan tersebut berdebar menanti apa yang bakal dihadapi mereka. Di dalam hati doa tidak putus-putus dipanjatkan agar Allah mempermudah segala urusan.

9:30am
Si isteri dimasukkan ke dewan bersalin untuk pemeriksaan. Bukaan cuma 3cm, memerlukan masa untuk cukup 10cm bagi kelahiran normal. Si isteri kelihatan gelisah. Si suami membisikkan, "Jangan risau, yakinlah Allah ada percaturan-Nya. Semua yang diatur-Nya pasti punya hikmah." Si isteri cuma mengangguk.

11:00am
Si isteri dimasukkan ke wad pranatal, wad ibu-ibu menanti waktu melahirkan. Bukaannya tidak bertambah, menyebabkan dia perlu menanti di wad sehingga waktunya tiba. Waktu diberi selama 24 jam. Jika melebihi waktu, bayi perlu dilahirkan segera atau bayi akan lemas di dalam rahim. Kepada Allah jualah pengharapan diberikan. Nasihat-nasihat diberikan menguatkan semangat si isteri.

"Sayang, banyakkan baca Al-Quran ya. Biar anak kita mesra dengan Al-Quran. Kurangkan buat benda-benda lagho. Tak payah tengok drama TV tu." Pesan tetap diberi, walau dia tahu isterinya memang tidak minat menonton televisyen.

"Insya-Allah sayang."

1 Februari 2012

2:32am
Nombor telefon bimbit si isteri didail.

"Sayang, macam mana?"

"Dah mula rasa sakit." Suaranya sebak, lemah dan tersekat-sekat.

"Sabar ya sayang. Doa banyak-banyak. Saya pun doakan awak. Semoga Allah permudahkan urusan kita."

"Em, insya-Allah.." Suaranya masih lemah. Jiwa lelaki si suami sedikit terusik. Perlahan-lahan air mata lelakinya tumpah.

'Ya Allah, permudahkanlah urusan kami. Berikanlah yang terbaik buat kami. Selamatkanlah isteri dan bakal anakku Ya-Allah.'

Dan solat malam didirikan. Bacaan Al-Quran dialunkan buat kesekian kalinya.

6:00am
Si isteri dihantar ke wad bersalin. Bukaan cuma 4cm. Bayi perlu 'dipaksa' keluar. Si suami cuma boleh menghantar ke muka pintu. Peraturan hospital memisahkan mereka di sana.

"Tetap yakin pada Allah ya. Baca selawat dan berzikir banyak-banyak."

"Insya-Allah. Awak doakan saya ya. Saya masuk dulu. Saya minta maaf atas kesilapan saya selama ini. Minta halal makan minum." Matanya berkaca-kaca.

"Saya maafkan semuanya sayang. Saya halalkan semuanya. Kuatkan semangat ya."

Lalu tangan si suami dikucup si isteri. Dahi si isteri dikucup si suami. Kedua-duanya dilakukan dengan penuh penghayatan, seperti itulah kali terakhir mereka akan bertemu. Jururawat terus menolak si isteri masuk ke dalam dewan bersalin. Pintu lalu tertutup menghalang penglihatan. Pandangan menjadi samar, berkaca-kaca. Lalu takungan air mata tumpah entah untuk kali ke berapa.

11:00am
"Waris Atifah!"

Suara jururawat memanggil mengejutkan lamunannya. Dadanya berdebar-debar menanti khabar yang bakal didengari.
'Ya-Allah, selamatlah Ya-Allah, selamatlah!"

"Macam mana isteri saya?"

Dadanya semakin kencang degupannya.

"Dia sudah selamat melahirkan."

"Alhamdulillah, pukul berapa ya?"

"Sekejap saya tengok, 9:32am tadi encik."

"Lelaki ke perempuan?"

"Itu encik boleh tengok sendiri nanti."

"Boleh saya azankan dia?"

"Sudah tentu, tunggu di sini ya."

Hati si suami berbunga-bunga gembira. Syukur dan tahmid tidak henti-henti dipanjatkan kepada Ilahi. Kini cuma satu persoalan yang bermain di mindanya.

'Lelaki ke perempuan?'

"Encik, boleh masuk sekarang."

Perlahan-lahan kakinya melangkah. Melihat kepada satu susuk kecil yang berada di dalam bekas yang diperbuat daripada plastik lut cahaya. Berbalut dengan kain putih, hanya menampakkan bahagian kepala. Hatinya bagai disiram sesuatu yang sejuk melihat akan wajah itu. Wajah kecil yang telah lama ditungguinya.

Lalu kain balutan dibuka, lampin ditanggalkan.

'Lelaki!'

Lalu bayi itu digendong, azan dilantunkan di telinga kanan dan iqomah di telinga kiri. Azannya itu diusahakan supaya tidak menjadi ritual semata, tetapi dialunkan sepenuh hati dan penghayatan. Semoga kalimah tauhid dan seruan menegakkan solat itu mengakar umbi dalam sanubari serta minda bawah sedar si kecil itu. Perlahan-lahan kemudian anak itu diletakkan kembali di pembaringanya.

"Boleh saya jumpa isteri saya?"

"Maaf Encik Umair, Puan Atifah masih perlu rawatan dan berehat. Encik tidak boleh masuk ke dalam, jadi Encik Umair perlu tunggu sehingga dia keluar."

"Kalau begitu, baiklah. Terima kasih ya."

Sepanjang menanti di bangku di luar dewan bersalin, dia teringat akan sebuah kisah yang disampaikan oleh ibunya kepada dirinya.

23 tahun yang lalu (5 Februari 1989)

Suasana Hospital Toledo Ohio, Amerika Syarikat sibuk seperti biasa. Di satu sudut, seorang wanita sedang terbaring di atas katil. Tubuhnya dibaluti selimut hingga ke paras pinggang. Wajahnya kelihatan pucat namun tetap cuba tersenyum. Di sisinya seorang lelaki bermisai nipis dan berjambang yang berkaca mata. Di tangannya mengendong sesusuk tubuh kecil yang masih lagi merah. Anak sulung mereka yang ditunggu-tunggu.

"Apa nama anak kita ni ya?"

"Kita letak nama sahabat, macam mana?"

"Kalau begitu, kita beri nama Umair,"

"Umair?"

"Ingat nama sahabat nabi, Mus'ab bin Umair?"

"Dia mengorbankan kekayaan, harta dan kemahsyuran demi memeluk Islam."

"Bagus nama itu. Tapi itu Mus'ab, kenapa nama anak kita Umair?"

"Biar nanti anak dia diberi nama Mus'ab, barulah lahirnya Mus'ab bin Umair."

"Semoga zuriat kita menjadi pejuang-pejuang Islam yang akan membela agama Allah di akhir zaman ini."

"Em, semoga kembali kegemilangan para sahabat yang mulia itu, kan bang?"

"Insya-Allah."

Dan kedua pasangan itu tersenyum. Lalu pasangan Zulkefli bin Samat dan Nor Zailin binti Ismail menamakan anak sulung mereka dengan nama Umair bin Zulkefli.

'Doa Mama dan Abah dah terkabul nampaknya. Jadi nama anak aku ini...'

Sebuah SMS ditaip.
Alhamdulillah, seorang mujahid telah selamat dilahirkan.
Nama diberi Ahmad Mus'ab bin Ahmad Umair.
Doakan semoga Mus'ab bakal menjadi pejuang agama-Nya, sebagaimana Mus'ab bin Umair di zaman Rasulullah yang sanggup mengorbankan keindahan dunia demi cinta kepada Allah.

*****

Mus'ab, nanti sampai masanya kamu bacalah warkah ini ya.

Assalamu'alaikum WBT anakku, Ahmad Mus'ab bin Ahmad Umair. Semoga kamu akan menjadi pejuang Islam yang hebat. Pasti akan jadi. Akan Abi dan Ummi usahakan. Nama kamu seperti sahabat agung. Mus'ab bin Umair. Semoga dengan panggilan itu, menjadi sebuah doa agar kamu akan mencontohi kehebatan Mus'ab bin Umair.

Mus'ab bin Umair, asalnya tidak mengenal Allah. Hidupnya penuh kemewahan dan keindahan dunia. Minyak wanginya sahaja amat mahal, sehingga lalu sahaja beliau di pasar, semua orang tahu akan kehadirannya, kerana hanya dialah yang memakai wangian itu. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus’ab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Namun apabila Islam mengetuk pintu hatinya, segala kesenangan dan kemewahan itu ditinggalkannya. Apabila keislamannya diketahui, ibu dan ayahnya telah mengurung dan menyeksa Mus’ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat sementara.

Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus’ab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Mus’ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya.

Anakku, kau tahu apa jawapn Mus'ab atas sumpah ibunya itu? Dengarlah jawapan Mus’ab kepada ibunya:
“Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.”

Mus'ab anakku, teguhkanlah pendirianmu sepertinya!

Mus'ab meninggalkan kemewahan, dan meneruskan kehidupan dengan menjual kayu api. Mus'ab tidak pernah terfikir untuk berganjak daripada keyakinannya. Sehingga adiknya, Ar-Rum yang sering diutus oleh ibunya untuk memujuknya kembali kepada agama nenek moyang mereka, turut mengikuti jejak langkah Mus'ab.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Mus’ab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping lantaran penyiksaan Quraisy ke atasnya. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat:,

“Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah ditengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya”.

Dan anakku, Mus'ab telah syahid di medan Uhud. ketika peperangan Uhud, Mus’ab ditugaskan memegang panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Mus’ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan Rasul.

Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Mus’ab dan menetak tangan kanannya yang memegang bendera Islam. Mus’ab menyambut bendera itu dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai syuhada’ Uhud.

Ar-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan bendera tersebut daripada jatuh ke bumi. Ar- Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus’ab. Ar-Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur:

“Apabila ditarik kainnya ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.”

Anakku, Mus'ab telah ada sejarahnya. Kini tiba masanya engkau mencoret sejarahmu. Semoga Allah mengizinkan kita mengembalikan kegemilangan Islam, bersama-sama dengan ikhwah-ikhwah seperjuangan yang sama-sama bertungkus-lumus mengusahakannya.

-Abu Mus'ab-
umairzulkefli
10:49am
07022012
Baiti Jannati

Sedikit gambar-gambar Ahmad Mus'ab bin Ahmad Umair untuk tatapan:

  


~End Of Post~
Share

18 comments:

wan syafiq February 7, 2012 at 11:51 AM  

semoga menjadi ibu bapa yang soleh, anak2 pn soleh juga.. :)

sea_lavender February 7, 2012 at 12:40 PM  

Alhamdulillah.. semoga dapat tunaikan tanggungjwab sbgai ibu bapa yg dpt mendidik ank menjadi soleh dn solehah ..Insya-Allah..

Walid Hafizul February 7, 2012 at 1:32 PM  

tahniah akhi...semoga jadi mujahid yang membantu tugas abinya menyebarkan cinta Allah di atas muka bumi =]

Fakhrullah Bin Mawardi February 7, 2012 at 2:29 PM  

salam ya akhil kareem..tahniah atas nikmat cahaya mata yg dikurniakan Allah..smga niat murni mewariskan pejuang Islam akan tercapai..

Hazwan February 7, 2012 at 2:55 PM  

bile la pakcik ada can nk dukung si mus'ab ni. Tahniah Umair~

Nurul Shazwani February 7, 2012 at 8:04 PM  

semoga anak ini menjadi pejuang dalam menegakkan agama Islam suatu hari nanti .ameen

freshie February 8, 2012 at 12:57 AM  

hehe. bojeng Mus'ab bin Umair.

Barakallahulakuma. Smoga Atifah sihat2 hendaknya :)

Amin Baek February 8, 2012 at 11:02 AM  

mabruk bro..
congratulation..
tahniah..

insyaallah bakal menjadi kader dakwah yg hebat..amin~

camarputih February 8, 2012 at 1:01 PM  

tahniah.. barakallahulakuma.. moga Rahmat Allah sentiasa bersama antum sekeluarga.

atiqa February 8, 2012 at 6:59 PM  

Alhamdulillah...
s'orang lg mujahid Islam lahir. (^^)

umairzulkefli February 10, 2012 at 7:43 AM  

Jazakumullah Khair kepada semua yang meninggalkan komen.
Doakan semoga kami sekeluarga terus dinaungi taufiq dan hidayah drpd Allah SWT.

qilat February 10, 2012 at 10:02 PM  

tahniah ya akhi..yg lg bes sme tarikh lahir ngn ana =) semoga selamat dunia akhirat =)

Anonymous,  February 20, 2012 at 3:03 PM  

tahniah, ikut muka sapa nhe...

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP