Oct 3, 2012

Cerpen: Tiada Henti

“Akhi, boleh tak kalau kita berhenti daripada ikut halaqoh sekejap?”

Darah saya menyirap.

‘Dia nak keluar halaqoh ke?’


Macam tidak percaya

Saya menyangka perjalanan hari ini cukup dengan masalah menguruskan penyelesaian borang ‘Submission of Progress Report’ dan ‘Submision for Symposium’ untuk evaluasi master saya sahaja. Setiap semester pelajar pascasiswazah di UTP akan dievaluasi melalui sesi simposium. Simposium adalah suatu sesi di mana seluruh perkembangan sepanjang semester akan dibentangkan dan dievaluasi oleh dua orang, seorang pensyarah sebagai pemeriksa dan seorang lagi adalah penyelia pelajar pascasiswazah tersebut.


Rupanya Allah SWT berkehendak supaya saya memikirkan sesuatu perkara yang lebih besar pada tengah hari ini.

“Biar betul dia cakap macam itu?”

“Betullah, dia tanya pada ana dalam dua hari lepas.”

Berhenti daripada halaqoh. Buat seketika? Itu bermaksud tidak hadir ke halaqoh. Dan ketika tidak hadir, saat itu seseorang tidak diperingatkan dengan ayat-ayat Al-Quran mahupun hadis yang kembali menyuburkan keinginan kita untuk terus beriman. Untuk terus dekat dengan Allah SWT.

“Jadi, apa yang antum jawab?”

“Ana tanya dia semula, kenapa dia cakap macam itu?”

“Dia rasa berat?” Saya menduga.

Dan ikhwah yang seorang ini mengangguk. Dan saya kembali memuhasabah. Nampaknya saya perlu lebih mengenali mad’u-mad’u saya. Mungkin saya masih belum cukup memberi pemahaman kepadanya tentang bagaimana kita perlu menyikapi perjalanan dakwah ini.


“Mungkin antum terlalu cepat memberi beban kepadanya? Sekarang dia sudah mula menguruskan beberapa lajnah.”

“Wallahua’lam akh. Ana perlu lebih bermuhasabah. Kita Cuma mahukan yang terbaik daripada ikhwah-ikhwah yang kita tarbiyah. Pertimbangan kita, jika dia diberi tugasan-tugasan yang ringan seperti itu, mula dilibatkan dalam gerak kerja dakwah, dia akan semakin merasa memiliki dan merasakan kebersamaannya dengan dakwah ini.”

“Ya, mungkin ringan dalam pandangan kita, tapi belum tentu ringan dalam pandangan dia. Fiqh dakwah itukan salah satunya bertahap dalam memberi beban. Tapi, bukan semua orang sama. Lain orang, lain kemampuannya.”

“Betul. Jadi, apa yang antum sampaikan kepadanya?”

“Ana cuma kata, jalan dakwah ini memang penuh cabaran. Macam expedisi mendaki gunung. Mula-mula ramai-ramai seronok hendak mendaki. Semua tidak sabar-sabar. Segala beg dan peralatan lain tidak terasa beratnya. Bila mula mendaki, badan akan menjadi semakin letih, stamina pun semakin berkurang. Beban yang dipikul tadi sudah semakin terasa beratnya. Semua akan mula tertanya-tanya, bila kita akan sampai di puncak? Jauh lagikah? Di saat ini akan semakin ramai orang yang merasakan dirinya tidak mampu dan ramai yang tidak mahu meneruskan perjalanan. Hanya orang yang sabar sahaja akan mampu bertahan.”

“Macam pernah dengar sahaja perumpamaan ini?” Saya senyum senget.

“Memanglah, antum yang cerita dalam halaqoh dulu.” Dia kembali membalas senyuman.

“Jadi, dia faham?”

“Insya-Allah. Ana ingatkan dia supaya dekatkan diri dengan Allah. Bila ingat Allah, hati tenang. Ana beri surah Ar-Ra’du ayat 28.”

“Bagus. Harapnya dia stabil sekarang. Insya-Allah ana akan cuba berikan pemahaman dalam halaqoh minggu ini. Tolong doakan ya akh.”

“Insya-Allah. Cuma akh, ana tengok fenomena ini bukan hanya berlaku kepada orang yang baru-baru ikut dakwah.”

“Maksud antum?”

“Baru-baru inikan ada seorang akhwat minta berehat daripada dakwah. Dengarnya sebelum kejadian, dia memang bersemangat dalam gerak kerja dakwahnya.”

“Oh, cerita itu? Terbaru, dia meminta untuk berehat lebih lama. Dulunya niat hendak berehat seketika untuk menajamkan kapak. Supaya bila kapak dah tajam, boleh menebang pokok dengan lebih mudah, bekerja dengan lebih baik. Tapi ana nampak itu silap.”


“Silap?”

“Kalau memang kita merasakan dakwah yang kita buat ini berat, itu memang wajar. Terasa kita seolah-olah tidak tahu bagaimana mahu memikul kerja-kerja dakwah yang diamanahkan kepada kita ini. Namun, penyelesaiannya bukan dengan menyindiri tidak datang halaqoh dan tidak berdakwah. ‘An idle mind is the devil’s workshop.’

“Dah keluar proverb pula ikhwah master kita ini. “ Nadanya mengusik. Saya hanya tersengih.

"Apabila kita tidak menyibukkan akal fikiran kita dengan kebaikan, ia pasti akan disibukkan oleh syaitan untuk memikirkan apa sahaja alasan supaya kita selepas ini tidak lagi bersama dengan dakwah. Syaitan akan kata,

‘Lebih baik kau fokus belajar. Pencapaian yang cemerlang juga dakwah.’

‘Sebagai pelajar, tanggungjawab utama kau adalah belajar dan cemerlang dalam pelajaran. Kalau tidak akan jadi fitnah. Tercemar nama Islam.’

“Dan macam-macam lagi. Semuanya terdengar seperti alasan yang munasabah, tetapi natijahnya tetap buruk.”

“Jadi, antum hendak katakan yang perumpamaan menajamkan kapak itu tidak boleh dipakailah?”

“Perumpamaan itu betul, cuma si akhwat ini salah dalam mengaplikasikannya.”


“Maksud antum?” si ikhwah bertanya dengan wajah berkerut.

“Si penebang pokok itu berhenti sebentar untuk menajamkan kapak. Bukannya dia berhenti menebang pokok. Ketika berhenti, dia masih ‘bekerja’. Kerjanya adalah menajamkan kapak. Supaya momentumnya untuk menebang pokok selepas ini akan semakin besar.”

Saya menghela nafas. Dia kelihatan menanti-nanti kata-kata saya yang seterusnya.

“Untuk kes tadi, sepatutnya dia berbincang dengan murobbiyah, kongsikan apa yang sebenarnya dia alami dan cuba mencari penyelesaian bersama-sama. Bukan terus membuat keputusan, meminta untuk berehat. Masalah merasa berat dan terbeban ini, bukan kita sahaja yang hadapi. Bahkan Rasulullah SAW dan para sahabatnya juga mengalami. Ujian mereka jauh lebih dahsyat. Sehingga Allah menukilkan penyataan mereka,

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu cubaan sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:214]

“Tetapi mereka mengambil langkah yang benar. Mereka menajamkan 'kapak' mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah. Mencari Allah. Dengan Allah di sisi, tiada apa yang berat. Bilal sanggup disiksa sehingga hampir mati. Khabbab bin Arrat sanggup diseret di atas bara api. Kerana mereka ada Allah. Mereka yakin yang pertolongan Allah itu dekat. Mereka yakin yang mereka bukan hanya hidup di dunia. Mereka yakin, tempat berehat itu adalah di syurga kelak.”

“Betul. Antum betul. Doakan ana juga agar ana tetap kekal di atas jalan ini akh. Ana pun kena banyak memuhasabah diri.”

“Sama-samalah kita mendoakan. Ana yang lebih tua ini, tentu lebih perlu bermuhasabah.”

Dakwah dan tarbiyah.
Sama ada kita berjaya melihat puncaknya, atau kita mati dalam perjalanan menujunya.
Dan tiada kata henti sebelum menemui salah satu daripada keduanya.
Baik seketika apatah lagi untuk selamanya.


~End Of Post~
Share

5 comments:

ZULAN October 3, 2012 at 5:29 PM  

pengalaman biasa ikhwah yg qta x mau anak hlqh qta alami sbnrnya, nmun Allah nak gak uji qta, nak x nak kne setelkan gak.. good timing post ^^

Mohamad Khir Bin Johari October 5, 2012 at 4:18 AM  

kalau dah cinta... lautan api pun sanggup diredahi... haha..

tapi bila dah hilang cinta.. tak de laut pun, tetap tak nak redah juga..

UmmU naWWar October 12, 2012 at 12:13 PM  

Benar, dakwah benar2 menguji kesabaran, kecekalan, kesungguhan kita dalam mengharunginya. Sampai pada satu tahap, kita merasa sangat letih, penat, lelah dan akhirnya berputus asa dengan hasil dakwah yang kita usahakan. Dan keputusan yang paling tepat adalah MENYENDIRI,LARI, KELUAR, BEREHAT UTK SEKEJAP atau SELAMANYA..

Sebenarnya, bagi ana. Ada istilah berehat dari dakwah. Mengumpulkan kekuatan, menajamkan kapak. Iaitu dengan MENYENDIRI bersama pencipta kita.. Memperbanyakkan tilawah kita, Memperhebatkan kualiti tahajud kita.. Menitiskan air mata kelesuan, kepenatan, kelelahan dihadapan Pencipta kita yang Maha Mengetahui segala isi hati kita, yang amat mengetahui kesulitan kita, dan yang paling penting sumber kekuatan kita sebagai seorang DAIE.

Kurangnya kebergantungan kita kepada Allah di kala kerja dakwah mula terbeban adalah simpton2 kecairan DAIE.

Wallahu'alam.. Pengalaman seorang daie yang "tak kan surut walau selangkah, tak henti walau sejenak" walaupun godaan syaitan itu terus-terusan menggoda tanpa jemu!!

gelombang_iman November 1, 2012 at 10:00 AM  

tiada istilah rehat dalam kerja dakwah...kerana kerehatan kita apabila di syurga kelak, InsyaAllah, amien... teringat kata Dr Najih Ibrahim dlm bukunya "tausiyah utk aktivis Islam". katanya ...

Katakan kpd jiwa anda, "anda sudah melangkah sedemikian jauh diperjalanan menuju Allah dan perjalanan tidak lama lagi akan berakhir.
Jiwaku, jgn sia2kn amal shalihmu dimasa lalu, tidak tidur bermalam2 n berhari2 dan lelah bertahun2, hanya dlm tempoh sesaat dgn gegabah. sabar itu sebentar. kerana itu, Bersabrlah! Cubaan itu laksana tamu. Biasanya tamu itu tidak lama berada dirumah yg dikunjunginya. betapa indah pujian dan sanjungan kpd tuan rumah yg dermawan. Wahai kaki yang sabr, teruslah beramal! Tidak lama lagi pekerjaan akan selesai."
wallahualam

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP