Jun 3, 2015

Cerpen: Tahajjud

Di dalam sebuah bilik, kelihatan dua lembaga sedang berada di atas lantai. Tubuh mereka tidak bergerak-gerak. Hanya bunyi kipas siling yang ligat berputar kedengaran. Jam menunjukkan pukul 5:15 pagi.

Dua lembaga tersebut masih kekal tiada reaksi. Mereka berada dalam posisi yang sukar dilakukan oleh kebanyakan orang kebanyakan pada waktu-waktu begini. Bersujud. Merendahkan diri menghadap Rabb, Allah Al-Kholiq. Yang Maha Menciptakan segala-galanya. Merasakan diri mereka begitu hina di hadapan-Nya. Merasakan diri mereka tidak layak untuk mendapatkan syurga-Nya. Sekali-sekala terdengar suara esakan tangis daripada dua lembaga tersebut.

“Assalamu’alaikum Warahmatullah…” lembaga yang di hadapan memberikan salam mengakhiri solat qiamullail mereka.

Lembaga di belakang turut memberi salam.

“Sayang, dah lama kita tak tahajjud sama-sama, kan?” lembaga yang di belakang bersuara.




“Yalah, sebab awak selalu tak bangun bila saya kejut,” ujar lembaga yang di hadapan.

“Eh, tolong sikit. Siapa yang selalu kejut siapa?” Sambil mencari lengan untuk dicubit.

“Eip, jangan! Batal wudhuk nanti.”

“Bila pula awak tukar mazhab? Bukankah awak pegang pendapat tak batal wudhuk bila sentuh isteri?”

“Masalahnya isteri saya ini, susah nak sentuh dia tapi tak batal wudhuk! Cantik sangat!”

“Ish! Banyaklah songeh awak!” Cubitan dilancarkan juga.

Azan subuhpun berkumandang. Jiwa-jiwa yang masih menyedari bahawa diri mereka adalah hamba kepada Allah SWT dengan bersegera bangkit dan menggerakkan otot-otot ke masjid. Bagi yang merasakan diri mereka merupakan hamba kepada hawa nafsu, akan memberikan seribu satu alasan untuk meneruskan lena mereka.

Qiamullail dan tahajjud? Jauh panggang dari api.

*****

Imam selesai memberi salam rakaat akhir. Bergema ruangan solat di surau taman perumahan tersebut dengan zikir-zikir daripada ahli jemaah. Yang hairannya, bilangan jemaah cuma 6 orang. Bagaimana boleh bergema ruangan tersebut? Rupanya hanya suara si imam yang kuat, hasil daripada bunyi daripada pembesar suara.

Beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi motor-motor menghampiri surau. Beberapa orang pemuda melangkah masuk ke dalam surau. Satu, dua, tiga, empat orang. Melihatkan jemaah sudah selesai solat, mereka berpandangan sesama sendiri. Seorang daripada mereka ditolak kehadapan. Imam paksaan? Mungkin paksa rela.

Lelaki yang ketika di rumah tadi dicubit oleh isterinya itu kelihatan sedang bersandar di dinding. Rambutnya masih basah kesan wudhuk. Mungkin cubitan isterinya itu memang benar-benar membatalkan wudhuknya, sehingga dia terpaksa mengambil wudhuk sekali lagi sebelum solat subuh. Mungkin. Atau mungkin dia sengaja memperbaharui wudhuknya. Entah, Allah yang Maha Tahu akan niatnya. Namun itu bukan yang ingin diceritakan di sini.

Lelaki tadi kelihatan seperti menunggu jemaah para pemuda yang terlewat tadi selesai solat. Bukan kelihatan, dia memang menunggu. Dan akhirnya mereka selesai.

“Sempat tahajjud tadi?” Soalnya.

Tiada jawapan. Mereka cuma berpura-pura tidak tersengih. Namun tetap tersengih-sengih bak kerang busuk. Seorang daripada mereka kelihatan tertunduk.

“Ini sudah kali ke berapa minggu ini?” Soalnya lagi.

“Baru sekali,” ujar salah seorang daripada mereka. Masih cuba menahan sengihan. Namun sekali lagi kerang busuk masih berbau.


“2 kali agaknya,” ujar dua orang lagi serentak. Kemudian mereka berpandangan sesama sendiri. Sukar ditafsirkan apa yang difikirkan mereka. Mungkin terkejut, mungkin kecewa, mungkin...

Namun seorang lagi tidakpun bersuara. Masih menunduk.

“Alhamdulillah, masih datang subuh berjemaah. Tetapi, lebih baik kalau dapat qiamullail. Pastikan esok tak berulang ya.”

Tidak lama kemudian lampu surau dipadamkan. Semua suis yang ada dimatikan. Lalu mereka semua bergerak meninggalkan surau.

“Isteri aku di rumah itu mesti sedang tilawah. Ini tak boleh dibiarkan. Tidak boleh dibiarkan dia seorang sahaja dapat pahala. Aku pun nak tilawah juga!”

Ayat di atas cuma dalam hatinya. Kalau disebut secara jahar, dikhuatiri dikatakan gila oleh pemuda-pemuda yang terlewat tadi. Kerana bercakap seorang diri adalah ciri-ciri orang gila.

Sebelum sempat menghidupkan enjin motornya,pemuda yang tertunduk tadi menghampirinya.

“Kau ada masa? Boleh kita bincang sekejap?”

“Kenapa? Nak kahwin?” Suaranya sengaja ditinggikan. Hendak yang lain mendengar.

“Kalau dengan engkau, memang tak ada cerita lain. Tahulah kau dah kahwin.” Suaranya juga ditinggikan. Sengaja hendak buat drama di hadapan yang lain.

“Siapa suruh tidak kahwin?”

“Mak aku.”

Suara tawa berderai di perkarangan surau. Semua yang ada di sana tertawa.

“Apa ceritanya?” Ujar si pemuda yang sudah bernikah separuh berbisik. Dia tidak sabar hendak pulang. Dalam hati hanya terfikir mahu tilawah. Tidak mahu kalah kepada isterinya.

“Boleh aku pergi rumah kau? Kita bincang di sana? Aku nak bicara dengan kau sahaja.”

Dia terdiam. Kemudian mengangguk.

Lalu semua mereka meninggalkan perkarangan surau.

*****

“Aku dah 3 kali terlepas tahajjud. Aku rasa bersalah pada diri sendiri. Aku rasa aku dah tak layak nak berdakwah. Macam mana nak ajak orang lain kepada Allah kalau diri sendiri tidak dekat dengan Allah?

“Aku tak tahu kenapa jadi seperti ini. Sebenarnya aku sudah bangun. Kemudian aku baring semula. Aku rasa Allah sengaja melemahkan keinginan aku. Sebab aku ada buat dosa agaknya.

“Aku rasa lemah. Aku rasa aku tidak kuat untuk ajak orang untuk ditarbiyah. Target kita semua cari 8 orang. Aku baru dapat seorang. Aku rasa aku tidak mampu.”

Suasana hening seketika. Dia cuma membiarkan saudara seimannya itu meluahkan perasaan.

“Aku nak tanya satu soalan. Katalah kau berada dalam minggu peperiksaan akhir. Kau ada empat subjek untuk diduduki. Setelah menduduki subjek pertama, ternyata kau tidak mampu menjawab dengan baik. Kemungkinan untuk gagalpun ada. Dalam keadaan macam ini, apa yang engkau hendak lakukan?”

“Aku akan fokus kepada tiga subjek lagi. Pastikan jawab baik-baik supaya dapat seimbangkan markah yang hilang tadi.”

“Kenapa kau tidak rasa lemah je? Rasa yang engkau tidak layak untuk menjawab subjek-subjek lain?”

“Hai, nanti lagi rendahlah markah aku. Boleh gagal terus, kena tarik biasiswa nanti.”

“Hah, reti pula otak kau berfikir. Untuk ibadah inipun samalah. Sebagai da’i, sangat penting untuk kita menjaga ibadah-ibadah sunat ini. Sebab itu merupakan kekuatan dalaman kita untuk berdakwah. Bahkan kalau kata-kata Fathi Yakan, memang wajib untuk kita jaga. Sebab kalau kita tidak jaga ibadah seperti qiamullail ini, ummah akan lebih cenderung untuk melakukan kemaksiatan yang lebih besar.

“Namun, terlepas peluang untuk berqiamullail, itu bukan bermakna kita tidak layak untuk berdakwah dan menggerakkan kerja-kerja mencari orang untuk ditarbiyah. Kerana berdakwah itu hukumnya juga wajib. Perintah untuk berdakwah terlampau banyak ditulis dalam Al-Quran. Bila kau tinggalkan, apapun alasannya, kau akan berdosa. Kerana berdakwah itu wajib dilakukan.”

Suasana hening sekali lagi.

“Rasa bersalah apabila terlepas tahajjud itu wajar. Namun melayan perasaan bersalah itu adalah sangat-sangat salah. Itu tandanya kita telah ditipu oleh syaitan. Bayangkan, kita sudah dapat dosa kerana meninggalkan satu perintah dalam Al-Quran, tiba-tiba kita rasa kita tak layak untuk melakukan kewajiban yang lain, sehingga mendapat dosa lagi. Tak pasal-pasal dapat dua dosa. Dosa tak bangun tahajjud dan dosa tak berdakwah.’

Kelihatannya dia tidak tunduk lagi. Sangat benar kata-kata saudaranya itu.


“Jadi, apa yang aku kena buat?”

“Pergi universiti, naik tingkat paling tinggi.”

“Hah? Nak buat apa?”

“Lepas itu terjun ke bawah. Bunuh diri.”

“Woi, betul-betullah! Orang minta nasihat, dia main-main pula.”

Akhirnya suasana hening dan beremosi kembali ceria. Lagipun tengok lelaki muka mencuka, lebih baik tengok monyet yang sedang sembelit. Eh, apa kaitan?

“Sekarang ini, buat macam yang kau cakap dalam analogi tadi. Pastikan ibadah-ibadah seterusnya kau buat dengan lebih baik. Barulah namanya menutupi kelemahan dengan kebaikan. Barulah jadi seperti yang Allah SWT firmankan:

Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.
[Q.S. Huud, 11:114]

Dalam Hadis Arba’in pun ada mesej yang sama.

“…Iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut..”
[H.R. At-Tirmizi]

“Kalau satu hari tertinggal tahajjud, dendalah diri kau untuk baca 1 juz Al-Quran. Buat solat taubat. Qada solat tahajjud yang tertinggal itu.”

Dia tidak lagi menunduk. Kini dia tersenyum. Lega dengan nasihat saudaranya itu. Rasulullah bersabda,

“Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, sebagian menguatkan sebagian yang lain.”
[H.R. Muslim]

“Okay, terima kasih banyak. Insya-Allah aku akan ingat nasihat kau.”

Lalu mereka berpelukan.

“Sebelum kau pergi, aku nak beritahu bahawa sesi ini berbayar.”

“Pergh, dah macam ustaz bayaran! Hah, berapa?”

“RM100 sejam. Sebab kau kawan, aku bagi diskaun, RM50.”

“Okay, aku bayar di syurga nanti.”

Lalu tawa mereka berderai.

*****

Cerita belum habis kawan-kawan….

Lalu lelaki tadi masuk ke rumahnya. Kelihatan isterinya masih bertelekung. Menunggunya di hadapan pintu sambil tersenyum.

“Saya dah kalahkan awak. Saya dah dapat 1 juz pagi ini,” dengan nada separuh mengejek sambil menayangkan Al-Quran terjemahan di hadapannya.

“Eleh, saya tak kalah. Saya rasa saya yang menang.”

“Pasal apa pula?”

“Tengok Surah Fushilat, surah ke-41, ayat ke-33.”

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"

“Tadi saya berdakwah. Menyeru kepada Allah. Awak tilawah seorang-seorang. Siapa lebih baik?” Sambil mengangkat kening dua kali.

“Yelah sayang, kalau bab dalil memang awak menanglah.”

“Yes!” Sambil mengepal kedua penumbuknya dan duduk mencangkung.

“Eh, lebih-lebih pula.” Jemarinya mencari sasaran untuk mencubit.

“Eip, jangan! Batal wudhuk saya!”

Pengajaran: 

Tahajjud merupakan kekuatan seorang da'i. Tetapi isteri yang solehah juga merupakan kekuatan kepada seorang da'i. (^_^)v

Kepada sesiapa yang cemburu, sila cepat nikah.




~End Of Post~
Share

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP