Apr 6, 2011

Luahan : Sebuah Transisi

"Akhi, antum memang tak akan update blog ke?"

"Bukan tak nak update, tak sempat."

Alasan diberi, yang sebenarnya bukan suatu yang konkrit. Tidak sempat cuma sebuah gejala, bukan punca. Puncanya?

"Kenapa tak sempat?" Si ikhwah bertanya lagi.

Saya cuma mendiamkan diri. Mencari kata yang tepat untuk membalas.

"Ana risau bakat antum menulis akan hilang nanti. Pembaca-pembaca setia blog antum mesti tertunggu-tunggu."

Sudah lama saya memikirkannya. Pertamanya, mohon maaf atas penyepian saya sekian lama. Blog dibiarkan berhabuk tanpa berita. Pembaca yang setia terus ternanti lagi tertanya-tanya. Apakah umairzulkefli benar-benar berhenti berkarya?


Saya menghadapi dilema yang tidak pernah saya hadapi sebelum ini. Saya sedang mengadaptasi sebuah fasa transisi.


Transisi

Transisi adalah peralihan daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan yang baru. Kalau membahas dari sudut kimianya, fasa peralihan adalah keadaan yang memakan banyak tenaga pengaktifan. Kerana proses yang dijalankan bakal mengubah secara total fasa asalnya. Dan ia memerlukan masa untuk kembali stabil.

Mungkin itulah yag saya sedang hadapi. Saya masih belum berjaya mengadaptasi proses peralihan ini dengan baik. Kuliah, dakwah dan nikah dengan serentak ternyata bukan suatu yang mudah bagi saya. Kalau dahulu saya cuma perlu berdakwah memikirkan kuliah saya, kini saya perlu menggandakan kedua-dua beban itu menjadi dua. Sungguh, ia bukan suatu yang mudah bagi saya.


Lagi-lagi dengan kesibukan tahun akhir sebagai pelajar Kejuruteraan Kimia, yang memerlukan kepada banyak kerja berkumpulan. Sehingga saya sering kesuntukan masa. Banyak perkara yang terlepas pandang. Assignment dan Tutorial yang tidak tersiapkan. Mutaba'ah Al-Quran yang tidak sehebat dahulu. Masa untuk menziarahi mad'u yang tidak sekerap dahulu. Dan yang paling jelas pada anda semua, blog yang tidak diupdate sekian lama.

Bukan Alasan

Namun itu bukan alasan. Pernikahan telah membuka mata saya kepada realiti. Bahawa kekuatan itu memang perlu dibina. Saya meyakini bahawa pernikahan ini akan menguatkan saya. Dan memang telah terbukti di beberapa sisi, saya makin teguh menjaga diri. Pandangan yang mudah ditundukkan. Badai dan gelora jiwa yang telah ditenangkan. Cuma masih ada sisi yang masih boleh diperbaiki. Iaitu sudut perancangan dan penggunaan kesempatan.

Kesempatan itu tidak mungkin muncul jika terus ditunggu. Ia hanya akan muncul apabila kita mencarinya. Begitulah konsep kesibukan manusia. Kita akan terus memberi alasan sibuk jika kita tidak pernah cuba melapangkan masa. Kita tak akan pernah disapa hidayah Allah jika kita tidak pernah berusha mencarinya. Apatah lagi tidak pernah teringin untuk menggapainya.

Kesimpulan : Saya Akan Kembali

Insya-Allah blog saya akan kembali diupdate seperti biasa. Mutabaah saya akan kembali mantap seperti dahulu kala. Ketegasan dan keseriusan dalam menyeimbangkan dakwah dan study akan kembali mendominasi jiwa. Mencetak kader-kader dakwah akan terus menjadi tumpuan. Dan redha Allah serta cintaNya akan dipastikan menjadi objektif tertinggi.

Doakan saya akan mampu memperbaiki semua kekuarangan yang muncul. Saya yakin saya akan mampu mengharunginya. Kerana saya tidak akan mengharunginya bersendirian. Saya sudah punya teman hidup yang akan sentiasa di sisi untuk menguatkan. Saya masih punya ikhwah-ikhwah yang sangat mengambil berat tanpa pernah surut. Tidak dilupakan juga,doa tulus daripada kalian semua. Insya-Allah saya dan zaujah tercinta akan terus kuat memberi sebanyak-banyaknya buat umat.

-060411-
fi baiti jannati
Ma'a Zaujati El-Mahbubah


~End Of Post~
Share

5 comments:

Unknown April 6, 2011 at 1:50 PM  

utamakan yang lebih penting..
yakinlah dengan apa yang berlaku ada hikmahnya...

yakin dengan Allah,
insyaallah Dia sebaik-baik perancang~~~

Anonymous,  April 6, 2011 at 5:58 PM  

syukran krn shoutulikhwah akan kmbali...
tp,,yg plg pntg,,, utamakan yg aulawiyat...

fArhAnA April 6, 2011 at 8:49 PM  

manusia terkadang pasti futur seketika. tapi bila futur, jgn biarkan ia lama2. kerna ramai yang memerlukan kita di luar sana. terus tsabat akhi. moga Allah bantu kita semua insyaallah :)

Abu Faruq Al-Iskandari April 7, 2011 at 2:22 AM  

selamat menulis ya akhi, ana dan zaujah juga sedang menunggu tulisan2 antum untuk kami baca anak beranak, hehe..(kalau faruq dah boleh membaca nanti, ana suruh dia buka blog antum)

Hadi Muslim April 7, 2011 at 4:22 PM  

salam...lama juga blog antum senyap..bila baca nukilan ini..ana rasa kembali mengukir senyuman kerana ana akan dapat mengetahui perkembangan dakwah antum secara praktikal di blog ni..biasalah akhi ana pun kadang2 macam antum juga..usaha menhadapi tanggungjwab kena gandakan lagi..stdy+da'wah+zaujah...dan 1 lagi zaujah ana mengandungkan anak pertama kami..moga ana n Zaujah terus kuat di jalan Da'wah ini..mohon doanya..

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP