Sep 7, 2011

Perkongsian : Getaran Itu

Getaran
Suatu fenomena yang berlaku apabila sesuatu objek atau jasad bergerak secara berulang-ulang.
Semua objek sebenarnya bergetar, Cuma kita menyedarinya atau tidak.
Namun apa yang ingin saya kongsikan ini bukanlah sebarang getaran fizikal.
Getaran yang lain dari yang lain.
Getaran Jiwa.


Biasa dengar?
Mungkin ramai yang teringatkan lagu dendangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Percaya ataupun tidak, sebenarnya kita semua pernah mengalami getaran jiwa. Secara umumnya, jiwa boleh bergetar dalam dua keadaan. Apakah dua keadaan itu? Mari sama-sama kita baca kisahnya.

*****

Kisah 1

Seorang pelajar lelaki bernama Hamidi. Dia pelajar tingkatan 5. Apa yang menariknya dengan Hamidi? Tiada apa-apa, cuma dia telah jatuh cinta dengan seseorang. Perempuan cantik di kelas sebelah. Hartini namanya.

Setiap pagi, Hamidi akan melintasi kelas Hartini untuk sampai ke kelasnya. Setiap kali hendak melintasi kelas Hartini, Hamidi pasti akan berdebar-debar.

‘Hartini ada dalam kelas ke? Macam mana kalau aku terserempak dengan dia?’

Apabila melintasi kelas Hartini, dan Hartini berada di dalamnya, Hamidi akan berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku. Namun hatinya berbunga-bungan. Melangkah terasa ringan. Setiap tapakan kaki dihayati dan dijaga agar kelihatan segak dan tampan. Apa orang kampung kata, Control Macho.

Setiap kali nama Hartini disebutkan, jantungnya akan berdegup kencang. Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari terjumpalah akan Hamidi akan bukunya si Hartini. Terjatuh di atas lantai. Berdebar sungguh hatinya melihatkan buku tersebut. Lalu dikutipnya buku tersebut dan dibawa ke kelas hartini. Dilihatnya Hartini tiada di dalam kelas. Dia bertanya kepada Jamal, pelajar di meja hadapan.

“Hartini ada?” Nadanya tenang, tetapi hatinya cukup tidak keruan. Jantungnya berdegup tidak menentu. Menyebut nama Hartini sahaja sudah sangat menggetarkan jiwa.

Belum sempat Jamal menjawab, tiba-tiba terdengar suara halus dari belakang Hamidi menyapa,
“Cari sayakah?”

Hamidi terkejut. Terkejut yang amat sangat. Bagaikan direnjat elektrik. Jantungnya bagaikan berhenti berdegup. Perlahan-lahan badannya dipalingkan. Dan terlihatlah Hartini sedang berdiri di belakangnya dengan wajah yang tersenyum ayu.

“Er..ya. Saya terjumpa buku awak di atas lantai di kaki lima.” Sambil menghulurkan buku tersebut kepada Hartini.

“Oh, terima kasih Hamidi.” Hartini tersenyum dengan lebih manis. Hamidi terasa bagaikan berada di awing-awangan. Di dalam benaknya terbayangkankan satu perkataan.

Bidadari


Kisah 2

Kisah Hamidi juga.

Tengah hari yang panas. Hamidi memlilih untuk tidak turun ke kelas persediaan petang. Lupa pula nak cerita, Hamidi adalah pelajar sekolah berasrama.

Lalu berbaringlah dia di atas katilnya. Tidak memperdulikan pelanggaran disiplin yang sedang dilakukannya.

‘Alah, bukan selalu. Lagipun aku penat sangat hari ini. Turun ke kelas nanti, tidur juga. Baik tidur dalam dorm saja!’

Baru sahaja ingin melelapkan mata, tiba-tiba terdengarlah adakannya bunyi tapak kaki mendekati biliknya. Bunyi tapak kaki yang bukan sembarangan. Bunyi tapak kaki berkasut.

‘Alamak! Warden ke!? Macam mana dia boleh rajin nak buat rondaan pula hari ini!?’

Hamidi jadi amat gusar. Pelbagai perkara menerjah ke dalam mindanya. Dia akan ditangkap ponteng, disenaraikan sebagai pelajar bermasalah, digantung sekolah dan…

Tidak menunggu lama, dia segera bergerak ke sudut yang terlindung di belakang almarinya. Dalam hati dia berdoa agar warden itu tidak menemuinya.

Bunyi tapakan kasut terhenti di depan biliknya. Mungkin kerana kipas siling yang ligat berpusing menarik perhatian si warden untuk memasuki bilik tersebut. Bunyi suis kipas dimatikan kedengaran. Namun bunyi langkahan kaki kedengaran semakin hampir ke almari di mana Hamidi bersembunyi.

‘Ya-Allah, janganlah dia jumpa aku.’ Hamidi merintih. Jantungnya berdegup sangat kencang merisaukan akan dirinya ditemui. Hatinya berdebar-debar.

Bunyi langkahan kaki semakin hampir, dan kini terhenti betul-betul di hadapan almarinya. Tiba-tiba..

“Oh, ini kerja kamu ya!?”

Dan Hamidi merasakan bagaikan jantungnya mahu tercabut. Bergetar dengan begitu dahsyat.

Opocot!

*****

Pengalaman yang dilalui oleh Hamidi adalah pengalaman-pengalaman biasa yang dilalui oleh kita semua. Mungkin kisah-kisah di atas memang benar-benar berlaku kepada diri kita sendiri. Hati dan jiwa kita akan bergetar ketika kita sedang sangat mencintai seseorang dan ketika amat takut akan seseorang.

Namun itu semua getaran-getaran yang saya rasakan, tidak bermakna. Getatan yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Getaran itu hanya menunjukkan bahawa kita merupakan manusia biasa.

Getaran Istimewa, Getaran Keimanan

Ada sebuah getaran yang sangat istimewa. Saya panggil ia getaran keimanan.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.

[Q.S. Al-Anfaal, 8:2]

Itulah getaran hati orang-orang yang beriman. Hati mereka bergetar apabila disebutkan nama Allah. Suatu nama yang amat dicintai oleh mereka. Suatu nama yang amat ditakuti oleh mereka. Persoalannya, sejauh mana kita sudah memastikan diri kita tergolong dalam kalangan orang yang beriman?

Siapa yang tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman, sila berhenti membaca artikel saya ini.

Kelihatannya anda masih membaca. Saya yakin anda ingin menjadi orang-orang yang beriman. Dan ketahuilah, ayat kedua daripada surah Al-Anfaal itu menyifatkan bahawa orang-orang yang beriman itu bergetar hatinya apabila disebutkan nama Allah. Penggunaan kata ‘innama’ merupakan sebuah ‘an-nafyu wa al-istisnaa’ (penafian dan pengecualikan) yang membawa maksud, jika tidak bergetarnya hati seseorang itu, maka belum berimanlah dirinya.



Penutup : Getarkan Hatimu

Maka mari bermuhasabah.
Pernahkah hati kita bergetar ketika disebutkan nama Allah.
Adakah kita bergetar kerana mencintai Allah atas segala nikmat yang diberikan-Nya kepada kita? (Baca artikel saya ini untuk kembali menghayatinya)
Adakah hati kita bergetar kerana takutnya kita kepada kemurkaan-Nya atas segala dosa-dosa dan kemaksiatan kita kepada-Nya? Pernahkah diri ini menangisi kesilapan-kesilapan yang lalu dan mengharapkan keampunan dan keredhaannya?

Tepuk dada, tanya iman.
Getarkan hatimu.

-umairzulkefli-
-0913-
-Rumah Kajang-


~End Of Post~
Share

3 comments:

Unknown September 7, 2011 at 11:37 PM  

Salam.

Moga terus istiqomah menulis lagi kerana Allah.

Naturemujahid September 14, 2011 at 9:42 AM  

Bismillah alhamdulillah.... barakallahufika akhi.. mohon perkongsian ilmunya.. pengisian article diatas tampak santai namun strong... syukran

Unknown June 24, 2017 at 10:53 AM  

First visit and reading on 29 Ramadhan 1438H(24th June 2017)

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP