Perkongsian: Bahagia Itu
Bahagia
Sebuah perkataan tiga suku kata namun maknanya sungguh mendalam bagi manusia.
Sesuatu yang menjadi buruan manusia.
Sehingga pelbagai perkara dikorbankan demi mendapatkannya.
Tetapi hakikatnya masih ramai yang tidak mampu mengecapinya.
Mengapa?
Salah Formula
Seorang pelajar kejuruteraan sedang bersusah-payah untuk menyelesaikan sesuatu soalan. Sudah berkali-kali dia mengira namun akhirnya tetap sahaja jawpannya tidak ditemui. Atau jawapannya ada, tetapi tidak sama seperti yang dinyatakan oleh skema.
Pernah anda mengalami hal yang sama? Cuba semak kembali formula yang digunakan, pasti terdapat kesilapan di sana.
Atau apabila diperiksa jalan kira, terdapat kesilapan yang sama diulang-ulang dalam mencari sebuah jawapan.
Mencari Formula
Ramai orang menggunakan formula berdasarkan apa yang diajar oleh pensyarah di dalam kelas. Pelajar-pelajar yang malas dan tidak ke kelas sekadar mengambil formula-formula yang disalin oleh rakan-rakan atau apa yang ditulis dalam lecture notes.
Sehingga apabila sedang menyiapkan assignment, dia tidak dapat menyelesaikannya. Rupa-rupanya formula yang disalin daripada rakannya itu ada kesilapan, kerana rakannya salah menyalin di dalam dewan kuliah. Atau, lecture notes yang disalin terdapat pembetulan yang tidak diketahui olehnya kerana telah ponteng kuliah.
Begitu juga dengan kehidupan. Kita sering mencari bahagia dengan mencari apa yang orang-orang katakan mengenai bahagia. Ramai tersilap menilai bahagia dengan menisbahkannya dengan kenikmatan dunia dan apa yang ahli-ahli dunia katakan.
“Bahagia itu adalah apabila kita ada wang yang mencukupi untuk berbelanja.”
“Dia ada kereta mewah, pasti hidupnya bahagia.”
“Dia punya ramai peminat, mesti bahagia hidupnya.”
Dia menyangka yang dia tidak merasa bahagia kerana dia masih tidak memiliki itu semua. Lalu berusaha keras untuk memiliki kesemua itu. Namun ternyata, ramai orang-orang besar dunia mengakhiri hidupnya di saat mereka berada di puncak dunia.
Kurt Cobain, seorang penyanyi, penulis skrip, pemuzik dan artis yang terkenal dan sangat mahsyur. Dia memiliki semua yang orang-orang sekarang definisikan sebagai bahagia. Rumah besar, kereta mewah, isteri yang cantik. Namun dia ditemui mati membunuh diri di rumahnya dengan pistol masih di tangan.
Apakah yang masih kurang pada dirinya? Tidak cukup bahagiakah?
Formula Bahagia
Jika kita pelajar kejuruteraan, kita perlu menelaah buku-buku teks kejuruteraan untuk mencari penjelasan dan formula yang tepat buat menyelesaikan masalah kita. Jika sukar, maka ada pensyarah-pensyarah yang boleh dirujuk.
Begitu juga dalam kehidupan. Kita ini manusia, dan manusia diciptakan oleh Allah. Untuk mencari formula bahagia, kita perlu kembali kepada apa yang digariskan oleh syariat.
“Kekayaan tidaklah diukur dengan banyaknya harta, namun kekayaan yang hakiki adalah kekayaan hati.”
(HR. Bukhari dan Muslim; dari Abu Hurairah)
Orang yang yang kaya harta bukan ciri-ciri kekayaan yang digarisi oleh syariat. Ia hanya kekayaan yang digarisi oleh ahli dunia. Tetapi ciri-ciri kekayaan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW adalah mereka yang kaya hati. Mereka yang merasa cukup dengan apa yang ada pada diri mereka. Sehingga dia mampu menikmati segala nikmat yang diberi oleh Allah SWT kepadanya.
“Dan sedikit sekali hamba-hambaKu yang bersyukur”
[Q.S. Saba', 34: 13]
Namun mereka yang terpilih untuk mensyukuri nikmat-nikmat-Nya ini sangat sedikit. Sehingga mereka seakan-akan tidak pernah bahagia. Dan lawan bagi syukur itu adalah kufur.
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."
[Q.S. Ibrahim, 14:7]
Hanya azab yang di’nikmatinya’!
Seorang hamba yang bersyukur akan menghitung apa yang ia miliki lalu bersyukur kerana memilikinya. Namun hamba yang kufur adalah mereka yang menghitung apa yang tidak miliki, lalu berkeluh kesah kerana tidak memilikinya.
Seorang suami atau isteri yang bersyukur akan melihat sisi-sisi baik yang ada pada pasangannya, dan bersyukur dengannya. Namun suami dan isteri yang kufur adalah mereka yang hanya melihat sisi-sisi buruk yang ada pada pasangannya, dan mengkehendaki apa yang tiada pada pasangannya.
Ditarbiyah dengan Islam itu suatu nikmat, tetapi dia tidak mahu cuba memahami Islam bahkan melarikan diri daripada suasana itu. Berasa tidak senang dengan ketetapan-ketapan sehingga mencari jalan keluar untuk bebas daripada segala peraturan. Sehingga yang ditemui hanyalah kegersangan jiwa kerana tidak berada dalam sistem Ilahi.
Kesimpulan: Jadilah mereka yang sedikit itu.
Dalam kehidupan ini, kaya ataupun miskin, senang ataupun susah, bukan itu sumber bahagia. Tetapi sumber bahagia adalah dengan kita menjadi hamba yang bersyukur. Dan amat sedikit daripada hamba Allah itu yang bersyukur.
Jika di dunia ini lebih ramai manusia yang menderita daripada bahagia, hakikatnya hanyalah satu.
“Dan sedikit sekali hamba-hambaKu yang bersyukur”
Dan mereka yang sedikit itulah insan-insan yang bahagia. Semoga kita tidak tenggalam dalam mencari kebahagiaan. Kerana kebahagiaan itu tidak berada di luar sana. Kebahagiaan itu berada di dalam hati.
Mari jadi hamba-hamba-Nya yang sedikit itu.
Selamat menghitung nikmat-nikmat-Nya.
Share
2 comments:
Masih terkenang kebahagiaan ketika sama-sama ditarbiyyah abang umair
kenikmatan dan kebahagiaan yang dicari di dalam mutiara ISLAM... ;-)
Post a Comment