Dec 24, 2010

Tazkirah : Yakin Dengan Apa?

Assalamu'alaikum WBT

Pagi Jumaat datang lagi. Jumaat yang biasa. Jumaat yang mungkin tidak istimewa. Cuma bagi orang-orang yang ingat akan janji dengan tuhannya, pasti akan menjadikan setiap saat-saat yang dilaluinya bermanfaat agar dia tidak tergolong dalam kalangan mereka yang lalai.





Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
[Al-A'raaf (7):179]

Mereka itulah orang-orang yang lalai.
Punya mata, tidak digunakan untuk melihat kebesaran Allah.
Punya telinga, tidak digunakan untuk mendengar seruan-seruan keimanan.
Punya hati, tetapi tidak dimanfaatkan untuk memahami Islam dengan baik.

Sehingga tiada bezanya mereka ini dengan haiwan ternak. Semoga tidak bagi kita. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang berjaya. Mereka yang Allah sifatkan sebagai orang-orang yang beriman :

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyuk dalam salatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,
[Al-Mu'minun (23):1-3]

Mari berbicara sekitar Iman. Iman merupakan kepercayaan. Iman kepada Allah adalah meyakini kewujudan-Nya. Meyakini Dialah yang mengatur segala-galanya. Meyakini bahawa tiada yang mampu menetapkan sesuatu apapun setelah ada ketetapan daripada-Nya. Keyakinan mutlak bahawa segala sesuatu yang telah, sedang dan akan berlaku itu semuanya adalah ketentuan-Nya.

Yakin dengan Allah Atau Harta?

Namun berapa ramai di antara kita yang yakin? Berapa ramai di antara kita yang percaya?
Kita yakin Allahlah yang memberi rezeki. Tetapi kita risau jika gaji kita tidak masuk, kita tidak boleh hidup. Kita sering resah andai kita tidak punya wang. Kita gelisah andai majikan mahupun pelanggan lari. Sehinggakan kita sanggup menggadaikan perintah-perintah Allah, seruan-seruannya serta melakukan larangan-larangan-Nya demi hanya untuk mendapatkan wang.

Kita ragu-ragu untuk mengorbankan wang dalam simpanan kita demi untuk menegakkan Islam. Demi untuk menjayakan usaha-usaha saudara menanamkan keyakinan ummat kepada Allah. Kita berfikir-fikir untuk mengorbankan harta yang ada dalam pemilikan kita, baik harta yang terlihat secara fizikal, mahupun yang tidak terlihat. Kita risau kita akan rugi jika kita mengorbankannya. Kita risau kita akan kehilangannya. Kita risau hidup kita terumbang-ambing tanpanya.

Sedarlah, Allah Penentu Segala-galanya

Kita sering terlupa. Bahawa Allahlah yang memberikan rezeki itu kepada kita. Allahlah yang memberikan kita peluang untuk mengecapi segala nikmat-nikmat tersebut. Harta yang kita sukai. Perhiasan yang kita bangga-banggakan. Keluarga dan pangkat yang kita julang-julang. Bahkan kebahagiaan yang kita kecapi. Sedarkah kita bahawa Allahlah yang memberikannya?

Dan jika Allah berkehendak, tidak perlu lebih dari sedetik, semua itu boleh diambilnya. Duit kita boleh hilang secara tiba-tiba. Anggota badan yang kita cinta mungkin hilang dalam kemalangan. Keluarga yang kita sayangi boleh diambil bila-bila masa. Segala-galanya, Allah yang menentukan.

Lalu mengapa kita masih ragu-ragu untuk menginfaqkan harta dan jiwa kita untuk-Nya? Apakah yang kita inginkan sebenarnya?

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: "Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit.
[Q.S. At-Taubah. 9:38]

Sedikit. Dunia ini sangat sedikit. Tiada apa untuk dibanding dengan akhirat. Jika Allah berkehendak, Dia boleh beri segala-galanya kepada kita. Tetapi Allah punya percaturan-Nya.

Hidupkan Keimananmu, Bergeraklah Menuju-Nya

Allah tidak akan membiarkanmu terlantar. Allah tidak akan meninggalkan hamba-hamba yang yakin kepada-Nya. Bahkan Allah akan membantu mereka.

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
[Q.S. Muhammad, 47:7]

Perjuangkan agama-Nya. Bersungguh-sungguhlah memartabatkan Islam dalam diri kita. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk hidup dalam naungan dan keyakinan yang tiada berbelah bagi untuk-Nya. Nescaya hidup kita akan lapang. Jangan risau akan kesukaran dan kesusahan. Memang itu lumrah kehidupan.

Yang penting, berusahalah bersungguh-sungguh. Dia pasti membantu.

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabut, 29:69]
Hidup kita akan cukup. Kerana bahagia di dunia ini sementara. Akhirat itu yang kekal.
Berusahalah untuk yakin dengan janji-janji-Nya.

Wallahua'lam



~End Of Post~
Share

2 comments:

Izzat Zainal December 24, 2010 at 4:14 PM  

Salam..
benar akhi, kita harus yakin dengan jalan dan kehidupan yang kita pilih ini!islam is the way of life!

Muhammad Shawwal January 7, 2011 at 8:41 AM  

sesuatu yg bkn mudah untuk ditempuhi,
tp. hasil nye, Subhanallah.
Doa'kan ana akh untuk jd yg die' sebenar.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP