Jan 1, 2011

Diari : Menelusuri Kenangan Tarbiyah

Matahari terbit membawa lembaran baru dalam sejarah hidup manusia. Masa akan terus berlalu dan waktu akan terus berputar. Namun hala tujunya satu, iaitu ke hadapan. Masa tidak akan berputar kembali. Kisah silam tidak mungkin dilalui kembali. Yang tinggal cumalah kenangan.

Di tahun baru ini saya kembali menelusuri sejarah hidup. Bermula pencarian-pencarian saya sedari alam persekolahan sehinggalah ke saat ini. Bagaimana saya mula bergelut dalam suasana tarbiyah dan dakwah. Bersama dengan mereka-mereka yang kini berada di samping saya. Juga mereka-mereka yang bakal berada di samping saya. Dan kesimpulan yang dapat saya buat adalah, ini semua adalah percaturan Allah yang Maha Kuasa.

Mahu dengar cerita saya?

2002 : SMAPL dijejaki

Saya bukanlah pelajar bermasalah di mata guru-guru. Saya boleh dikatakan 'pandai' mengelakkan konflik dengan guru-guru. Padahal saya sering memberontak di dalam hati. Salah satu sebab terbesarnya adalah makcik saya mengajar di sekolah itu, SMAPL.

Saya juga nakal bersama kawan-kawan, tetapi biasa-biasa saja. Mujur saya tidak minat bola sepak sangat. Jadi saya tak terlibat dengan kes pecah masuk dewan makan untuk menonton kejohanan bola sepak suatu ketika dahulu. Juga pergaduhan besar antara pelajar tingkatan 4 dan pelajar tingkatan 6 gara-gara pelajar tingkatan 6 pemegang kunci bilik TV itu terlambat membuka pintu.

Nakal saya lebih kepada mengusik kawan-kawan. Mengutuk cikgu belakang-belakang, bertekak-tekak dengan pelajar puteri sekelas dan lain-lain. Bukan saya suka-suka ya, memang semua pelajar putera dalam kelas tu selalu bergaduh dengan pelajar puteri. Saya asalnya pelik juga, tapi bila semakin menjadi-jadi, saya pun 'ter'ikutlah sekali. Tetapi yang ajaibnya, bila mula naik ke tingkatan 3, gaduh-gaduh tadi semuanya sudah hilang. Jadi bercintalah pula mereka ini. Pelik-pelik.

2004 : Lembaran Sosial Bermula

Perubahan mula berlaku dalam diri. Mungkin tindakbalas kimia daripada hormon-hormon kematangan yang semakin banyak dirembeskan. Mula memerhati sekitar dengan lebih galak. Peringatan agar lelaki menundukkan mata sudah semakin dilupakan. Berbondong-bondong pelajar-pelajar tingkatan 3 mula berjinak-jinak dengan chat, Friendster, MIRC, Yahoo Messenger dan sebagainya.

Mula ramai yang berkenal-kenalan dengan kawan-kawan baru, sudah punya TTM (Teman Tapi Mesra), bercouple dan semakin mesra antara lelaki dengan perempuan. Saya ketika itu sempat menganggap yang saya 'ketinggalan kerana masih tidak punya TTM. Mana tidaknya, mereka yang boleh kata 'hampeh' pun satu-satu mula bercouple! Macam cendawan tumbuh!

Lalu langkah mula diorak. Usaha mula diletakkan. Umpan mula dipasang, kail mula diturunkan. Menanti datangnya sesuatu yang dianggap 'rezeki' oleh kebanyakkan pelajar di saat itu. Dan hujung tahun mula menunjukkan hasil. Umpan mula mengena. Kail mula ditarik perlahan-lahan. Penuh kesabaran dan usaha. Lalu terpancinglah juga seekor...

2005 - Mei 2006 : Hanyut Dalam 'Aku dan Duniaku'

Dunia dirasakan bagai milik diri sendiri. Oh, silap. Milik kami bersama. Zaman yang penuh dengan kemengarutan dan kejahiliyahan. Cinta mengaburi mata. Wang dan masa dihabiskan. Namun tertutup dengan nama cinta suci dan cinta islami. Setiap tindakan dirasakan benar dan perlu diperjuangkan.

Sambut hari lahir bersama. Saling bergurau senda. Sentiasa berkepit dengan telefon bimbit. Buat profile Friendster sama-sama. Sempat keluar makan bersama.

Sehingga dirasakan hidup sudahpun sempurna. Tanpa sedetikpun merasakan diri sudah semakin dikotori jahiliyah. Sedikit demi sedikit diri dimakan mazmumah. Kemuncaknya Ogos 2005, saya menunaikan umrah. Ka'bah di depan mata. Namun sedikitpun air mata tidak terembes, apatah lagi bergenang. Padahal makcik di sebelah sudah lama banjir pipinya.

Saya mula bertanya, "Kenapa dengan aku ni?"

Jun 2006 : Mula Melihat Sinar

Mula dengan Kem Kecemerlangan SPM 2006. Di situ saya mula mengalami perubahan. Perubahan drastik. Cerita yang terperinci telah saya nukilkan sebagai cerpen. Maafkan Aku. Pengisian daripada Dr. Muhammad Hizul Azri cukup memberi kesan dalam hidup saya.

Dan saya berubah bermula saat itu. Tetapi belum 100%. Masih ada yang tidak ditinggalkan. Cuma hubungan semakin islamik. Kejut subuh, baca Al-Quran, SMS tazkirah dan apa sahaja yang bernuansakan islami. Tetapi tetap sahaja hati tidak tenang.

Fasilitator daripada program datang setiap minggu ke sekolah. Akh Fairul Hafiz bin Adnan. Murobbi pertama saya. Saya mula berjinak-jinak dengan pengisian daripadanya.

Lalu kemuncaknya tiba suatu saat,

"Minggu depan cuti kan? Ada program untuk antum semua. Di Penang."

"Dr. Hizul ada tak bang?" saya bertanya.

"Insya-Allah ada."

"Saya pergi, insya-Allah."

Dalam hati menanamkan tekad yang cukup kuat untuk hadir ke sana. Saya sangat-sangat ingin bertemu kembali dengan lelaki yang saya anggap cukup istimewa itu. Saya ingin kembali mendengar nasihat daripadanya.

Surau Bukit Panchor menjadi latar tempatnya. Malam bersejarahpun berlalu. Lembaran hidup sekali lagi diselak. Kisah bersejarah itu dilakar dalam cerpen Detik Bersejarah.

Lalu langkahan kaki semakin padu. Semangat untuk berubah semakin meluap-luap. Hala tuju hidup berubah 180 darjah. Saya menjadi Umairzulkefli yang baru ketika itu. Umairzulkefli yang hidupnya hanya ingin mencari redha Allah.

Sungguh saya amat rindu detik dan saat itu.

2007 : Mula Mencorak Dakwah

UTP menjadi universiti pilihan. Walaupun keputusan percubaan melayakkan diri untuk memilih universiti luar negara, namun saya tetap ingin ke UTP. Kerana ikhwah-ikhwah serta murobbi saya ada di sana. Saya ingin terus berada dalam suasana tarbiyah. Saya ingin terus mewarnai hidup saya dengan nuansa tarbiyah dan dakwah. Saya ingin meninggalkan terus kisah silam yang pahit dan kelam. Lobi daripada ibu dan perlian daripada kawan-kawan kerana melepaskan peluang untuk ke luar negara saya buat tidak tahu sahaja.

Dan kisah hidup tarbiyah saya bermula. Saya naik dengan cepat. Saya semakin kenal dengan ikhwah-ikhwah. Saya mula diberi beban-beban dakwah. Saya semakin menjiwai nilai-nilai tarbiyah dan ukhuwah. Semeseter kedua terus saya membawa usrah sendiri, walaupun mereka semua sama umur dengan saya. Mereka saya bimbing sehingga dengan izin Allah menjadi teman-teman seperjuangan saya.

2009: Sejarah Pahit

Dakwah sudah sangat besar. Hampir seluruh Malaysia dakwah sudah punya kadernya. Dan hampir seluruh Malaysia saya pernah jelajahi demi urusannya. Namun Allah punya rencananya.

Bibit kemerosotan mula kelihatan. Ikhwah semakin ramai yang gugur. Di sana sini terdengar idea-idea pelik. Saya sibuk dengan perancangan tarbiyah dalam UTP, sehingga kurang memerhatikan kisah-kisah yang berlaku di sekitar.

Dan Tragedi itupun berlaku. Dakwah dilanda Tsunami ujian yang cukup besar. Kader-kader yang tinggal cumalah beberapa kerat. UTP tinggallah saya seorang yang paling senior. Kembali menyusun dakwah terkontang-kanting bersama anak-anak halaqoh yang tinggal. Juga Allah mengurniakan sorang ikhwah yang masih junior namun hebat dan bersemangat daripada Sabah.

Namun saya pasti semua ujian ada hikmahnya. Allah tidak beri ujian tanpa makna. Saya dapat lihat ini peluang untuk memperbaiki diri dan menguatkan langkah.

2010: Dakwah Berwajah Baru

Dakwah disusun kembali. Bermula dengan batu asas pertama. Mencari kader-kader baru bersama-sama. Saling kuat menguatkan bersama-sama. Dan dakwah terus berjalan.

Pematangan diri saya turut berlangsung. Walau tempoh ini saya akui tempoh yang paling sukar. Saya bagai bersedirian menggerakkan tanpa teman. Namun ikhwah-ikhwah tercinta sentiasa hadir.

Akh Azahar, Akh Zikri, Dr. Hizul, Akh Ucop, Akh Fakhrullah.

Anak-anak halaqoh tercinta, Hasbulnallah, Hazim, Khir, Khozafi, Zainul, Ikram, yang kini semua telah menjadi teman-teman seperjuangan tercinta.

Saya akan terus melangkah. Bersama-sama dengan kalian, insya-Allah.

2011 : Azam Baru, Hidup Baru

Dan kini tahun 2011 menjelang. Saya kembali menelusuri kenangan tarbiyah. Sungguh Allah Maha Baik dan Maha Penyayang terhadap saya. Mematangkan diri saya dalam menempuh kehidupan agar lebih bermakna di sisi-Nya.

Ahli keluarga saya sudah ramai yang ditarbiyah. Semakin menerima dakwah. Sungguh merupakan kebahagiaan yang tiada taranya

Dan kini, saya akan menamatkan zaman bujang. Detiknya sudah hampir. Semoga Allah mempermudahkan urusan kami. Nantikanlah pengumuman daripada saya. Doakan kami.

Alhamdulillah...
Kuatkan aku terus Ya-Allah, untuk berjuang di jalan ini. Untuk memimpin diri dan keluarga serta dakwah ke arah yang direhai-Mu.

Amiin...

-sebelum ke kursus nikah-
-1146-
-010111-
-Baiti Jannati-





~End Of Post~
Share

6 comments:

Al-Mufakkir Hamidi January 1, 2011 at 12:01 PM  

Salam.

hanya senyuman untuk antum.
:)

AhMiEzZ January 1, 2011 at 12:45 PM  

salam ya akhi.. lama betol xketemu antum..rindu sangat2..wah, dah nak nikah ye..ana doakan segalanya dipermudahkan oleh Allah s.w.t..
doa2kan ana dikejauahan ini juga..
ana uhibukafillah T_T

uskutsilence January 1, 2011 at 2:22 PM  

Allah knows The best..alhamdulillah..

Unknown January 2, 2011 at 12:18 AM  

Salam.

Moga 'urusannya' terus dipermudahkan Allah.

Tingkatkan terus kemurnian dalam keikhlasan. Pasti akan terus success dunia wa akhirat.

nurain ilieda January 3, 2011 at 11:30 AM  

alhamdulillah,.moge urusan di permudahkan :)
& diberkati Allah.aminn

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP