Cerpen : Along
Kisah abang dan adik yang mungkin pernah kita alami.
Mari sama-sama nikmati pagi Ahad ini dengan cerpen ini.
Maaf atas kerterlambatan.
Terimalah :
ALONG
“Zan, kau dah solat?”
‘Dah datang dah si penyibuk ni.’
“Zan, kau dengar tak aku tanya?”
“Belum.”
“Sampai bila kau nak lambat-lambatkan solat ni! Sengaja melambat-lambatkan solat ni berdosa tau tak!? Dah pukul 4 ni! Kau nak solat pukul berapa!?”
“Kau ni sibuklah Along! Suka hati akulah bila aku nak solat!”
‘Nak marah-marah pulak. Dia ingat dia siapa? Macam bagus sangat.’
Fauzan bangkit dari meja komputer, bergerak menuju ke bilik. Pintu dibuka kemudian dihempas kuat-kuat. Melepaskan geram. Kaki dilangkah masuk ke bilik air. Wudhuk diambil sekadarnya. Setiap basuhan sekali sahaja. Teringat teguran tempoh hari.
“Cuba ambil wudhuk baik-baik sikit. Kau basuh sekali je, sunatnya kan 3 kali.”
‘Buat sekali pun dah sah, buat apa sampai tiga kali? Suka hati akulah!’ Fikirnya. Segala yang ditegur along pasti ingin diprotesnya.
Lalu solat didirikan, juga sekadarnya. Setiap bacaan cuma sekali. Sepanjang solat fikirannya melayang ke mana-mana. Tidak sampai 2 minit solatnya selesai. ‘Solat patuk ayam’ kata orang. Gerak gerinya umpama ayam mematuk padi, sangat cepat.
Selepas solat Fauzan merebahkan badannya ke atas katil. Sesekali dia mendengus. Masih geram dengan Alongnya. Tiba-tiba dia terpandang sebuah bingkai gambar di hujung katil. Gambar 2 orang lelaki. Yang di sebelah kanan tangannya dipautkan ke bahu lelaki di sebelah kiri. Kedua-duanya kelihatan amat ceria. Di bawah gambar tertulis, Fauzan & Faizi 2008 : Happy Birthday Fauzan.
‘Kenapa kau jadi macam ni Along? Dulu kan kau baik je dengan aku?’ Hati kecilnya berbicara.
*****
“Fauzan, kau sayang Faizi tak?”
‘Eh mamat ni. Apa pasal tiba-tiba tanya soalan pelik?’ Fauzan hanya mengangkat kening.
“Aku tak suruh kau angkat kening, aku suruh kau jawab. Kau sayang Faizi tak?” Karim mengulangi pertanyaannya.
Fauzan memandang kepada Faizi di sebelahnya. Mukanya memerah.
“Abang memanglah sayang adik. Tapi adik sayang abang, tak tahulah. Kau tiba-tiba tanya soalan pelik ni kenapa Karim?” Faizi menjawab selamba. Namun mukanya yang cuba menahan sengih tetap tidak dapat disembunyikan.
“Hah, Fauzan abang kau dah jawab. Kau macam mana?”
‘Apa tanya bab-bab perasaan ni. Aku payahlah nak jawab soalan-soalan macam ini.’
Fauzan masih terdiam. Mulutnya tersengih. Malu mungkin.
“Eleh, malu-malu kucing pula. Muka kamu dahlah sama. Mengaku je la Zan, kau sayang Faizi kan?”
“Yelah! Dia abang aku, aku sayang dia!” Akhirnya terpacul juga kata-kata itu.
“Ha, macam itulah. Baru jadi keluarga bahagia! Okay sekarang kamu berdua dekat-dekat sikit. Aku nak tangkap gambar kamu. Biar jadi kenangan sampai bila-bila.”
Faizi menarik bahu Fauzan dekat kepadanya. Kepalanya dirapatkan ke kepala adiknya itu. Fauzan terasa segan, tetapi dibiarkannya.
“Okay, satu, dua, senyum! Ha, mesranya kamu berdua. Ini gambar birthday paling istimewa yang aku pernah tangkap!” Karim menyuakan kamera digitalnya kepada Fauzan. Fauzan melihatnya dan tersenyum.
“Happy Birthday Fauzan!” Faizi berkata sambil tersenyum.
“Terima kasih Along. Nanti aku letak gambar ni dalam bilik kita.”
*****
“Zan, kau dah solat belum!?” Faizi melaung dari luar. Serta-merta lamunannya terhenti.
“Dahlah. Kau pergilah baca Al-Quran kau tu!” Kemudian mendengus.
Fauzan bangkit dari katil. Menuju ke meja belajarnya. Laci meja dibuka. Terlihat sebuah dompet Body Glove berwarna hitam.
‘Dompet ini dulu hadiah awek dia. Lepas tu dia bagi pada aku pula.’
*****
“Zan, kau tolong aku boleh?”
“Tolong apa?”
“Kau tolong sampaikan bungkusan ni boleh?”
“Nak bagi pada siapa Long?”
“Syahida, senior kau. Hadiah hari jadi dia.”
“Hah? Kau couple dengan dia ke? Biar betul?”
“Tengok kaki la.”
“Tak boleh blah kau ni. Tak sangka muka macam kau ni pun Syahida tu nak. Kau pakai bomoh ke ha?”
“Tak payah pakai bomoh. Kena pandai skill sikit je.”
“Hah, nanti bolehlah ajar aku.”
“Hahaha, boleh-boleh. Tapi nak berguru dengan aku ada bayaran sikitlah.”
“Hahaha, blah la kau!”
-----
“Fauzan, Kak Long kau nak jumpa.”
“Hah?”
“Tu kat pintu belakang,”
Syahida berdiri tersipu-sipu. Di tangannya membimbit sebuah beg plastik. Fauzan berlalu ke pintu belakang kelas.
‘Minah ni nak pesan barang la ni. Satu sekolah aku tahu dia couple dengan abang aku. Hot betul minah ni.’
“Zan, kamu tolong sampaikan barang ni pada abang kamu ye. Dia balik rumah minggu ni kan?”
“Haah, mana tahu?”
“Adalah,” sambil wajahnya tersenyum.
“Ni hadiah untuk apa ni? Siap ada kad lagi.”
“Birthday dialah. Kamu adik dia pun tak tahu ke?”
“Haah, bulan April kan?”
“Ye, 18 April. Okay, akak gerak dulu. Terima kasih ya.”
-----
“Long, nah. Happy Birthday!”
“Aik, sejak bila kau ingat Birthday aku ni? Siap ada hadiah lagi.”
“Kak Syahida yang bagi. Dia yang ingatkan aku birthday kau hari ini.”
Faizi hanya tersenyum sendiri sambil menerima bungkusan hadiah tersebut. Bungkusan dibuka. Sebuah dompet berjenama Body Glove berwarna hitam. Lalu kad ucapan dibaca. Faizi tersenyum sendiri.
“Eleh, malu-malu pula kau ni. Ehm, bila nak makan nasi minyak?”
“Sabar-sabarlah. Tunggu habis belajar dulu.”
“Eh, aku peliklah. Macam mana kau boleh kenal dia?”
“Chatting. MiRC.”
“Haih, punya senang. Kau tau tak dia tu hot stuff sekolah aku? Ramai lelaki cuba tackle dia. Sekali kau pula yang dapat.”
“Aku tahu, dia dah cerita semua.” Faizi tersenyum bangga.
“Sudahlah. Bajet macho la tu.”
“Dah memang kenyataan.”
Fauzan menumbuk kecil bahu Faizi. Lalu mereka tertawa bersama.
-----
“Zan, dompet kau dah koyak kan? Nah, ambil yang ni.”
“Eh, ini dompet yang Kak Syahida bagi kau kan?”
“Haah.”
“Kenapa kau bagi aku?”
“Aku tak nak simpan lagi. Tak nak ada kenangan.”
“Hah? Apa yang kau cakap ni?”
“Kami dah clash.”
“Hah?”
*****
Azan Asar berkumandang. Lamunannya terhenti sekali lagi. Jam dinding dipandangnya. 4:42PM. Sepantas kilat dia berbaring di atas katil. Bagaikan lari daripada sesuatu. Tidak sampai 5 saat pintu bilik dikuak.
“Zan, jom pergi su..” kata-kata Faizi terhenti melihatkan Fauzan yang berbaring di atas katil. Lalu dia menuju ke kamar mandi untuk berwudhuk. Fauzan yang hanya berpura-pura tidur mengintai pergerakan Alongnya. Faizi keluar dan mengambil ketayap di atas meja.
“Zan, jom solat di surau,”
Fauzan membatu. Pura-pura tidak mendengar. Dia yakin Faizi akan menganggapnya tertidur.
“Asal waktu solat je kau tidur.” Faizi berbicara kepada dirinya sendiri. Sambil dia berlalu keluar.
Setelah yakin Faizi telah keluar dari rumah, Faizi bangkit dari katil. Dia terus membentangkan sejadah lalu mendirikan solat dengan wudhuk Zohornya tadi. Juga seperti solat Zohornya tadi, solatnya asal-asalan sahaja. Lalu kembali berbaring di atas katil. Tiba-tiba telefon bimbit Sony Ericssonnya bordering nada Sum41. Mesej masuk. Fauzan tahu SMS itu daripada siapa. Hatinya berbunga-bunga.
Salam. Hai awak. Apa khabar? Dah 7 hari pun. Awak tunggu SMS daripada saya ke?
Salam. Saya sihat je. Tunggu la juga sikit-sikit. Awak sihat?
Sikit je ke? Awak, kenapa nak kena senyap 7 hari baru SMS?
Kalau tiap-tiap hari nanti bosan. Lama-lama sikit baru best.
Yelah tu. Orang lain couple tak buat macam kita pun.
Orang lain tak tahu skill ni. Kita je tahu.
Macam-macamlah awak ni.
Macam-macam saya ni lah yang awak suka kan?
Mengada-ngada!
(^_^)
Fauzan terus berbalasan SMS sehingga tiba-tiba pintu bilik dikuak. Segera dia menyorokkan telefon bimbitnya di bawah bantal. Bebaring seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Dah solat?”
“Dah.”
“Kenapa nampak gembira semacam?”
“Kau sibuk kenapa?”
Faizi terus terdiam. Meletakkan ketayapnya di atas meja dan berlalu keluar daripada bilik. Tidak mahu keadaan semakin tegang.
Fauzan hanya memerhatikan. Sambil berbaring dia merenung ketayap Faizi.
*****
“Kau pergi mana tadi Long?”
“Surau.” Ketayap putihnya ditanggalkan. Dilipat dan diselit ke dalam saku baju melayunya.
‘Hah? Along? Surau? Buang tabiat ke? Dia mana pernah pergi sembahyang berjemaah. Solat Jumaat adalah.’
“Kau dah solat Zan?”
Fauzan berlalu pergi. Soalan itu dibiarnya tidak berjawab. Hatinya mula tidak senang apabila dipertanyakan tentang ibadah. Baginya ibadah tergantung kepada individu. Tidak perlu dipertanyakan dan dipaksa-paksa.
Isu solat menjadi topik yang paling dibenci oleh Fauzan setiap kali bertembung dengan Faizi. Bukan kerana dia tidak mahu solat. Soalnya dia tidak suka ditegur. Lagi-lagi oleh Faizi.
-----
Fauzan memetik gitarnya. Headphone di kepala bersambung dengan komputer riba. Youtube dibuka. Klip Video lagu All She's Got daripada Sum 41. Badannya yang tidak berbaju bergerak-gerak mengikut irama yang dimainkan. Fauzan larut dalam alamnya sendiri. Waktu asar mendekat.
"Zan, jom pergi solat. Lepas ni sambunglah main." Faizi mengajak.
"Believe her, it's all she's got to pass the time..Believe her, it's over now she's passed her prime..." Fauzan tidak mendengar. Khusyuk.
Faizi mendekati dan memegang bahu Fauzan.
"Zan, jom kita solat. Dah asar ni. Kita solat di surau."
"Kenapa?" Fauzan agak terkejut. Headphone ditanggalkan.
"Khusyuknya main gitar. Bagusnya kalau khusyuk macam ni masa solat, kan?"
Fauzan hanya mencebikkan muka.
"Jom pergi surau."
"Kau pergilah dulu. Aku tahulah nak solat nanti."
“Tiap-tiap kali kau bagi alasan yang sama. Nanti mesti solat lambat lagi.”
Fauzan kembali menyarungkan headphone dan memtik gitarnya. Faizi menggeleng-gelengkan kepala dan berlalu pergi. Selepas beberapa langkah, dia berpatah balik kea rah Fauzan.
“Zan, bangun sekejap.”
“Apa lagi kau nak?”
Faizi menggerakkan tangannya ke arah pinggang Fauzan dan menarik seluar trek Fauzan ke atas menutupi pusatnya.
“Tutup aurat,” ujar Faizi selamba.
Muka Fauzan merah padam. ‘Ini sudah lebih!’
“Woi! Kau kalau tak kacau hidup aku tak boleh ke!?”
Fauzan tiba-tiba meninggikan suara. Faizi terkesima. Setelah beberapa ketika barulah dia menjawab.
“Aku cuma tegur kau. Tanggungjawab aku untuk sampaikan kebenaran.”
“Boleh blah la kau dengan tanggungjawab kau tu! Kau dengar sini. Kau boleh berhenti daripada berlagak baik depan aku. Aku takkan jadi macam kau. Aku tak hormat kau. Aku taknak kau kacau hidup aku lagi. Faham!?”
Faizi merenung wajah Fauzan dengan renungan yang sukar ditafsirkan. Bagaimanakah perasaannya di saat itu? Hanya Allah yang tahu. Faizi mengeluarkan ketayap putihnya dari saku lalu memakainya. Kemudian Fauzan ditinggalkannya bersendirian.
Sejak itu Fauzan semakin menjadi-jadi. Seboleh-bolehnya dia akan menyakiti hati Faizi. Terkadang Faizi mampu bersabar, namun dia hanya manusia yang lemah. Sering juga amarahnya meletus. Dan marahnya Faizi itu dianggap oleh Fauzan sebagai kemenangan.
*****
Fauzan tersedar daripada tidurnya. 4:50AM.
‘Kenapa lampu bilik air terpasang?’
Dia menjeling ke katil Faizi. Kosong.
‘Mana pula mamat ni pergi?’
Kelihatan pintu bilik tidak tertutup rapat. Fauzan bergerak kea rah pintu. Terdengar suara orang menangis. Dia mengintai dari dalam bilik. Kelihatan kelibat seorang lelaki sedang sujud di ruang tengah.
‘Along? Dia bangun qiamullail?’
Fauzan jadi ingin tahu apa yang dilakukan oleh Fauzan. Dia terus mengintai. Faizi bangkit dan duduk tahyat akhir. Setelah seketika salam diberikan. Lalu tangannya ditadahkan seraya bermunajat. Buah butirnya tidak berapa jelas. Fauzan memberanikan diri untuk meluaskan bukaan pintu. Dalam sayup-sayup kedengaranlah doa Faizi.
“Ya-Allah, Engkaulah yang membolak-balikkan hati-hati. Tetapkanlah hati kami dalam jalan agama-Mu dan mentaati diri-Mu. Ya-Allah, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami.”
Berkali-kali doa itu diulang.
“Ya-Allah, aku sayang akan adikku, Fauzan. Jangan Kaubiarkan dia terus hanyut dalam nikmat keduniaannya ya-Allah. Ampunilah dosanya dan kurniakanlah dia nikmat hidayah-Mu. Ampuni aku kerana tidak mampu membimbingnya dengan baik ya-Allah. Kumohon ya-Allah, Kaubimbingilah hatinya agar kembali kepada fitrah yang bersih. Perkenankanlah ya-Allah.” Faizi berdoa dengan penuh harap. Air matanya bercucuran.
‘Along doakan aku? Berapa lama dah dia doa untuk aku macam ni?’
Hati Fauzan terusik. Tidak disangka Faizi mendoakan dirinya. Selama ini Fauzan meyakini yang Faizi sangat membencinya. Ternyata dia telah tersilap. Rasa bersalah menjalar ke seluruh relung hatinya. Terkenang bagaimana dia meninggikan suara terhadap Faizi. Bagaimana kata-katanya telah melukai hati Faizi. Semua memori lama diputar.
*****
Ruang solat dihuni seorang yang sedang membaca Al-Quran. Tilawahnya teratur, bacaannya tartil. Faizi husyuk dengan pembacaannya. Suaranya bergema di ruangan.
Fauzan masuk untuk solat maghrib. Jam menunjukkan 8:15. 5 minit lagi masuk waktu Isya’. Faizi tidak menyedari kehadiran Fauzan, bacaannya diteruskan.
“Woi! Tak nampak ke aku nak sembahyang ni! Perlahanlah sikit!”
Faizi tersentak. Diikutkan hati ingin sahaja Fauzan ditempelaknya. Namun dia dapat bertenang. Tilawahnya diteruskan dengan nada yang lebih perlahan.
-----
“Zan, kau ada nampak kunci aku? Aku letak atas meja tadi.” Faizi mengalih-alihkan buku-buku di atas meja.
Fauzan hanya membatu. Jarinya sibuk menekan telefon bimbitnya menggunakan ibu jari, bermain game.
“Zan, aku tanya ni. Nampak kunci aku?”
“Kau ni memang pelupalah! Kan kau gantung depan pintu stor tadi? Lain kali kalau cari barang tak jumpa-jumpa, apa kata kau pergi buat solat hajat 2 rakaat? Mana tahu Allah bagi hidayah biar kau ingat mana kau letak barang tu?”
Tersirap darah Faizi. Giginya diketap, penumbuknya digenggam. Namun hatinya segera beristighfar.
“Baiknya nasihat. Terima kasihlah ya.” Lalu berlalu menuruni anak tangga.
*****
Rasa bersalah menjalar ke seluruh urat sarafnya. Air matanya berlinangan. Paradigmanya terhadap Faizi berubah 180 darjah. Fauzan sangat tidak menyangka seorang yang selama ini terus menerus disakitinya itu senantiasa mendoakannya. Lalu dia kembali ke katilnya. Tidak mahu diketahui Faizi yang dia telah mencuri dengar. Berpura-pura tidur. Namun hatinya tetap berkecamuk dengan pelbagai perasaan.
Seperti biasanya, selepas subuh Faizi akan mengajak adik-adik kecilnya membaca Al-Ma’thurat bersama. Pernah Fauzan diajaknya, namun bagi mengelakkan konflik, usahanya dihentikan. Namun suatu kelainan berlaku pada pagi itu. Fauzan tiba-tiba hadir bersama dalam majlis Al-Ma’turat itu.
‘Aik? Mimpi apa Fauzan ni? Tiba-tiba datang baca Al-Ma’thurat sama-sama?’
Seusai bacaan Al-Ma’thurat, Faizi memberi tazkirah.
“Along nak tanya Fauzi, kalau Along nak bagi RM1 dengan RM1 juta, mana yang Fauzi nak?”
“Mestilah RM1 juta tu. Buat apa RM1? Nak beli aiskrim pun dapat sebatang je. Kalau RM 1 juta boleh beli 1 juta batang!”
“Banyaknya! Nanti sakit gigi baru tahu. Okay, tapi kalau nak dapat RM 1 juta tu, kena tunggu lambat sikit, dalam setahun. Lepas tu kena pergi ambil jauh, dekat rumah opah di Alor Setar tu. Kalau RM 1 tu nak sekarang pun boleh. Tapi tak boleh ambil dua-dua. Nak pilih yang mana?”
“Fawwaz tak kisah. Biarlah tunggu 10 tahun pun. Nak RM 1 juta juga!” Fawwaz pula menyampuk. Fauzan dari tadi hanya mendiamkan diri.
“Nampaknya kita semua faham, bertapa besarnya perbezaan RM 1 dengan RM 1 juta kan? Sampai sanggup tunggu 10 tahun nak dapatkan RM 1 juta tu. Siapa yang nak juga RM 1 tu sangat-sangatlah ruginya. Sebenarnya cerita tu ada kaitan dengan kehidupan kita. Allah SWT berfirman,
Allah meluaskan rezki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit).
[Q.S. Ar-Ra’du, 13:26]
“Nikmat kehidupan dunia ini sebenarnya sedikit sangat kalau nak dibanding dengan akhirat nanti. Masa di dunia ni seronoklah, semua yang kita suka boleh buat. Siapa tak suka seronok-seronok buang masa main game, tengok cerita-cerita tak senonoh, cintan-cintun dengan awek?
Fauzi dan Fawwaz tersengih-sengin apabila perkataan awek disebut. Semua tahu dahulu Faizi sakan bercinta dengan Syahida.
“Tetapi hakikatnya semua itu nafsu dunia belaka dan membawa kepada dosa serta kemurkaan Allah. Dalam ayat yang lain pula Allah sebut,
(Bagi mereka) kesenangan (sementara) di dunia, kemudian kepada Kami-lah mereka kembali, kemudian Kami rasakan kepada mereka siksa yang berat, disebabkan kekafiran mereka.
[Q.S. Yunus, 10:30]
“Orang-orang yang sengaja memilih untuk memuaskan hawa nafsu dan kesenangan dunia, kemudian meninggalkan akhirat, Allah akan siksa mereka kelak di akhirat! Na’uzubillah, summa na’uzubillah.
“Ee..Fauzi takut! Tak nak!”
“Fawwaz pun takut.”
“Jadi di dunia ini kita kena bersabar, ada masanya kita tak boleh buat apa yang kita suka, sebab benda tu berdosa. Ada benda yang berat kita nak buat, rasa susah, rasa tak suka, tapi benda tu baik untuk kita, berpahala. Jadi kita kena buat juga. Macam dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 yang Along cerita semalam.
Semua mengangguk-angguk. Fauzan terkesima. Sudah lama hatinya tidak mendapat siraman keimanan. Cinta dunia yang mendominasi hatinya sedikit terkikis. Tidak semena-mena air matanya mengalir. Namun segera dikesatnya. Tidak mahu airmukanya jatuh di hadapan adik-adiknya.
‘Ya-Allah...berapa lama sudah aku tertipu dengan keseronokan dunia. Along, maafkan aku.’
“Pernah dengar cerita Mus’ab bin Umair? Dia tinggalkan semua kehidupan dunia dan bersabar menanti keindahan di akhirat.” Faizi meneruskan tazkirahnya. Fauzan semakin terbuka untuk mendengar. Dalam diri tekadnya membulat.
Cuti semester semakin hampir ke penghujung. Fauzan sudah semakin kerap membaca Al-Ma’thurat bersama Faizi setiap pagi. Setiap pengisian Faizi cuba dihadamnya. Perlahan-lahan hatinya mula diisi dengan kecintaan kepada Allah, Rasulullah dan Islam.
Hari ini Faizi akan pulang ke Universiti Teknologi Petronas. Fauzan akan menyambung semester keduanya di Kolej Matrikulasi Selangor. Sedang Faizi sibuk mengemas begnya, tiba-tiba Fauzan menghampiri.
“Along, aku nak cakap sikit, boleh?”
Faizi mendongak dan memandangnya seketika. ‘Kenapa pelik-pelik perangai Fauzan baru-baru ni?’
“Boleh, ada apa Zan?”
“Cuba kau bangun.”
Faizi hanya menurut. Tiba-tiba Fauzan mendakap Faizi. Dakapannya kuat.
“Zan? Kenapa?” Faizi terkejut. Namun dia membalas dakapan itu. Fauzan hanya mendiamkan diri seketika. Lalu bersuara. Suaranya serah basah menahan tangis.
“Along, maafkan aku. Aku banyak buat dosa dengan kau. Aku dah sedar. Doakan Allah ampunkan dosa-dosa aku.”
‘Ya-Allah! Subhanallah! Allahuakbar! Betul ke apa yang aku dengar?’ Faizi seakan-akan tidak percaya.
“Insya-Allah Zan, insya-Allah. Allah sentiasa dekat dengan kita, tinggal kita sahaja yang perlu membuka hati kita untuk-Nya.”
“Kau maafkan aku tak? Banyak dosa aku pada kau.”
“Aku tak pernah ambil hati. Asalkan kau dah sedar, aku tak kisah Zan. Aku tak kisah.”
“Terima kasih Long. Terima kasih. Satu lagi, aku pun dah ikut jejak kau.”
“Maksud kau?”
“Aku baca majalah Sinergi warna biru atas meja yang kau tinggalkan tu. Aku tahu kau memang sengaja tinggalkan atas meja tu.”
“Majalah Edisi ke-2 tu? Tapi apa maksud kau?”
“Aku baca cerpen dalam majalah tu. Dan..”
“Dan apa?”
“Aku tak sanggup biarkan diri aku berdosa lagi. Aku dah clash.”
“Hah?”
*****
Artikel-artikel dalam majalah Sinergi benar-benar menusuk jiwanya. Tidak pernah terfikir bahawa selama ini begitu teruk keadaan Umat Islam sekarang. Penindasan serta pencabulan yang berlaku terhadap saudara-saudara seislamnya di seluruh dunia benar-benar membuatnya berfikir. Ditambah pula dengan kehancuran moral masyarakat di Malaysia, Fauzan merasakan yang mereka benar-benar perlu berbuat sesuatu.
‘Betul kata penulis ni. Kalau aku tak mula baiki diri, aku akan jadi salah satu beban kepada Umat Islam. Tiada masa untuk dibazirkan lagi. Aku kena buat sesuatu. Aku tak boleh terus macam ni lagi. Ya-Allah, bantulah aku.’
Majalah Sinergi terus diselak.
‘Cerpen Islami. Detik Bersejarah. Ahmad Umair Zulkefli. Cuba baca sikit.’
Dan matanya terus meneliti baris demi baris cerpen tersebut. Sampai di tengah cerita, dia tersentak.
‘Biar betul mamat ni? Dia betul-betul nak clash dengan perempuan tu?’
Fauzan tekun membaca sampai ke penghujung. Ketegasan ‘aku’ dalam cerita itu benar-benar mempengaruhi jiwanya.
‘Macam mana pula dengan aku? Aku dengan Yasmin kan sama kesnya dengan cerita ni?’
Fauzan jadi serba salah. Macam-macam yang difikirnya. Kenyataannya jelas. Apa yang dilakukannya selama ini jelas salah. Sesaat lamanya dia menghitung-hitung apa yang perlu dilakukan. Namun akhirnya keputusan dibuat. Telefon bimbit dikeluarkan. Nombor Yasmin didail.
“Hello, Assalamu’alaikum.”
“Wa’alaikumussalam. Hai awak! Kenapa tiba-tiba call? Rindu ke?”
“Rindulah juga.”
‘Erk, aku kena tegas! Ya-Allah, beratnya rasa nak cakap ni.’
“Hah, kenapa diam ni?”
“Yasmin, saya ada benda nak cakap ni.”
“Awak, kenapa tiba-tiba serius ni? Nak buat drama ke?”
“Boleh katalah. Macam ni. Sebenarnya selama ini apa yang kita buat ni salah. Hubungan yang kita jalani selama ini sebenarnya Allah tak redha!”
“Zan, apa maksud awak?”
“Bercouple ini salah sebenarnya Min. Kita menghampiri zina. Apa yang kita buat ni menyebabkan kita terus-menerus berada dalam keadaan berdosa.”
“Jadi?”
“Tiada cara lain, kita kena hentikan hubungan ini.”
“Awak, janganlah main-main. Kan kita saling mencintai? Awak dah lupa semuanya?”
Fauzan terdiam. Memori indah kembali bertamu. Namun segera ditepisnya.
‘Aku kena kuat!’
“Yasmin, bukan saya tidak sayangkan awak. Tetapi saya lebih sayangkan Allah. Saya tak sanggup nak teruskan melakukan dosa. Saya juga tidak mahu awak melakukan dosa yang sama. Jadi saya harap awak faham.”
“Zan, saya tak sanggup kehilangan awak. Tolong jangan tinggalkan saya. Saya boleh jadi gila kalau macam ni. Awak nak saya bunuh diri ke?”
Fauzan terdiam. Kata-kata Yasmin membuatnya ragu-ragu.Tangisan Yasmin mula kedengaran. Hatinya semakin pilu mendengarnya. Tiba-tiba kisah Mus’ab terlintas di fikirannya. Kisah yang diceritakan oleh Faizi dalam tazkirah pertama yang didengarinya.
“Awak, jangan buat kerja gila. Bunuh diri tu akibatnya kekal selama-lamanya dalam neraka! Dan walaupun awak ada seratus nyawa, dan awak mati seratus kali di hadapan saya, saya tetap tidak sanggup untuk meneruskan hubungan yang tidak diredhai ini.”
Lalu giliran Yasmin pula yang terdiam. Dia tidak menyangka Fauzan akan setegas itu. Dan akhirnya dia mengalah.
“Baiklah, saya faham. Mungkin inilah yang terbaik. Tapi saya tetap akan tunggu awak.”
Hati Fauzan terusik. Namun ketegasannya tidak berganjak.
“Tak payah tunggu saya. Kalau Allah takdirkan kita ada jodoh pasti akan bertemu juga. Carilah redha Allah. Semoga lepas ini kita akan bertemu dalam keadaan yang lebih baik.”
“Insya-Allah. Doakanlah saya.”
“Insya-Allah. Saya rasa inilah panggilan terakhir saya. Ada pesanan terakhir?”
“Saya doakan agar awak berjaya mencari apa yang awak cari. Jaga diri baik-baik.”
“Awak pun. Saya letak dulu ya. Assalamu’alaikum.”
“Wa’alaikumussalam.”
*****
“Macam tu lah ceritanya. Doakan aku istiqomah long.”
“Insya-Allah. Tapi tak sangka kau pun bercouple juga. Tak nampak pun selama ni. Pandai kau sorok?”
“Sebab kau yang sangat agresif, aku sepanjang cuti ni hubungi dia seminggu sekali je. Tu yang kau tak perasan tu.”
“Owh, macam tu ke. Tak sangka cerita Umair tu berjaya buat kau tersedar ya. Sama macam cerita aku juga.”
“Kau pun sama juga? Kau kenal ke Umair tu?”
“Kenal sangat. Dialah murobbi aku kat UTP tu.”
“Owh? Tak sangka. Nanti bawa aku jumpa dia ya.”
“Insya-Allah!”
Share
12 comments:
masya allah!
along yang mantap!
moga menjadi aspirasi pada setiap muslimin utk jadi spertinya
nice one umair..
nice post .tapi pening sikitlah . beselah tu manusie , typing error .
ape2 pun . hebatt :)
eg : Fauzan jadi ingin tahu apa yang dilakukan oleh Fauzan .
To nurlisa kamal: Jzkk pengomen pertama. Semoga ramai antara kita mnejadi penyabar dalam mentarbiyah keluarga.
To Amin Baek: Nice one amin..(^_^)
To The Sky Is Blue: Jzkk atas pembetulan. Dah dibaiki. Kalau ada lagi tlg tegur ye.
entri yg sgt menyentuh hati~
situasi ini memang berlaku.. especially untuk akhwat ikhwah yang baru berjinak2 nak dakwah keluarga.. artikel y baik untuk bekalan masa cuti panjang ini ..
salam'alayk.
stuju dgn pndpt dr. mujahidah.
bila "abg" dah trima sntuhan trbiyah, dan mula byk brubah, akn ada versus dgn sikap dia yg lama. adik2 akan mula rs abg dia dah xmcm dlu. rsnya, mmg byk brlaku.
bkn sj adik bradik, mlh shbt2 lama dia jgk akn mrasakan hal yg sama.
apapn, pnghijrahan mmg sgt2 perlu pgrbanan. hti kena btul2 kuat, sbr & tsabat.
t.ksh byk. alhamdulillah..
pkgsian yg sgt mnyntuh hti & mberi inspirasi.
wau.tq sharing
bila bca kisah abg dn adik cmni sy sgt t'sentuh.. T_T
moga2 ramai lg abg2 yg blh mndidik adknya..skang ni, ramai je abg dn adk mcm dh jd bkn adkbrdk. huhu.dn adk mula cari 'abg' d lua..klu abg len 2 oke xpe..hurm..
tersentuh baca cerpen ni especially time along faizi doa tu..ã… .ã…
cerpen yang membina..
keep up writing~
salam,
saya bukan abang.
tapi saya kakak.
T.T
sedih baca cerpen ni. teringat kat adik2 esp adik lelaki. kadang2, jadi buntu..
utk adik lelaki yang paling saya sayang...
Adam..
moga satu hari nanti Allah buka hati kamu..
dan adik2 lain juga.
moga Allah pmudahkan.
jarak jauh yg memisahkan, komunikasi yg terbatas.. hanya Allah saja yg mampu angah wakilkan utk jaga kamu semua, esp kamu..
adam.
buat semua ikhwah akhwat yg ada adik, kakak, atau abg.. never give up..
kita hanya berusaha, Allah yg tentukan.
Hnya mmpu trsenyum (:
tathu na kata apa. sedih part doa (':
Post a Comment