Tazkirah : Kebangkitan
Kita sering dilanda musibah.
Sering sekali badai yang melanda terasa meranapkan seluruh upaya.
Sehingga terkadang hilang punca.
Tidak tahu untuk bersikap apa.
Sehingga kita memilih untuk menjadi lengai.
Umpama gas nadir dalam senarai unsur kumpulan 18.
Hakikatnya kita perlu bergerak.
Kerana duduk diam itu tidak menyelesaikan masalah.
Malah semakin lama diamnya kita, semakin banyak masalah akan timbul.
Seperti air yang bertakung, jatuh najis dan kotoran jadilah ia mutanajjis lagi berpenyakit.
Soalnya apa yang perlu dilakukan?
Menyedari
Sudah namanya manusia, pasti mmpunyai sifat-sifat kelemahan. Kerana kita tidak sempurna. Sesempurna baginda nabi juga pernah melakukan kesilapan, sehingga baginda ditegur dalam surah Abasa. Bahkan di akhir zaman ini pernah nabi riwayatkan bahawa, untuk mengenggam agama ini bagai menggenggam bara api, akan terjadi fitnah yang dahsyat:
Menjelang hari kiamat kelak akan terjadinya fitnah seperti potongan malam yang kelam. Pada saat itu, seorang yang beriman di pagi hari lalu menjadi kafir di petang hari, beriman di petang hari lalu menjadi kafir di pagi hari. Ia menjual agamanya dengan dunia.[HR. Abu Daud dan Ibnu Majah]
Disebut beriman mungkin kerana dia juga solat, membaca Al-Quran, berpuasa, menunaikan zakat, bahkan menunaikan haji. Namun juga disebut kafir kerana di waktu yang berbeza, dia juga mencuri, berbohong, minum arak, berjudi, bahkan berzina. Na'uzubillah. Pakaian iman dan kufur dikenakan sekali dalam hidupnya. Allah dan setan ingin 'dikahwinkan' dalam satu peribadi. Astaghfirullah.
Kedahsyatan keterbalikan iman dan kufur yang bagaikan kepingan syiling. Sekejap kepala, sekejap ekor. Inilah fenomena akhir zaman. Makanya, sebagai salah satu daripada sekalian banyak manusia
kita perlu sedari bahawa ini semua perlu kita hadapi.
Menyikapi
Namun menyedari lalu tidak berbuat apa-apa tentu bukan penyelesaian. Dan tentu bukan sebagai alasan, yang kita perlu menerima hakikat bahawa umat akhir zaman ini boleh bermaksiat. Melainkan supaya kita berjaga-jaga dan tidak terus terjatuh.
Walaupun kita terjatuh itu berkali-kali. Berulang-ulang dalam bermaksiat. Berpuluh-puluh kali terjebak ke dalam kehinaan yang sama. Sehingga kita rasakan yang kita tidak mampu berubah lagi. Berhenti sejenak. Tanyakan pada diri, "Apakah aku ingin masuk neraka? Tidak teringinkah mengecap nikmat syurga?"
Jangan pernah jemu untuk bangkit. Kerana itu kuncinya.
Kebangkitan
Bangkit itu suatu kewajiban. Kerana terus terlantar itu maknanya rela untuk masuk neraka. Ingat, kita masih hidup, dan selagi itu kita punya masa. Bila harus kita bangkit kembali? Sekarang juga. Sementara kita masih punya masa.
Jangan pernah kecewa. Ramai yang berdoa ketika membaca Al-Ma'thurat, agar Allah memberikannya iman yang sempurna, hati yang khusyuk dan segala ciri-ciri keimanan yang indah. Namun seharian kita masih lagi sukar berubah dan bergelumang dengan karat kejahiliyahan. Jangan pernah putus asa.
Kerana apabila manusia berdoa meminta sesuatu yang diinginkannya, Allah sebaliknya memberikan manusia apa yang diperlukannya di saat itu. Kerana Allah lebih tahu, dan Dia Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh hamba-hamba-Nya.
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:216]
Mungkin Allah inginkan kita berlatih. Allah ingin kita jadi kuat. Allah ingin kita mampu menyelesaikan masalah yang kita hadapi ini sendirian. Kerana kelak kita perlu membimbing seseorang yang mengalami masalah yang sama. Percaturan Allah siapa yang tahu?
Menyikapi Kepayahan Kebangkitan
Kita perlu proaktif. Nabi berpesan:
"Seorang mukmin tidak terjatuh ke dalam lubang yang sama dua kali."
Logiknya seseorang akan terjatuh ke dalam lubang yang sama kerana dia tidak pernah ambil kisah akan kejatuhannya. Dia tidak pernah ingin berjalan tanpa terjatuh lagi. Sebaliknya, jika kita tahu akan kewujudan lubang itu, maka kita perlu proaktif mencari jalan lain untuk menyelamatkan diri.
Aplikasinya perlu dari sekecil-kecil tertinggal solat subuh berjemaah sehingga sebesar-besar keterlanjuran berzina. Cari puncanya, selesaikan sampai habis.
Penutup
Suka atau tidak, pilihan yang ada untuk selamat hanyalah bangkit kembali. Tetap tersungkur pasti bukan pilihan. Sukar? Tiada apa yang mudah untuk mendapat syurga. Kerana itu adalah bayarannya.
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:214]
Bersabarlah, bersemangat, dan teruskan bangkit kembali. Sesungguhnya pertolongan Allah itu pasti tiba.
Share
2 comments:
insyaAllah! bangkit!
jazakallah dik...
itu...
suria perkasa hitam....!
insyaAllah..
Pertemuan semalam walaupun sekejap tapi terasa bermakna bagi ana..Jumpa saja sdh membuatkan diri bersemangat..
Kembali bangkit..=)
Post a Comment