Cerpen : Malam Ke-29
Assalamu'alaikum WBT...
Ramadhan semakin meninggalkan kita. Kini ramai yang sedang berusaha mencari malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.
Lailatul Qadar.
Jadi saya nukilkan sebuah cerpen khas untuk kita yang memburu Lailatul Qadar. Semoga bermanfaat sebagai muhasabah kita atas hari-hari yang telah kita lalui
Terimalah :
Share
Ramadhan semakin meninggalkan kita. Kini ramai yang sedang berusaha mencari malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.
Lailatul Qadar.
Jadi saya nukilkan sebuah cerpen khas untuk kita yang memburu Lailatul Qadar. Semoga bermanfaat sebagai muhasabah kita atas hari-hari yang telah kita lalui
Terimalah :
Malam Ke-29
"Aku nak jumpa malam Lailatul Qadar!"
"Yang kau menjerit-jerit ni kenapa? Dahlah salah sebut!" Rashid berteriak.
"Ops, tak perasan pula kau ada di situ. Eh, apa yang aku salah sebut?"
"Lail tu maksudnya malam. Kalau sebut Malam Lailatul Qadar maksudnya Malam Malam Al-Qadar. Salah!"
"Owh, habis tu nak sebut macam mana?"
"Sebut je Lailatul Qadar. Senang."
Dia tersenyum sendirian mengenangkan peristiwa tersebut. Awal-awal dia mendengar tentang malam yang lebih baik daripada 1000 bulan itu amat menggembirakannya. Beria-ia sungguh dia ingin mencari malam tersebut. Hampir setiap rakan di asramanya diberitahu akan niatnya itu.
Namun kemudian dia kembali bermuram. Malam ini dia banyak termenung. Al-Quran yang ada di atas rehal dibiarkan terbuka. Surah Al-Jinn berada di muka kiri. 10 muka surat lagi untuk menghabiskan juz 29. Rencananya malam ini dia akan menghabiskan juz ke-29 dan esok dia akan mengkhatamkan bacaannya. Memang disiplinnya untuk mengkhatamkan Al-Quran pada setiap ramadhan. Sehari satu juz. Bermula sejak tingkatan 1. Suasana sekolah asramanya memang menggalakkan budaya mengkhatamkan Al-Quran sepanjang ramadhan.
Dia terus termenung. Ada sesuatu yang bermain dalam fikirannya. Masjid di penghujung ramadhan terus sepi. Barangkali ramai yang sudah pulang ke kampung halaman. Hanya dia seorang sahaja yang beriktikaf pada malam tersebut. Fikirannya kembali menerawang ke masa silam.
"Aisyah, Ibnu Umar dan Anas r.a meriwayatkan: "Adalah Rasulullah SAW beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan" Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Hadis sahih. Kita harus menghidupkan 10 malam terakhir dalam bulan ramadhan dengan beriktikaf di masjid. Ini merupakan sunnah Rasulullah SAW. Tetapi ramai orang yang sudah tinggalkan sunnah ini. Pernah dulu saya beriktikaf bersama anak-anak di masjid kawasan saya, tiada orang lain. Hanya kami bertiga. Lagi 10 minit sebelum subuh baru nampak kelibat bilal. Kita kena hidupkan semula sunnah ini. Lagipun, dengan beriktikaf, lebih mudahlah kita nak berjumpa dengan Lailatul Qadar!" Ustaz Malik berceramah dengan penuh semangat.
'Owh, nampaknya aku kena mula hidupkan sunnah iktikaf. Baru lebih peluang untuk berjumpa dengan Lailatul Qadar!' Getus hatinya.
Lalu seperti biasa, habis dicanangnya niatnya itu kepada teman-temannya. Hampir semua pelajar lelaki tingkatan 3 yang ditemuinya diceritakan tentang hal itu.
"Yelah, pergilah iktikaf." Kata seorang temannya.
"Kalau kau nak pergi ajak aku ya." Balas teman yang lain.
"Woi! Kau cuba cakap perlahan-lahan sedikit! Aku tak pekaklah! Nak iktikaf pergi sahajalah! Tak payah bising-bising!" Rashid berteriak.
Dia tersengih-sengih sendirian. Memang Rashid selalu geram kepadanya kerana suaranya yang nyaring. Bercakap dengan orang yang jaraknya sedepa seperti melaung sejauh gelanggang bola keranjang.
Dia tersenyum lagi.Hatinya bermonolog, 'Apa yang sedang dilakukan oleh Rashid saat ini agaknya? Tidurkah?' Kawannya itu tidak pernah mengikutnya beriktikaf di masjid sekolah. Mungkin qiamullailnya di bilik sahaja.
Kembali dia termenung. Masih memikirkan sesuatu. Masih ada yang tidak beres dalam fikirannya. Sesuatu yang kelihatannya mengecewakan. Lalu dia kembali menyambung tilawahnya. Ayat demi ayat dibacanya. Namun baru sahaja sampai ke ayat 7, dia terhenti. Hilang 'mood'. Al-Qurannya diketepikan. Dia memandang ke arah dinding di hadapannya. Jam elektronik dengan LED merah menunjukkan waktu 2:52AM. Dia mengeluh.
"Agakmya ada peluangkah aku bertemu dengan malam istimewa itu. Dah 5 tahun aku cari. Masih tak jumpa. Huh~"
Tiba-tiba dia mendengar seseorang membaca Al-Quran. Dia tahu surah apa yang dibaca. Surah Yusuf, ayat 53. Permulaan juz 13. Muka surat itu dihafalnya ketika memasuki pertandingan hafazan tahun lepas. Setiap peserta diberikan satu muka surat untuk dihafal, dan dia mendapat muka surat 242.
Dia mencari-cari pemilik suara itu. Sepertinya suara itu datang daripada dalam masjid. Setelah habis separuh muka surat, kedengaranlah suara tersebut bertakbir. Lalu dia terlihat kelibat seseorang yang sedang rukuk di bucu kiri belakang masjid.
'Ada orang solat rupanya. Merdu betul bacaanya. Dia hafal quran ke? Tak nampak pegang Al-Quran pun?' Dia bermonolog dalam hati.
Dia terus memerhatikan lelaki tersebut. Dia memakai jubah putih. Rambutnya hitam, tidak berketayap. Gerak gerinya amat tertib. Tidak bergerak-gerak. Setelah bangkit daripada sujud lelaki tadi melantunkan Surah Al-Fatihah mirip bacaan Imam Saad Al-Ghamidi. Imam kegemarannya. Dia terus merenung lelaki tersebut. Terasa bagai ada sesuatu yang membuatnya tertarik akan lelaki tersebut. Dia tidak tahu apakah itu. Dia terus merenung. Setelah selesai melantunkan Al-Fatihah, lelaki tadi kembali menyambung bacaan Surah Yusuf. Ayat 59 sehingga 63. Dia terus merenung. Ketika lelaki tersebut memberi salam, dia mendekatinya.
"Assalamu'alaikum bang."
"Wa'alaikumussalam." Lelaki itu menjawab dengan tersenyum. Indah. Terpancar ketenangan.
"Maaf ye mengganggu. Abang orang baru di sini? Saya rasa tidak pernah nampak abang solat di masjid ini."
"Abang bukan orang sini." Jawabnya pendek. Masih tersenyum.
"Saya dengar abang baca Surah Yusuf tadi. Abang hafal Al-Quran ke?"
Lelaki tersebut hanya tersenyum dan mengangguk. Dari dekat, kekemasan pakaian lelaki itu semakin terserlah. Tiada langsung kedut kelihatan. Rambutnya yang hitam tersisir rapi. Wajahnya tampan, putih bersih. Kelihatan seperti wajah kacukan Arab. Namun fasih berbahasa melayu.
'Dia tak banyak cakap, tengah mengulang hafalan agaknya. Baik aku jangan kacau dia.' Fikirnya.
"Er, bang, saya nak minta tolong boleh? Abang iktikaf di sini kan?"
"Ya, abang iktikaf di sini. Adik nak minta tolong apa?"
"Saya mengantuklah. Tolong kejut saya pukul 4.30 nanti boleh?"
"Boleh, insya-Allah. Nanti abang kejutkan."
"Okay. Saya tidur di beranda masjid itu ya bang," sambil menundingkan jari telunjuknya ke arah beranda masjid.
Lalu dia bergerak meninggalkan lelaki tersebut dan terus bebaring di beranda masjid. Namun matanya tidak terus terlelap. Dia masih memikirkan masalahnya yang sedari tadi. Malam yang lebih baik daripada 1000 bulan yang dicari-carinya.
'Bila agaknya aku nak jumpa malam itu ya?'
Sambil melelapkan mata dia terdengar suara bacaan Al-Quran. Dia menjeling ke arah tempat lelaki tadi. Kelihatan lelaki tersebut sedang solat. Menyambung bacaan Surah Yusuf. Dia masih kagum dengan lelaki itu. Hafiz Al-Quran, tampan, kemas, sopan-santun dalam berbicara. Sempurna!
'Siapa dia ya?'
Lalu perlahan-lahan matanya tertutup. Dia terlena.
"Adik, bangun. Dah pukul 4.30 ni." Lelaki itu bersuara sambil menepuk-nepuk bahunya. Dia terus membuka matanya dan bangkit dari perbaringannya. Terkebil-kebil memandang lelaki tersebut. Lelaki itu hanya tersenyum.
"Abang tak tidur ke?" Tanyanya sambil menenyeh-nenyeh matanya kanannya.
Lelaki itu hanya tersenyum. Tidak mengangguk atau menggeleng.
'Abang ni asyik senyum je. Tapi aku suka tengok dia senyum. Lapang hati aku.'
Anak matanya hanya memerhati lelaki tersebut meninggalkannya. Dia lalu bergerak untuk membasahkan anggota badannya untuk berwudhuk. Lalu solat tahajjud didirikan 2 rakaat. Kering. Terasa hambar solatnya. Dia merasakan malam itu sama sahaja seperti malam-malam ganjil tahun sebelumnya, tiada perubahan. Mindanya pesimis mengatakan malam itu bukanlah malam yang dicari-carinya. Dan mengikut fikirannya, sudah tiada peluang lagi untuk bertemu dengan malam tersebut. Ini malam yang ke-29.
'Kenapa aku masih tak dapat jumpa Lailatul Qadar ya?'
Lalu dia menadah tangannya untuk berdoa.
"Ya-Allah, sudah lama kucari malam yang pernuh berkat itu, namun sehingga kini masih tidak berjumpa. Hampir setiap malam ganjil aku hidupkan. Hampir setiap ramadhan aku beriktikaf di masjid. Kumohon agar kali ini Kaupertemukanlah aku dengannya. Agar tertunai segala hajatku. Agar tercapai segala impianku. Amiin..." Suaranya perlahan.
"Adik tengah fikir apa? Dari semalam abang tengok adik macam ada masalah je? Ceritalah, mungkin abang boleh bantu."
"Erm, abang pernah jumpa Lailatulqadar?"
"Macam mana kita nak tahu yang kita dah jumpa Lailatul Qadar?" Lelaki itu kembali bertanya.
"Mungkin dapat tengok pokok sujud ke, rasa air macam ais ke, nampak benda-benda pelik ke,"
Lelaki itu tersenyum seketika mendengar ungkapannya.
"Siapa kata kalau kita nampak benda-benda tu tandanya kita dah bertemu dengan Lailatul Qadar?"
Soalan itu membuatkan dirinya berfikir. Sebenarnya apa yang akan berlaku pada malam Al-Qadr itu?
"Entahlah bang, selama ini semua orang cakap macam tu."
"Adik pernah jumpa dengan orang yang pernah jumpa Lailatul Qadar? Apa yang mereka nampak?"
"Tak pernah."
"Jadi, kenapa kita tunggu tanda-tanda itu? Sedangkan kita pun tak tahu apa yang akan berlaku pada malam itu. Yang penting kita sahut seruan Rasulullah SAW; mencari malam Lailatulqadar itu pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Tapi apa yang abang nampak sekarang, orang ramai dah salah cari."
"Salah cari? Maksud abang?"
"Apa tujuan kita beribadah? Untuk cari redha Allah atau untuk cari Lailatulqadar?"
Soalan itu bergema dalam gegendang telinganya. 'Untuk apakah ibadahku selama ini?'
"Kalau ditanya semua orang akan jawab, untuk cari redha Allah. Tetapi hakikatnya yag dicari adalah malam itu semata-mata. Buktinya, berapa ramai yang hanya iktikaf pada malam-malam yang ganjil sahaja? Membaca Al-Quran dan membanyakkan ibadah sunat hanya dalam bulan ramadhan sahaja? Habis sahaja ramadhan atau dengar sahaja sudah ada orang berjumpa dengan Lailatulqadar, dia terus tak bersemangat untuk beribadah lagi."
Dia terdiam mendengar penjelasan lelaki tersebut. Semua yang diperkatakan itu adalah dirinya sendiri!
'Ya-Allah, teruknya aku! Selama ini aku hanya berusaha mencari Lailatulqadar, bukannya redhaMu. Aku hanya iktikaf pada malam-malam ganjil sahaja. Malam yang lain aku tidak hidupkan.' Ucap hatinya lirih.
"Tetapi yang lebih menyedihkan adalah apabila manusia menjadikan Allah hanya sebagai alat untuk mencapai matlamatnya, bukannya Allah yang menjadi matlamat hidupnya."
"Maksud abang?"
"Adik rasa-rasa kenapa ramai orang nak sangat cari Lailatulqadar? Kenapa ramai orang berdoa? Kenapa ramai orang buat solat hajat?"
Sekali lagi dia terdiam. Hatinya berdebar-debar menantikan jawapan lelaki tampan itu.
"Kalau adik perhatikan, orang-orang sekarang kebanyakannya cari Allah sebab mahu dipenuhi hal-hal dunianya. Berdoa dan beribadah bersungguh-sungguh apabila ditimpa kesusahan, ada masalah perniagaan, nak naik gaji, bila nak ambil SPM, bila nak minta kerja. Bila dah dapat semua itu, mereka terus lupa kepada Allah. Terus lupa beribadah. Ingat Allah suka apa yang mereka buat?"
Lalu lelaki itu melantunkan ayat ke-12 daripada Surah Yunus dan membacakan maksudnya.
Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan. [Q.S. Yunus, 10:12]
Allah kata mereka melampaui batas."
Terasa bagaikan halilintar menyambar jantungnya. Perasaannya gundah-gulana. Dia merasakan ayat tersebut tepat mengenai batang hidungnya. Rasa bersalah dan takut tiba-tiba merasuki setiap relung jiwanya. Lalu gugurlah airmata sulungnya buat ramadhan itu. Air mata keinsafan.
'Ya-Allah, hinanya aku...'
Dia mula menangis teresak-esak. Ditekupkan mukanya ke lutut sambil tangannya merangkul kedua lututnya. Hatinya begitu tersentuh dengan ayat yang dibacakan lelaki itu. Terasa sia-sia amalnya selama ini.
"Adik, ingat tujuan kita diciptakan. Hanya untuk mengabdi kepada Allah. Wamaa Kholaqtul jinna wal insa illa li ya'budun. Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdi kepadaku. Ingat semua nikmat-nikmat yang dikurniakan kepada kita. Allah tak minta apa-apa balasan melainkan kita mentaati perintahNya." Lelaki itu menjelaskan maksud ayat ke 56 daripada Surah Az-Zariayat sambil mengusap-ngusap bahunya yang terhinut-hinjut menahan tangis.
"Sesungguhnya jika kamu menyembah Lailatulqadar, ketahuilah bahawa lailatulqadar hanya ada ketika ramadhan dan ramadhan akan berlalu. Tetapi jika kamu menyembah Allah, maka ketahuilah bahawa Allah itu ada pada setiap masa, di manapun kita berada. Carilah lailatulqadar itu pada setiap malam." Lelaki itu meneruskan kata-katanya sambil mengalihkan tangan dariapda bahunya.
"Insya-Allah abang. Terima kasih banyak. Saya sedar kesilapan saya selama ini." Dia berkata dengan mukanya yang masih ditekup. Malu untuk mengangkat mukanya yang dirasakan penuh dosa.
"Saya insaf, selama ini saya hanya beribadah bukan untuk cari redha Allah, tetapi untuk kejayaan dunia semata. Sebenarnya saya nak sangat jumpa lailatulqadar kali ni pun sebab nak minta supaya dapat 11A dalam SPM. Saya akan ubah diri saya, insya-Allah."
"Eh, kamu tengah bercakap dengan siapa tu?" Tiba-tiba suatu suara garau bertanya dari arah kirinya. Spontan dia mengangkat wajahnya. Kelihatan bilal masjid sedang berdiri di samping kirinya.
"Saya bercakap dengan..." sambil memandang ke kanan, kata-katanya terhenti. Darahnya berderau. Lelaki tadi sudah tiada!
"Dengan siapa?" tanya bilal.
"Dengan abang yang pakai jubah putih di sebelah saya tadi."
"Dari tadi pakcik tengok kamu duduk seorang diri sahaja di sini. Mana ada orang lain."
Dia semakin pelik. 'Mana abang tadi? Tiba-tiba hilang?'
"Saya mengigau kut pakcik. Maaflah menyusahkan pakcik sahaja."
Bilal itu menggeleng-gelengkan kepala sambil berlalu pergi.
'Aku mimpi ke tadi? Tak mungkin! Aku rasa betul dia ada di sebelah aku. Semuanya memang benar-benar terjadi!' Jerit hatinya. Dia segera bangkit dan mencari kelibat lelaki tampan tadi. Seluruh pelusuk masjid dicarinya namun kelibat lelaki tadi tidak kelihatan.
"Ya-Allah, apakah ini jawapan bagi doaku?" Lalu air matanya mengalir. Dia merasakan dia telah menemui sesuatu jauh lebih berharga daripada apa yang digambarkannya selama ini. Hidayah Allah.
"Ya-Allah, ampunilah segala kesilapanku selama ini. Bantulah aku untuk memurnikan ibadah dan ketaatanku hanya untuk meraih redhaMu. Berikanlah peluang untuk aku memanfaatkan ramadhan yang tersisa ini untuk mencari redha dan keampunanMu."
Lalu azan subuh berkumandang. Air matanya terus menjadi saksi di pagi ke-29 Ramadhan.
11 comments:
salam..cerpen yang menarik..syukran akhi, moga kita beramal kerana Allah semata..
salam, alhamdulillah, terpancar ketenangan di wajah ikhwah2 UTP yang bermalam di masjid tronoh, moga terus terpancarlah sinar iman walau dah habis Ramadhan.
erk..!! insafnya saya..
dah saat raya nie, ibadat makin kurang plak..oh!
cerpen yg baik..
memang masa jahiliah dulu, pernah gak terfikir camtu. nak tunggu ade keajaiban baru nak ibadah.
rugi la jadinya.
btw, jzkk..
To All:
Semoga kita terus memperbaiki diri
Doakan agar Ramadhan serta ibadah kita di dalamnya diredhai dan diberkati serta diterima olehNya..
Amin ya robb...
lps bace rase mcm terubat luka d hati selama ni..
Smoga Allah menerima taubat kita semua..
lillahita'ala...
InyaAllah...
Ya ALLAH...indahnye cerpen nie.
simple tp sgt mnyntuh hati..
trime kasih sbb sudi share..
keep up d gud work umair!
Mantaaapp
Maannntaaaap
ohoi... dah lame xde cerpen, skali kluar standad best seller plak.
barakallahufiq akh.
mohon share ye.
Post a Comment