Sep 19, 2010

Tazkirah : Ikhlaskan Semuanya

Imam Malik pernah mengatakan, "Apa yang aku inginkan hanyalah keridhaan Allah SWT. Apa yang kutuliskan dalam buku itu, aku anggap seperti membuang sesuatu ke dalam sumur."

Sungguh dahsyat kata-kata Imam Malik tersebut. Perkataan itu beliau ucapkan saat sedang berpeluh dan keletihan menuliskan lembar demi lembar kitab Al-Muwattha' yang berisi lebih daripada 10 ribu hadis yang menjadi sumber hukum fiqh. Kemudian, kitab tersebut menjadi ruukan ilmu fiqh yang sangat penting bagi para ulama setelahnya.




Kedahsyatan kata-kata Imam Malik itu terletak pada perkataannya bahawa apa yang beliau lakukan adalah ikhlas semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Imam As-Sayuti meriwayatkan, pada suatu ketika Imam Malik pernah ditanya, "Untuk apa engkau menuliskan kitab itu?" Imam Malik menjawab, "Sesungguhnya sesuatu yang dikerjakan untuk Allah itu akan abadi." Mathraf bin Abdullah An-Nisaburi, sahabat Imam Malik pernah bercerita bahawa Imam Malik ada bertanya kepadanya, "Apa komentar orang tentang Al-Muwattha' yang aku tulis?" Dia menjawab, " Mereka ada yang menyukainya dan ada yang membencinya." Imam Malik lalu mengatakan, "Jika engkau diberikan usia yang panjang, nescaya engkau akan melihat apa yang dikehendaki Allah dari kitab itu."

Saudaraku sekalian,

Tahukah kita, bahawa selama berpuluh malah beratus tahun setelah itu, Kitab Muwattha' Imam Malik dikagumi banyak ulama. Imam Abdurrahman bin Mahdi bahkan perah memuji kitab Muwattha, "Kami tidak mengenal satu kitab dalam Islam setelah Kitabullah yang lebih baik daripada kitab Muwattha' Malik." Imam Asy-Syafi'i bahkan mengatakan, "Tiada kitab yang lebih bermanfaat setelah Kitabullah daripada Kitab Muwattha yang ditulis oleh Imam Malik rahimahullah." (At-Tamhiid li Abdil Barr, 1/77)

Ada banyak juga kitab-kitab Muwattha' selain Muwattha' Imam Malik, yang ditulis oleh ulama setelahnya. Tetapi tiada yang tebalnya setebal Muwattha' Imam Malik. Dan yang paling penting, kitab-kitab Muwattha' selain karya Imam Malik tidak lama beredarnya, atau tidak beredar sama sekali.

Apa rahsianya?

Menurut Imam Abdul Barr, rahsia di sebalik kelestarian manfaat kitab Muwattha' Imam Malik kembali kepada niat awal saatnya menuliskan helaian demi helaian kitab tersebut sebagaimana yang dikatakannya,

"Sesuatu yang dilakukan kerana Allah itu akan abadi."

Itulah yang kemudiannya disimpulkan oleh Imam Abdul Barr, bahawa semua perbuatan yang dilandasi keikhlasan kerana Allah SWT semata, ia akan bermanfaat dan tidak mudah hilang.

Sekarang mari kita muhasabah.

Setiap kali kita ingin melakukan sesuatu amal, apa yang menjadi pertimbangan kita?

Apa orang kata nanti ya?

Kita mengambil faktor 'apa kata orang' untuk sesuatu amal kerana Allah!
Lalu lihatlah hasilnya. Usaha kita manfaatnya kecil, bahkan mungkin tiada langsung. Pengorbanan kita banyak, namun hasilnya tiada. Mana silapnya?

NIAT!
IKHLAS!



Sejauh mana kita telah memeliharanya?

Tepuk dada tanya iman!


Ikhlaskanlah semuanya. Luruhkan semua lintasan niat bukan untuk Allah yang ada dalam hati untuk melakukan semua pekerjaan. Biarkan semua peluh, usaa dan kepayahan yang telah dan sedang kita lakukan saat ini, hanya untuk Allah SWT. Benar-benar untuk Allah SWT.

~End Of Post~
Share

1 comments:

Unknown April 23, 2017 at 9:02 AM  

Terima kasih banyak Manfaat saya dapat

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP