Sep 21, 2010

Istimewa : Shoutul Ikhwah

Post ini sungguh istimewa.
Mengapa?
Ini adalah nukilan permulaan yang mencecah 3 digit bagi blog ini.
Ya, ini adalah post ke-100 buat Shoutul Ikhwah.
Alhamdulillah, sungguh hanya kepada Allah SWT sahajalah dipanjatkan segala puji dan syukur.



Saya dan Shoutul Ikhwah

Idea Shoutul Ikhwah ini diambil daripada kumpulan nasyid semasa saya di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu,SMAPL dahulu, Shoutul Jihad. Kumpulan nasyid yang saya amat membanggakan SMAPL. Namanya yang unik membuatkan saya tertarik untuk mengabadikannya sebagai nama blog ini. Semoga Tema blog ini : Ukhuwwah Islamiyyah, Bonded by Aqidah akan menjadi kekuatan kita semua. (saya bukan lelaki di sebelah kanan di dalam banner itu ya. =P)

Saya dan Penulisan

Saya tidak pernah terfikir saya akan menulis sehingga ke tahap ini. Sungguh, ia adalah percaturan Allah SWT yang amat tersusun lagi indah. Saya mula menulis artikel pertama dengan tajuk 'Ber'couple' Haram' yang kemudiannya disebarkan dengan tajuk 'Nak Ber'couple' Boleh Tak?' yang menimbulkan banyak kontroversi apabila disebarkan dalam internet. Kebanyakkannya saya post secara rambang dalam group-group di friendster (kalau anda masih ingat apakah itu friendster, =P).Namun pembaca semakin celik, mereka yang masih memperdebatkan hal ini hanyalah mereka yang ingin menegakkan benang yang basah. (^_^)v

Lalu pada suatu hari, pada tahun 2007 saya terbaca sebuah post di ruangan belutin Friendster (sekali lagi, kalau anda masih ingat apakah itu friendster, =P). Seseorang menceritakan yang dia putus cinta dan memandang kepada kekasihnya dan bermonolog, "Awak, hari ini saya pandang awak, tapi awak tak pandang saya.."(lebih kurang macam itulah). Post yang membuatkan saya geli-geleman satu badan. Lalu secara spontan saya mencoretkan pengalaman saya pula di belutin Friendster yang menjadi cerpen pertama saya, Untukmu. Tujuan mulanya sekadar bingkisan pengalaman, namun Allah berkehendak lain, ia terus mendapat sambutan sehingga akhirnya Freshie menawarkannya untuk dikomikkan. Lalu lahirlah Komik Untukmu.


Hampir separuh daripada cerpen-cerpen awal saya saya olah daripada pengalaman. Lalu terdengar komen, "Alah, tulis pengalaman sendiri semua orang boleh. Tulisan macam itu tidak boleh berkembang!" Saya mula berfikir-fikir. Lalu saya rujuk kepada penulis di dalam keluarga saya, datuk saya sendiri, Hj. Ismail bin Ahmad. Dia lebih dikenali sebagai AJIKIK. Dan dari sana saya mula tersedar, saya bukan secara tiba-tiba suka menulis. Ia adalah anugerah Allah melalui keturunan. Dan cerita datuk saya mula menulis juga sama seperti saya. Mecoret pengalaman sendiri yang diolah. Lalu ia berjaya diterbitkan di dalam majalah dan akhbar. Subhanallah, memang segalanya percaturan Allah yang amat indah.

Allah Mematangkan Saya Melalui Shoutul Ikhwah

Alhamdulillah, menguruskan blog ini benar-benar mematangkan saya. Matang daripada pelbagai sudut. (Walaupun ramai yang masih mengatakan saya tidak matang, =P) 

Mengenal Bloggers

Saya mengenali begitu ramai orang-orang yang menyebabkan wawasan fikiran saya semakin terbuka. Tulisan-tulisan daripada blogger lain mencambahkan corak pemikiran saya. Blogger-blogger seperti Ustaz Hasrizal membuka minda saya dalam memandang kehidupan dan corak dakwah. Blognya banyak memberi kesan dalam hidup saya.
Ustaz Hasrizal dan keluarga (Pinjam gambar ye ustaz..)

Namun yang saya akui paling saya kagumi adalah Hilal Asyraf. Saya akui, corak penulisan cerpen saya banyak terpengaruh olehnya. Cerpen pertama Hilal yang saya baca adalah Menjemput Bidadari. Tidak pernah terfikir untuk melakar cerpen berinspirasikan bait-bait lagu. Sahinggalah saya menulis dua cerpen yang bertemakan bait lagu, Kupinang Engkau Dengan Al-Quran dan Menunggu Di Sayup Rindu.

Hilal Asyraf, penulis yang dikagumi, lawati beliau di blognya Langit Ilahi

Dinasihati Pembaca

Saya banyak ditegur oleh para pembaca. Terutamanya dalam kalangan ikhwah dan akhwat sendiri. Banyak nasihat anda yang kembali meluruskan niat dan cara saya dalam menjalani hidup dan berkarya. Tanpa anda siapalah saya. Kepada pembaca-pembaca setia, teruskan memberi masukan. Setiap komen adalah bermakna, insya-Allah. (kecuali komen-komen spam yang menyemak, terutamanya di shoutbox. Betul-betul menyemak!)

Ikhwah-Ikhwah Tercinta Yang Masih Bersama

Yang paling membahagiakan adalah saya dikurniakan saudara-saudara seperjuangan yang amat membantu perjalanan dakwah dan tarbiyah saya. Tanpa mereka rasanya saya tidak akan pergi sejauh ini.

Ikhwah-Ikhwah UTP dan di sekitarnya yang tercinta, Akh Fakhrullah Mawardi, Akh Zainul Ariffin, Akh Khozafi, Akh Azahar, Akh Zikri, Abu Muhammad, dan lain-lain yang tidak sempat disebutkan di sini. Juga buat ikhwah-ikhwah di medan-medan lain yang sentiasa terus-menerus memperjuangkan dakwah dan tarbiyah, ana sayang antum semua.

Bersama Akh Fakhrullah, terkenang saat hanya tinggal kita berdua sahaja dahulu. (T_T)

Hidup saya adalah untuk Dakwah dan Tarbiyah. Dan untuk itu muncullah kalian. Maka, kalianlah hidup saya. Tiada maknanya hidup tanpa kalian. Tidak akan ana tinggalkan antum melainkan dua hal, kematian dan urusan dakwah. Insya-Allah.

Buat yang sudah tidak bersama, biar apapun alasan serta tragedi yang menimpa, semoga terus mengekalkan keaslian dakwah dalam apapun bentuk yang diikuti.

Masa Untuk Muhasabah

Ini post yang ke-100.
Blog ini baru ada 100 post. Tiba saatnya untuk memuhasabah diri. Sebelum lebih banyak yang akan diperkatakan nanti.

Sejauh mana telah diri ini memanfaatkan setiap ruang dan waktu untuk dakwah kepada Allah?
Sejauh mana telah diri ini menepati apa yang disampaikan dan diperkatakan?
Sebersedia apakah diri untuk menghadapi saat-saat seterusnya?
Sekuat apakah diri untuk memimpin diri serta mereka-mereka yang disayangi menuju syurga Ilahi?

Doakan saya terus istiqomah, kuat dan berjuang semata-mata untuk mencari redha Allah.
Doakan agar Shoutul Ikhwah akan terus memberikan manfaat sebanyak-banyaknya buat umat.
Semoga Allah redha dengan kita.

Tiada yang lebih indah daripada mendapat redha Ilahi. Seindah apapun sesuatu itu dalam pandangan manusiawi, tanpa redha Ilahi, ia hanyalah sia-sia.


~End Of Post~
Share

10 comments:

sherasan September 21, 2010 at 9:59 AM  

banyak sebenarnya pengisian yang boleh dibaca di sini..tak sia-sia singgah di sini..teruskan.

fArhAnA September 21, 2010 at 10:01 AM  

dulu waktu saya menulis untuk post yang ke 100 pun saya punya psoalan yang sama. adakah kita benar2 manfaatkan medium dakwah ni?

sama2 kita muhasabah..

Al-Harith Agrobusiness (AHA) September 21, 2010 at 10:10 AM  

Tiada kata indah seindah kata ukhuwwah,
Dalam sebuah jalinan persaudaraan Islam,
Jalinan yang abadi di sisi Tuhan,
Berawal dari sebuah perkenalan,

Semai tumbuh mekar berbatang serta berdahan,
Berhiaskan ranting dan rerimbun dedaunan,
Kekuatan cinta suci karena Tuhan,
Damai kalbu sejuk terasa indah dipandang,

Rasulullah mengajarkan tentang erti kata cinta,
Yang harus diungkapkan pada sahabat atau saudara,
Dengan kata-kata indah yang terungkap dari lisan,
Seindah yang terpendam di dalam kalbu,

Di altar bandara Hussain Sastra Negara,
Kutemukan kurasakan sebuah fenomena cinta,
Ku sadari sepenuhnya cinta adalah rahmatnya,
Yang harus dijaga dan dipelihara,

Allah kuatkanlah serta lihatkanlah,
Agar cinta berbuahkan payung-payung perlindungan,
Di hari Kiamat di hari tiada naungan kecuali dengan izin Mu,

Ku nantikan janji Mu,
Ku berharap pada Mu,
Ku berada di antara tujuh golongan yang kau lindungi,
Tempatkanlah diri ku,
Dudukkanlah diri ku,
Di atas mimbar yang terbuat dari cahaya Mu....

amaat,

Ana persembahkan lagu ini untuk semua ikhwah-ikhwah yg tetap sabar menunggu pertolongan Allah dengan penuh rasa yakin dan tetap teguh dalam keyakinannya. Terutama kepada si pemilik blog ini (..) Umair, tahniah kerana sudah punya post ke 100.......

Walid Hafizul September 21, 2010 at 10:38 AM  

semoga tulisan anta menyumbang banyak manfaat untuk ummat

FRESHIE September 21, 2010 at 3:29 PM  

SYABAS. 100 sekarang, beratus-ratus lagi pd ms akan dtg insyaAllah. Moga penulisan bukan hanya sekadar di blog dan bukan dijana atas asbab ramainya Followers dan pujian2 yg mereka taburkan.

umairzulkefli September 21, 2010 at 4:29 PM  

Jazakumullah khair kepada semua.
Doakan ana terus tsabat.

Tanpa antum semua siapalah ana

FRESHIE September 21, 2010 at 5:59 PM  

Tanpa Allah, antum bukan sape2

stekiyo September 21, 2010 at 11:06 PM  

salam.
syabas shoutul Ikhwah. semoga anta terus tsabat dlm meneruskan rantai2 perjuangan Rasulullah walaupun terpaksa menempuh pelbagai duri rintangan.
InsyaAllah kalau kita menolong agama Allah, Allah akan menolong kita.

madihah November 5, 2010 at 5:03 PM  

alhamdulillah..semoga kita semua kekal dalam rahmatNYA..amin

Izzaty Fairoz November 27, 2014 at 11:01 PM  

shoutul ikhwah sangat menarik... sejak sahabat saya kenalkan saya dengan planner ni. saya dah xbeli planner diluar. saya mencadangkan untuk shoutul ikhwah mengembangkan lagi usaha. bukan setakat menerbitkan planner malah menerbitkan calender meja dan macam2 lagi. saya boleh membantu untuk membuat design. :)
FB:- Zaty Fairoz

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP