Sep 13, 2010

Cerpen : Ramadhankan Hidupmu!

Ramadhan telah meninggalkan kita
Syawal yang tiba disambut bahagia
Namun apakah ramadhan kita diterima
Andai tidak bertaqwanya kita?

Sama-sama muhasabah. Mari kita baca cerpen ini. Semoga Allah redha dengan kita.
Terimalah :


Ramadhankan Hidupmu!



Subuh yang hening. Pintu bilik dikuak. Seorang yang berketayap putih masuk. Di atas katil ada seorang yang sedang tidur. 5 minit lagi masuklah waktu subuh.

"Di, bangun di. Dah nak subuh ni. Tadi aku kejut kau tahajjud kau tak bangun dah. Jom, kita pergi surau." Ramli mengejut.

Hadi hanya menggeliat-geliat kecil di atas katil. Tiada respon yang memberangsangkan. Lalu Ramli bergerak ke surau sendirian, membiarkan Hadi terus diulit mimpi.

Sepulangnya Ramli dari surau, Hadi baru sahaja bangun. Sedang mengambil wudhuk di dalam kamar mandi. Lalu menunaikan solat bersendirian. Ramli membaca Al-Ma'thurat seperti rutinnya. Tidak beberapa lama kemudian Hadi turut menyertai dan menghabiskan bacaan bersama-sama.

"Li, aku tak tahulah kenapa. Sekarang susah betul nak bangun subuh. Tahajjud apatah lagi. Masa ramadhan hari tu okay je. Tiap-tiap malam boleh bangun."

"Kau nak tahu kenapa?"

"Kenapa?"

"Sebab sekarang syaitan dah balik. Dulu dia sudah lama geram sebab kau terus-menerus buat ibadah tanpa gangguan. Sekarang dia tengah berusaha bersungguh-sungguh nak lalaikan kau semula."


"Betul juga kata kau. Habis tu, macam mana ni? Aku dah dua hari tidak dapat subuh berjemaah. Tahajjud jangan cerita la."

"Ulama'-Ulama' seperti Imam Asy-Syafie, Hassan Al-Basri dan Imam Ahmad bin Hambal mengatakan antara sebab-sebab seseorang terhalang daripada melakukan ibadah seperti bertahajjud adalah maksiat yang dilakukannya. Muhasabah diri. Daripada sekarang bertekad untuk bangun awal esok pagi. Hari ini cuba kurangkan makan, banyakkan baca Al-Quran. Sebelum tidur malam nanti, pastikan berwudhuk dan baca doa. Tidur mengiring ke kanan menghadap kiblat. Terus-menerus bayangkan yang kau akan bangun pukul 5 pagi untuk tahajjud."

"Mantap betul pesanan kau. Betul juga tu. Aku ingat pesan hadis qudsi yang dibahas dalam halaqoh hari tu, Inni 'ala zhonni 'abdi. "Sesungguhnya Aku adalah atas persangkaan hambaKu." Kalau kita fikir Allah akan bangunkan kita untuk tahajjud, insya-Allah kita akan bangun. Kan?

"Tepat sekali wahai ikhwahku yang mulia." Ramli berkata dengan senyuman melebar. Hadi turut tersenyum.

Jam menunjukkan 5:10AM. Hadi terjaga. Dia memandang ke sebelah. Kosong. Ramli telah bangkit terlebih dahulu. Tiba-tiba pintu bilik dikuak. Ramli masuk.

"Eh, kau dah bangun Di? Alhamdulillah."

"Em, alhamdulillah. Baru je. Tapi mengantuk lagilah."

"Sayang mana lebih? Allah ke tidur?"

"Mestilah Allah.." Hadi menjawab sambil menggosok-gosok matanya.

"Tahu pun. Kau pergilah bertahajjud dulu. Aku nak baca Al-Quran sekejap. Nanti kita pergi solat subuh bersama-sama."

Lalu Hadi turun bangkit daripada tilamnya menuju ke kamar mandi. Dalam hatinya bersyukur kerana Allah telah mengizinkannya untuk menjadi salah seorang yang dapat memilih untuk mencintai Allah lebih daripada tidurnya. Sesuatu yang hampir tidak dapat dipilih oleh kebanyakan remaja pada zamannya.

Surau ditujui dengan motorsikal Yamaha LC 135 milik Ramli. Surau taman itu dua tingkat. Tingkat bawah dijadikan tadika. Tingkat atas untuk jemaah menunaikan solat.


"Aik, sikitnya selipar yang ada? Semalam kau datang pun macam ni ke Li?"

"Haah, ni je la yang ada."

"Ni kita kena buat dokumentari nih. Ambil gambar tangga ni Sebelum Ramadhan vs Selepas Ramadhan. Habis semua tumpas dek syaitan nampaknya."

"Kita berbaik sangkalah. Mereka semua balik kampung agaknya. Ini baru Rari Raya ketiga."

"Habis, orang-orang sini yang anak-anak mereka pulang ke kampung ini tidak adakah?"

Ramli hanya mendiamkan diri. Ada betulnya juga kata-kata Hadi.

Solat Subuh pada pagi Ahad itu cukup sederhana. Baik bacaan imam mahupun kedatangan jemaah. Ahli jemaah cuma 7 orang. 7 orang lebih baik daripada tiada langsung. Selesai berdoa imam memberi tazkirah. Majlis dibuka dengan Surah Al-Fatihah.

"Setiap pekerjaan kita perlu ada matlamat yang jelas. Apabila telah ada matlamat, maka perlu ada cara strategi untuk mencapai matlamat tersebut. Barulah kita mampu melaksanakan sesebuah pekerjaan tersebut dengan jayanya." Imam muda itu memulakan tazkirahnya.

"Begitu juga halnya dengan ibadah. Terutamanya ibadah kita sepanjang Ramadhan yang baru sahaja berlalu. Kita berpuasa sebulan lamanya. Namun berapa ramai yang beribadah sesuai dengan matlamat benar dan strategi yang baik? Kamu, apa tujuan kita berpuasa?" Sambil memandang kepada Hadi.

"Er, nak cari redha Allah?"

"Dah namanya ibadah memanglah nak cari redha Allah. Ibadah kalau tak ada redha Allah buat apa. Sia-sia amal. Jawapan lain?"

"Er..er.." Hadi tergagap-gagap. Dia menyiku-nyiku Ramli di sebelahnya.

"Hah kamu, tolong dia." Imam memandang kepada Ramli.

Ramli lalu membacakan Surah Al-Baqarah ayat yang ke-183. Lalu dia membacakan maksudnya.

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.

"Jadi berdasarkan firman Allah SWT itu, tujuan kita berpuasa adalah untuk menjadi orang yang bertaqwa. Betul tak Imam?"

"Ahsanta! Tepat sekali. Jadi itu adalah matlamat ibadah sepanjang ramadhan kita, atau saya lebih suka menyebutnya 'Madrasah Ramadhan'. Saya nak tanya, kalau kita nak tahu sepanjang kita mengikuti sesuatu kursus motivasi atau seminar apa-apa, macam mana kita nak tahu sama ada kursus atau seminar itu berjaya atau tidak?"

"Kita lihat macam mana prestasi peserta tersebut selepas pulang daripada kursus." Hadi menjawab.

"Betul! Jadi, kalau para peserta yang pulang daripada kursus tersebut langsung tiada perubahan ataupun semakin huru-hara jadinya, apa yang boleh kita katakan tentang kursus tersebut?"

"Kursus tersebut tidak berjaya." Jawab seorang jemaah yang lain.

"Begitulah juga dengan Tarbiyah yang kita dapatkan daripada Madrasah Ramadhan. Sebulan kita melatih diri untuk berpuasa. Puasa dalam erti kata sebenar-benarnya. Tidak melakukan yang haram, melaksanakan ibadah sebanyak-banyaknya, menghidupkan malam-malam dengan qiamullail dan sebagainya. Jika objektif kita adalah untuk mewujudkan taqwa dalam diri, maka sepatutnya setelah ramadhan berlalu, semua kebaikan yang dilakukan dan keburukan yang ditinggalkan sepanjang ramadhan perlulah sama dalam bulan-bulan seterusnya. Baru tepat definisi taqwa, melakukan semua perintah, meninggalkan semua larangan."

"Macam mana kalau orang yang tidak ada apa-apa perubahan tu Imam?"

"Kasihan mereka. Mereka tergolong dalam orang-orang yang celaka!"

Diriwayatkan dari Ka'ab bin Ujrah RA, dia berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, Datanglah kamu ke mimbar". Kemudian kami datang. Maka, apabila beliau naik tangga pertama, beliau berkata, 'Amin, lalu apabila naik tangga kedua juga berkata, 'Amin'. Bila Baginda SAW melangkah naik tangga yang ketiga, Baginda SAW pun berkata, 'Amin'. Maka, ketika beliau turun kami berkata, Wahai Rasulullah, sungguh hari ini kami telah mendengar dari engkau sesuatu yang belum pernah kami dengar". Beliau bersabda, "Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu berkata, Celakalah orang yang melewatkan bulan Ramadhan begitu saja sehingga dia tidak diampuni'. Aku berkata, 'Amin'. Lalu, ketika aku naik tangga kedua dia berkata, 'Celakalah orang yang mendengar namamu disebut, tetapi dia tidak memohon shalawat ke atasmu'. Aku berkata, 'Amin'. Bila aku melangkah naik tangga ketiga dia berkata, 'Celakalah orang yang menjumpai kedua orang tuanya telah tua atau salah satu di antara keduanya, namun mereka tidak dapat memasukkannya ke surga'. Aku berkata, 'Amin'."(HR Al-Bukhari, Al-Baihaqi, Al-Hakim, dan Ibnu Hibban)

"Ciri-ciri orang yang tidak diampunkan ialah mereka yang tidak bertaubat. Dan orang yang tidak bertaubat adalah orang yang terus-menerus melakukan kemaksiatan dan tidak melakukan ibadah yang dituntut ke atasnya."

'Ya-Allah...janganlah aku menjadi yang celaka itu. Ampuni aku Ya-Allah. Bantulah aku yang lemah ini untuk memperbaiki salah silapku serta menggandakan amal-amalku.' Tanpa diminta air matanya tumpah. Hadi semakin lunak hatinya pada subuh itu.

'Aku akan cuba memperbaiki diri sehabis baik. Bantulah aku Ya-Allah!' Tekadnya membulat.

"Kesimpulannya, mari kita kembali menghidupkan amal-amal sepanjang ramadhan kita dalam bulan-bulan seterusnya. Bermula dengan bulan ini. Hari ini. Jangan tangguh-tangguh lagi. Ingat, Allah bukan hanya disembah dalam bulan ramadhan sahaja. Kalau dalam bulan ramadhan kita sibuh berkempen Hidupkan Ramadhanmu! Sekarang mari kita tukar, Ramadhankan Hidupmu!"

"Insya-Allah!" Ahli jemaah menjawab hampir serentak.



-umairzulkefli-
Baiti Jannati
Taman Mesra, Kajang
2:32AM
13 September 2010


~End Of Post~
Share

4 comments:

novaadila September 13, 2010 at 4:51 AM  

Terbaik, Umair.
Nasihat Ramli tu best. Kalau dapat tau ramli quote dari ulama' mana, lagi best (ie, letak footnote ke).

Salam Aidilfitri, تقبل الله منا ومنكم

p/s: nak suggest blog ni ada widget Fb, senang nak like atau share, nanti sahabat2 fb pun boleh dapat manfaat sama :)

umairzulkefli September 13, 2010 at 5:59 AM  

To inni akhafullah: Jzkk atas komen. Awal tahajjud ye.(^_^)
Biasanya wat quotation cmni sbb xigt nasihat mana.. ;p satgi ana cari sumbernye. Nk wat widget FB tu cmne ek? Ana FB pn xde, leh ke? BTW, afwan, antum siapa ya? (~_~)..

Ahyana Solehah September 13, 2010 at 8:25 AM  

Jazakallahu khair kathir umair atas perkongsian dan tazkirah yang syawal yang penuh berisi ni. membuatkan mata hati berfikir dan memuhasabah amal setelah keluar dari madrasah Ramadan..

Jzzk!.smg lebih ramai yang celik mata hatinya...

ana mhn izin share k

umairzulkefli September 13, 2010 at 9:34 AM  

To Ahyana Solehah : Wa-iyya-kum...silakan share. Semoga ramai yang mengambil manfaatnya.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

..::Inspirasi::..

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

  © Blogger template template alfatih by alFatihtudio 2009

Back to TOP